Punca Mengapa Aubameyang Diketepikan Dari Skuad Arsenal Bertemu Southampton

Pierre Emerick Aubameyang diketepikan dari aksi Arsenal bertemu Southampton malam semalam atas masalah disiplin dan kini hal itu telah didedahkan sendiri oleh Mikel Arteta.

The Gunners melalui sembilan perlawanan tanpa mencatatkan sebarang kekalahan sebelum dibelasah teruk oleh Liverpool pada bulan lalu.

Mereka kemudiannya bangkit menewaskan Newcastle United sebelum kembali mencatatkan dua lagi kekalahan bertemu Everton dan Manchester United.

Aubameyang diturunkan dari bangku simpanan ketika aksi bertemu United dan kemudian telah terlepas peluang kesempatan untuk setidak-tidaknya membantu skuad kendalian Mikel Arteta itu mencuri satu mata berharga.

Untuk aksi pada hujung minggu ini, ketua pasukan Arsenal itu bahkan tidak tersenarai dalam skuad dengan Mikel Arteta mendedahkan yang Aubameyang melanggar disiplin dan sedang dihukum.

Menurut sumber laporan dari The Athletic, pemain penyerang itu telah diberi kebenaran untuk terbang ke luar negara, bagi tujuan peribadi, namun beliau tiba semula di England lebih lewat dari yang dijanjikan.

Bercakap menjelang perlawanan bertemu Southampton, Arteta menyatakan bahawa:

“Sayang sekali, (Aubameyang diketepikan) kerana masalah melakukan pelanggaran disiplin.”

“Saya rasa kami sangat konsisten dengan tiada rundingan sebagai sebuah pasukan yang sudah ditetapkan oleh kelab, jadi dia tidak akan terlibat hari ini.”

“Sudah tentu ia bukan situasi yang mudah, situasi yang kami mahu ketua pasukan berada sekarang.”

Ketika ditanya adakah penggantungan itu untuk jangka masa panjang, pengurus Arsenal itu menyatakan bahawa:

“Ia bermula hari ini.”

Ketibaan Aubameyang yang lewat dikatakan menjadi penyebab ketua pasukan Arsenal itu dianggap melanggar protokol C0V-19.

Protokol C0V-19 semakin diperketatkan pada ketika ini selepas kem Tottenham Hotspur teruk terjejas dengan beberapa bintang utama mereka terpaksa diketepikan kerana disahkan positif.

Ini bukanlah kali pertama pemain kebangsaan Gabon itu diketepikan dari skuad utama Gunners, dengan beliau turut berdepan hal yang sama ketika aksi London derby musim lalu.

Pada ketika itu, bintang berusia 32 tahun itu terlewat untuk sertai sesi latihan bersama skuad Arsenal kerana tersekat dalam sesakan jalan raya.

Arsenal mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pada malam semalam, dengan skuad kendalian Mikel Arteta itu cemerlang menewaskan Southampton 3-0.

Alexandre Lacazette membuka tirai jaringan untuk Arsenal diikuti dengan gol jaringan dari Odegaard dan Gabriel untuk mengesahkan kemenangan 3-0 mereka menewaskan The Saint.

Melihat Arsenal mampu menjaringkan gol yang banyak walau tanpa Aubameyang, para penyokong Gunners menggesa kelab agar melepaskan saja bekas bintang Borussia Dortmund itu.

Peminat merasakan yang Aubameyang sebenarnya beban utama kelab dan turut percaya yang sumbangan bintang Gabon itu tak sesuai dengan gaji yang beliau terima.

Musim ini selain kerap mempamerkan aksi persembahan hambar, Aubameyang juga beberapa kali melepaskan peluang keemasan yang mampu menghadiahkan gol untuk Arsenal.

Beliau juga dianggap terlalu bermain-main dan tidak bersungguh selepas menjadi punca gol jaringan Martin Odegaard dibatalkan sebelum ini.

Sememangnya penyerang utama Arsenal itu dianggap pemain paling dibenci oleh peminat pada ketika ini, selepas beliau menunjukkan aksi teruk serta sikap tidak bertanggungjawab.

Selepas melalui 16 perlawanan, Arsenal ketika ini berada di kedudukan ke-6 dengan mengumpul 26 mata, satu mata mengatasi Tottenham Hotspur yang berada di kedudukan ketujuh.

Walau bagaimanapun, musuh tradisi mereka itu masih memiliki kelebihan dua perlawanan yang belum dimainkan dan skuad kendalian Antonio Conte itu hanya memerlukan satu kemenangan sahaja untuk kembali memintas Arsenal.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aubameyang Hantar Permohonan Rasmi Untuk Berpindah, Arsenal Dilaporkan Berminat