Rashford Diminta Sedar Diri Beliau Pemain Bola Sepak Bukan Ahli Politik

Marcus Rashford sepatutnya memberi tumpuan penuh kepada karier bola sepaknya berbanding memikirkan yang beliau merupakan ahli politik.

Ia merupakan nasihat yang diberikan oleh bekas bintang Manchester United, Paul Parker yang meminta agar Rashford sedar diri yang beliau masih lagi pemain bola sepak.

Rashford telah menerima pujian yang menggunung kerana menggunakan platform yang beliau ada untuk melakukan kerja-kerja amal.

Beliau bahkan turut dikurniakan anugerah MBE pada bulan lalu atas jasa beliau menyokong kempen makan percuma untuk kanak-kanak tidak bernasib baik sepanjang pandemik.

Beliau senantiasa dipuji atas usahanya di luar padang namun sayang sekali Rashford sering dikecam atas aksinya di atas padang.

Selepas terlepas aksi pada awal musim lalu kerana dibelenggu masalah kecederaan, Rashford berjaya menjaringkan 12 gol dari 12 penampilan bersama setan merah.

Beliau juga pada ketika ini sekadar menjadi pilihan kedua sahaja dengan United lebih memilih menggunakan Cristiano Ronaldo sebagai pemain utama.

Parker merasakan yang persembahan Rashford sedikit merosot pada ketika ini kerana beliau terlalu beri tumpuan kepada kegiatan di luar padang.

Menjelaskan tentang corak permainan United di bawah kendalian Ralf Rangnick pada ketika ini, Parker memberitahu bettingexpert.com bahawa:

“Manchester United kini bermain dengan sistem, yang mana saya rasa ia sangat sukar, dan mereka tak ada pemain yang betul-betul boleh bermain dengan sistem itu.”

“Terlalu ramai pemain sayap yang diminta untuk bermain dan bermula dari dalam lepas tu main secara terbuka.”

“Lihat pada pemain seperti Jadon Sancho, Mason Greenwood, dan Marcus Rashford.”

“Jika dia (Rashford) boleh bangun dan sedar yang dia pemain bola sepak berbanding fikir yang dia ahli politik, saya rasa mereka akan lebih berkesan.”

Rashford telah dikaitkan dengan bakal meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan Januari ini, dengan beliau dilaporkan mungkin akan ke Barcelona.

Gergasi Catalan itu pada ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk mencari pemain penyerang yang baru, untuk menggantikan Sergio Aguero yang kini sudah bersara dari dunia bola sepak.

Rashford dilaporkan sudah hampir untuk sertai Barcelona pada tahun 2018 yang lalu, namun beliau akhirnya memutuskan untuk menandatangani kontrak baru bersama setan merah.

Barcelona pada ketika ini berada di kedudukan ketujuh dalam carta La Liga, dan Parker menegaskan yang gergasi Catalan itu sudah tentu tidak berminat untuk mendapatkan khidmat Rashford seandainya mereka tidak terdesak.

“Ada rumours tentang Barcelona, kerana pada ketika ini, Barcelona tidak begitu bagus. Jika Barcelona berada di tahap terbaik, Marcus Rashford tidak akan disebut sebagai pemain sasaran.”

Tambah Parker lagi.

“Secara jujurnya, tahap pemain yang mereka cari, atau yang sedang diperkatakan, merupakan pemain yang tak layak untuk bermain bersama mereka. Ia semudah itu.”

“Ketika kamu lihat pada Marcus Rashford sejak dua musim terakhir ini, kamu akan kata pada diri kamu sendiri, ‘uff, wow”.

“Kamu tahu dia sangat teruk dan kamu akan kata pada diri kamu sendiri yang ‘Barcelona tak akan berminat pun untuk melihat dia.”

“Jika mereka melihat dia, saya tak tahu tahap apa yang mereka cari, tapi mungkin mereka fikir yang dia mungkin boleh lakukan sesuatu, berbanding situasi mereka pada ketika ini.”

“Jika kamu tanya kepada kebanyakkan peminat, mereka akan kata yang dia tak sepatutnya kerap diturunkan pada ketika ini.”

“Dia perlu bekerja lebih keras untuk dapatkan semula tahap persembahan terbaik dia. Dia langsung tak menunjukkan peningkatan sejak beberapa musim kebelakangan ini dan dia kini berada di belakang Mason Greenwood.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kenapa Kejadian Rashford Disiku Dipandang Sepi Oleh VAR?