PSG Bengang Dan Anggap Messi Salah Guna Klausa Dalam Kontraknya

Keputusan Lionel Messi menggunakan klausa Argentina dalam kontraknya untuk kembali sertai skuad kebangsaan telah mencetuskan rasa tidak senang pimpinan kelab.

Memandangkan beliau pada ketika ini sedang dalam fasa penyembuhan kerana mengalami kecederaan lutut sebelum ini, maka pihak kelab merasakan keputusan beliau sangat tidak masuk akal.

Sporting director kelab, Leonardo menegaskan yang pihak kelab sama sekali tidak bersetuju dengan pilihan Messi yang memilih untuk kembali sertai skuad kebangsaan Argentina pada rehat antarabangsa ini.

Messi tiba di Ibu Kota Perancis itu pada musim panas lalu menerusi perjanjian perpindahan secara percuma, selepas Barcelona gagal untuk memenuhi syarat La Liga untuk memperbaharui kontrak pemain terhebat mereka itu.

Walau bagaimanapun, bintang Argentina yang kini berusia 34 tahun itu dilaporkan telah menggunakan klausa yang ada dalam kontraknya untuk membenarkan beliau sertai skuad kebangsaan.

Messi mempunyai klausa Argentina dalam kontraknya, yang mana klausa tersebut menyatakan bahawa beliau perlu mengutamakan skuad kebangsaannya berbanding kelab.

Menurut laporan sama, Messi mahu beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia Qatar, dan menggunakan klausa tersebut untuk mengelak masalah antara kelab dan negara.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu terlepas aksi terikat 2-2 PSG bertemu RB Leipzig dalam aksi saingan Champions League, dan turut terpaksa diketepikan ketika skuadnya mencatat kemenangan 3-2 menewaskan Bordeaux dalam saingan Ligue 1.

Beliau terpaksa diketepikan dari kedua-dua perlawanan tersebut kerana bergelut dengan masalah kecederaan lutut, dan Messi pada ketika ini masih lagi menjalani fasa penyembuhan.

Leonardo jelas tidak gembira dengan keputusan Messi dan Leandro Paredes yang memutuskan untuk kembali menyertai skuad kebangsaan mereka ketika rehat antarabangsa ini.

“Kami tak setuju untuk benarkan pemain pergi dengan memilih siapa dia, bagi kami, jika tidak dalam fizikal terbaik atau sedang dalam pemulihan, kami tak benarkan.”

Jelas Leonardo kepada Le Parisien.

“Ia langsung tak masuk akal, dan hal dalam situasi ini perlukan perjanjian sebenar bersama FIFA.”

Messi mengakhiri penantian panjang beliau untuk memenangi kejuaraan pertama bersama Argentina pada musim panas lalu, yang mana beliau berjaya memimpin negaranya untuk memenangi Copa America.

Legenda Barcelona itu dipercayai perlu mengambil masa selama 13 jam untuk terbang dari Paris ke Argentina, demi untuk beraksi bersama skuad kebangsaannya.

Rakan senegaranya, Paredes yang turut diketepikan oleh PSG kerana bergelut masalah kecederaan betis sejak Oktober lalu, dikatakan juga menyertai Messi untuk kembali ke kem latihan Argentina.

Pihak perubatan Argentina akan berusaha memastikan kedua-dua pemain sedang berada di tahap terbaik mereka, untuk diturunkan ketika aksi bertemu Uruguay dan Brazil nanti.

Bercakap selepas tamat aksi kemenangan 3-2 menewaskan Bordeaux minggu lalu, Mauricio Pochettino menyatakan yang beliau berharap Messi boleh kembali sertai skuad kebangsaan Argentina dan kembali sertai PSG dalam keadaan sudah cergas.

Pengurus PSG itu menyatakan bahawa:

“Esok dia tidak akan bermain bersama skuad. Kita akan tunggu jika dia boleh terbang dan beraksi bersama skuad kebangsaannya.”

“Kami harap dia boleh pergi dan beraksi untuk negaranya, dan kembali semula bersama kami dalam keadaan cergas.”

Apa itu klausa Argentina?

Kontrak Lionel Messi bersama Paris Saint Germain mengandungi klausa Istimewa yang akan menjadikan Argentina sebagai keutamaan.

Selepas berita pengumuman yang Messi akan meninggalkan Barca dibuat, Paris Saint Germain dengan segera memulakan langkah untuk mendapatkan pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu.

Ia merupakan satu tamparan yang hebat untuk Barca kerana kehilangan bintang terhebat dunia yang sudah 21 tahun menabur bakti bersama mereka.

Lionel Messi telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama Paris Saint Germain, menjadikan beliau akan tinggal di ibu kota Perancis itu sehingga 2023.

Beliau juga turut diberikan tawaran lanjutan kontrak selama satu tahun seandainya mahu terus bersama PSG selepas tamat dua tahun perjanjian asal.

Pelbagai laporan yang menyatakan tentang kontrak Messi bersama PSG dan ada yang melaporkan bahawa Messi akan menerima €35 juta setahun (lepas cukai).

Ia bermaksud Messi akan menerima €2.91 juta sebulan atau lebih tepat lagi €729,000 seminggu, kurang dari apa yang beliau terima ketika bersama Barca, namun lebih tinggi dari tawaran baru Barcelona sebelum ini.

Media Argentina, TyC Sports telah mendedahkan tentang apa lagi yang terkandung dalam kontrak Messi bersama Paris Saint Germain.

Mereka menyatakan yang Messi akan lebih mengutamakan skuad kebangsaan Argentina jika ada perlawanan rasmi atau perlawanan persahabatan berbanding kelab.

Selepas kejayaan beliau membantu skuad kebangsaan Argentina untuk memenangi gelaran Copa America pada musim panas lalu, Messi komited untuk terus beri yang terbaik pada negaranya.

Beliau mahu terlibat dengan skuad Piala Dunia dan tentunya Messi akan sedaya upaya untuk membantu skuad kebangsaan Argentina menjulang Piala Dunia tahun hadapan.

Beliau juga menetapkan syarat yang PSG sama sekali tidak boleh menghalangnya jika beliau dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina.

Tambahan lagi, kedua-dua pihak telah bersetuju yang staff dari skuad kebangsaan Argentina akan dapat kebenaran untuk menggunakan segala kemudahan yang ada pada PSG.

Messi akan menjadi pemain Argentina keempat yang ada dalam skuad Paris Saint Germain ketika ini bersama Angel Di Maria, Leandro Paredes dan Mauro Icardi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Mendedahkan Enam Pemain Kesukaan Anaknya