Raiola Anggap Level United Tak Sesuai Dengan Pogba, Punca Pemain Itu Nak Angkat Kaki

Ejen kepada Paul Pogba, Mino Raiola telah membuat pendedahan mengejutkan ramai pihak. Beliau menyatakan Paul Pogba sudah tak ada hati bermain dengan kelab paling agung dalam peradaban manusia iaitu Man United.

Ia sangat mencabar Ole yang beberapa bulan lepas menyatakan, tanpa UCL sekalipun, berebut-rebut pemain handalan dunia mahu datang ke Man United, bagi merasai pengalaman bermain dengan pasukan gergasi Setan Merah.

Siapa yang tak mahu datang apabila mendengar nama seperti Jesse Lingard berada di dalam pasukan?

Itulah sebabnya kenapa Man United didatangi pemain sehebat Aaron Wan Bissaka dan juga Harry Maguire.

Malah, perkara yang tidak mengejutkan langsung melihat Man United tidak melayan cubaan pemain seperti Erling Haaland yang mahu menyertai mereka.

Akhirnya budak itu terpaksa mencari kelab lain di Jerman.

Haaland hanya mampu tersenyum dalam kelukaan dilayan sebegitu oleh Man United.

Tetapi semalam, Mino Raiola telah membuat pendedahan yang tidak masuk akal. Raiola menyatakan bahawa Paul Pogba mahu angkat kaki dari Manchester United.

Pogba mahu pulang semula ke rumahnya di Itali. Beberapa tahun lalu Pogba menyatakan dia nak pulang semula ke rumahnya di Manchester, kerana ada misi belum selesai, kata beliau ketika itu.

Bagaimana dengan misi?

Misi yang dimaksudkan Pogba adalah mahu menjuarai EPL bersama Man United. Cita-cita murni yang disokong oleh Gary Neville yang pernah meramalkan Ole akan menang EPL dulu daripada Klopp dan Mo Salah akan keluar daripada pasukan Liverpool kerana kecewa tak menang apa apa.

Tetapi sekarang, sekali lagi Pogba menyatakan ketidakgembiraan di dalam hatinya. Raiola sebelum ini menuduh Man United sebagai perosak karier Pogba.

Pogba terperangkap

Raiola menyatakan Pogba merasa dirinya terperangkap dalam situasi yang ada di Man United ketika ini.

Beliau nak keluar, tetapi tak dapat. Jadi, Raiola yakin Pogba akan keluar meninggalkan pasukan handalan hanya dipisahkan 16 mata sahaja daripada jiran mereka Manchester City itu.

Malah Raiola menyatakan Man United tidak menawarkan Pogba bola sepak peringkat tertinggi. Hanya bermain dengan sekumpulan kelab yang susah dieja di Europa League.

Raiola menganggap level Man United sekarang agak jauh ke belakang untuk pemain seperti Pogba.

Raiola memberitahu media di Itali: “Pogba ke Juventus? Itali adalah seperti rumah kepada Paul. Beliau nak kembali ke Juventus.”

“Kita tengoklah selepas Euro ni. Pogba nak bermain di peringkat tertinggi yang dia mampu. Namun dia tak boleh keluar kerana situasi sukar di Man United.”

Jelas sekali penyokong United pernah mendengar kenyataan yang sama daripada mulut pakar dab, Paul Pogba itu. Cuma dahulu mereka menganggap kenyataan itu hanya untuk mereka sahaja. Kini segalanya terbukti, Paul Pogba sekali lagi menabur janji yang sama. Ibarat janji ‘lepas rakam delete’.

Adakah Pogba akan terus kekal di Man United? Pastinya kita mengharapkan pemain sehebat Paul Pogba akan terus kekal bersama Ole Gunnar Solskjaer membina Manchester United yang baru.

Ole kini semakin hampir membentuk skuad digeruni dengan kemasukan pemain seperti Bruno Fernandes dan Odion Ighalo.

BACA:  Mino Raiola Letih Dan Sakit Hati Kerana Kerap Difitnah Dah Mati