Rasmi: Philippe Coutinho Kini Bergelar Pemain Barcelona

Liverpool akhirnya menerima tawaran dari Barcelona berjumlah £142 juta untuk mendapatkan khidmat Philippe Coutinho.

Coutinho telah terbang ke Catalunya untuk menjalani pemeriksaan perubatan selepas Liverpool menerima tawaran Barcelona awal pagi tadi.

Bye bye Anfield. Coutinho sah sertai Barcelona

Tawaran yang diterima Liverpool itu adalah jumlah tertinggi yang pernah diterima dalam sejarah kelab dari British, dan juga tawaran tertinggi yang pernah dilakukan kelab dari Sepanyol.

Nilai perpindahan Coutinho ke Barcelona adalah nilai ke-3 tertinggi dalam sejarah bolasepak dunia, di belakang Neymar (£197 juta) dan Kylian Mbappe (£160 juta). Paris Saint-Germain adalah pemegang rekod untuk Neymar dan Mbappe apabila mereka menggegarkan dunia dengan membeli pemain tersebut ketika tirai perpindahan musim panas lalu.

Sumber melaporkan perjanjian ini telah dipersetujui tengah hari Sabtu (kelmarin) selepas perbincangan yang rumit di antara kedua-dua buah kelab. Barcelona akan membayar sejumlah besar yuran perpindahan sekaligus dan ada juga beberapa tambahan yang perlu mereka bayar pada masa hadapan tanpa bergantung kepada persembahan Coutinho. Ini bermakna Liverpool akan menerima jumlah penuh yuran perpindahan tersebut.

Satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan Liverpool berhubung situasi semasa Coutinho yang mengesahkan pemain antarabangsa Brazil ini akan meninggalkan Anfield serta merta.

“Liverpool FC mengesahkan Philippe Coutinho akan meninggalkan kelab serta merta selepas perjanjian perpindahan telah dipersetujui di antara Barcelona dan Liverpool, tertakluk kepada ujian perubatan dan terma & syarat kontrak pemain.”

“Coutinho kini diberi kebenaran untuk melengkapkan perpindahan beliau ke Barcelona serta merta.”

Coutinho dilaporkan bakal menandatangani kontrak 5 tahun setengah dan klausa pelepasan berjumlah €400 juta disertakanan dalam kontraknya. Beliau akan hadir dalam perlawanan Barcelona menentang Levante tengahari Ahad sebagai tetamu.

Jika segalanya berjalan dengan lancar, pemain berusia 25 tahun ini akan turun menjalani latihan keesokan harinya dan juga mungkin dipilih untuk bermain pada perlawanan Copa Del Rey Khamis nanti menentang Celta Vigo.

Coutinho sebelum ini menegaskan impiannya adalah untuk beraksi bersama Barcelona pada masa hadapan dan Liverpool juga sedar dengan perkara tersebut dan tidak mahu menghalang niat beliau.

Tiada lagi Fabulous 4

Barcelona sebenarnya mahu mendapatkan khidmat Coutinho pada musim panas lalu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar, tetapi pemilik Liverpool, Fenway Sports Group mengeluarkan kenyataan rasmi ketika itu yang mereka tidak akan melepaskan Coutinho pada tirai perpindahan tersebut.

Sejak dari itu, pendirian Liverpool semakin lembut dalam isu Coutinho apabila melihat pemain baru mereka, Mohamed Salah beraksi dengan cukup cemerlang ditambah juga dengan prestasi baik yang ditunjukkan Sadio Mane dan Roberto Firmino. Ini bermakna mereka tidak lagi bergantung harap kepada Coutinho sahaja seperti sebelum ini.

BACA:  Klopp Meraikan Jaringan Dengan Mengejek Pembantu Pengadil