Rangkuman Aksi Grealish Bertemu Spurs Membuktikan Beliau Masih Ada Kualiti Tersendiri

Jack Grealish telah melalui debut yang tidak begitu menggembirakan bersama Manchester City selepas beliau gagal membantu Juara bertahan Premier League itu untuk menewaskan Spurs awal pagi tadi.

Para penyokong Manchester City tentunya mengharapkan agar pasukan mereka membelasah Spurs dalam aksi pertemuan pertama mereka dalam saingan Premier League awal pagi tadi.

Ia kerana City telah menurunkan barisan kesebelasan paling mahal dalam sejarah saingan Premier League, dan tentunya mereka mahukan tiga mata.

Namun sayangnya, Man City gagal untuk menewaskan Spurs, dan terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 di tangan pasukan tuan rumah.

Son Heung Min muncul sebagai wira Tottenham Hotspur selepas beliau meledak gol kemenangan untuk skuadnya, seterusnya memastikan City pulang dengan penuh kehampaan.

Sejujurnya tiada apa yang diperolehi oleh para penyokong City yang berkunjung ke Tottenham Hotspur Stadium, selain dari mendengar chanting menganjing dari penyokong pasukan tuan rumah berkait Harry Kane.

Walau bagaimanapun, sehingga kini, masih belum dapat dipastikan sama ada Kane akan kekal di London atau akan berhijrah ke Etihad pada musim panas ini.

Para penyokong City walau bagaimanapun tetap mahu melihat bagaimana hebatnya aksi pemain paling mahal dalam sejarah Premier League, Jack Grealish beraksi buat pertama kalinya untuk kelab hari ini.

Para peminat sangat berharap Grealish setidak-tidaknya memberikan impak yang positif dalam membantu jentera serangan City ketika beraksi bertemu Spurs.

Tidak dinafikan Grealish benar-benar memberi impak yang positif dan tidak keterlaluan juga untuk mengatakan yang beliau antara pemain terbaik dari kesemua pemain City yang turun beraksi dalam perlawanan ini.

Debut yang sangat sempurna walau beliau tidak mencatatkan namanya sebagai penjaring gol atau membantu mencatat assists dalam perlawanan tersebut.

City sememangnya sering mempamerkan rentak permainan yang penuh dengan taknikal dan agak menakjubkan untuk melihat Grealish mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan yang sama.

Beliau langsung tidak gugup untuk naik ke atas dan merencana serangan ke kubu Tottenham Hotspur sepanjang perlawanan tersebut.

Tidak dinafikan juga yang pemain berusia 25 tahun itu sememangnya senantiasa memberi ancaman ke kubu Spurs sepanjang 90 minit permainan dalam perlawanan ini.

Walau ada yang mengatakan Grealish menjadi punca pergerakan City perlahan dan menggagalkan serangan balas mereka, namun tidak boleh dinafikan yang beliau sebenarnya bermain dengan sangat baik dalam perlawanan tersebut.

Di bawah merupakan rangkuman aksi persembahan Grealish ketika bertemu Tottenham Hotspur, dan ia menunjukkan beliau masih boleh dianggap sebagai antara pemain penyerang yang berkualiti.

Jika dilihat kepada statistik, hanya Joao Cancelo sahaja yang mencatatkan statistik lebih baik berbanding Grealish dari kesemua pemain Manchester City dalam perlawanan tersebut.

Seandainya Grealish menunjukkan tahap persembahan yang sama saja sepanjang musim ini, mungkin ketika itu peminat bolehlah menilai aksinya dan mengkritik persembahan beliau yang tidak menggambarkan nilai £100 juta itu.

Grealish memberikan jersinya pada peminat cilik

Namun untuk menghukum beliau hanya dari penampilan pertamanya sahaja, ia sepertinya sedikit tidak adil untuk Grealish kerana beliau boleh dikatakan sudah mempamerkan aksi persembahan yang baik dalam perlawanan debutnya.

Sumber: GMS

BACA:  Tweet Lama Grealish Tentang Ronaldo Kembali Tular Di Media Sosial