Rashford Pernah Bersetuju Untuk Sertai Barcelona Sebelum Membuat U-turn

Penyerang handalan Manchester United, Marcus Rashford telah bersetuju untuk berpindah ke La Liga untuk beraksi bersama Barcelona sebelum mengubah keputusannya.

Menurut satu laporan dari Sepanyol, Barcelona telah berhubung dengan pemain kebangsaan England itu sebaik bermulanya kempen liga musim 2017/18.

Menurut laporan dari Mundo Deportivo, Marcus Rashford sangat teruja untuk memulakan perjalanan karier baru bersama gergasi Sepanyol itu ketika mula-mula menerima tawaran untuk kesana.

Menurut laporan sama, abang kepada Rashford, Dane dan Dwaine, mereka turut terlibat dalam perundingan yang melibatkan penawaran untuk Rashford sertai Barcelona itu.

Namun banyak persoalan yang bermain difikiran Rashford ketika itu, sama ada keputusan yang beliau buat adalah tepat atau tidak serta beliau turut mempersoalkan sama ada dirinya mampu untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan bahasa yang berbeza.

Rashford ketika itu cuma mempunyai baki dua tahun kontrak bersama Manchester United dan berniat untuk menandatangani perjanjian barunya yang menjanjikan gaji £200,000 seminggu pada musim panas berikutnya.

Sementara Barcelona pula ketika itu membawa masuk sasaran utama mereka dari Atletico Madrid, Antoine Griezmann.

Bintang berusia 22 tahun itu dilihat sudah menjadi salah seorang pemain penting dalam sistem serangan dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Sepanjang musim 2019/20, Marcus Rashford telah berjaya menjaringkan 19 gol dari 31 penampilannya bersama pasukan setan merah.

Rashford nampaknya mempunyai masa depan yang lebih cemerlang di Old Trafford selepas menandatangani perjanjian baru bersama United sehingga 2023.

Penyerang harapan masa depan setan merah itu kini sudah jelas selesa dengan kedudukannya sekarang dan akan kekal bersama kelab selama yang mungkin.

“Kelab ini telah membentuk saya, ia membentuk saya dari kesemua aspek baik sebagai pemain mahupun sebagai manusia.”

Jelas Rashford.

“Jadi ia menjadi kebanggaan kepada saya setiap kali saya berpeluang untuk menyarung jersi United.”

“Manchester United telah menjadi segalanya dalam kehidupan saya sejak mulanya saya berada disini ketika usia saya tujuh tahun. Saya akan menyerahkan segalanya yang saya ada untuk membantu kelab ini kembali ke landasan yang sebenarnya dan memberi kejayaan yang sepatutnya untuk peminat yang setia menyokong kami.”

BACA:  Premier League 2022/23: Manchester United 3 Leicester 0