Reaksi Para Pemain Barcelona Selepas Pemergian Messi

Bilik persalinan Barcelona pada ketika ini dilaporkan berada dalam keadaan huru hara selepas pemergian Lionel Messi menyertai Paris Saint Germain.

Selepas pengumuman secara rasmi yang Messi akan meninggalkan kelab atas sebab halangan dari peraturan La Liga yang tidak membolehkan beliau didaftarkan, Barca terpaksa akur kehilangan nadi utama mereka itu.

Messi turut membuat satu sidang media yang sangat beremosi pada hujung minggu lalu di Nou Camp, yang mana beliau dilihat menitiskan air mata ketika memberikan ucapan terakhirnya.

Bukan hanya Messi seorang yang menangis, rakan sepasukannya juga turut menitiskan air mata pada ketika itu kerana terkesan dengan pemergian ketua pasukan mereka.

Menurut sumber laporan dari The Athletic, para pemain Barcelona benar-benar terpukul dengan hal tersebut dan telah berlaku kekecohan dari kalangan para pemain.

Sumber terdekat Barca telah mendedahkan situasi yang berlaku di bilik persalinan dan turut menjelaskan penerimaan para pemain tentang hal tersebut.

“Memang ramai yang bengang, dan mereka bengang atas pelbagai alasan berbeza.”

Jelas sumber tersebut.

“Mungkin ada yang betul, mungkin ada yang salah. Tapi setiap situasi memang berbeza.”

“Neto mahu pergi. Philippe Coutinho merasa lemau dan lesu, Miralem Pjanic merasa seperti ditipu, Jordi Alba mempunyai kontrak jangka panjang yang sungguh gila.”

“Mungkin semua ini kerana kesalahan pengurusan lama, mereka membuang duit merata tempat, tapi situasi ini akan menghantui Laporta dan pengurusan yang baru sejak mereka dilantik menjadi pimpinan pada Mac lalu.”

Barca pada ketika ini sedang berada dalam krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah kelab, dengan mereka mempunyai hutang bernilai £1.1 billion dan terpaksa meminta para pemain untuk menerima cadangan pemotongan gaji.

The Independent melaporkan yang kadar purata gaji pemain Barcelona hendaklah berada di tahap 70 peratus, namun mereka pada ketika ini berada di tahap 90% walau tanpa Messi menandatangani kontrak baru.

Samuel Umtiti merupakan salah seorang pemain yang Barca mahu gunakan untuk mengurangkan perbelanjaan dari segi pembayaran gaji.

Namun beliau menolak untuk meninggalkan kelab secara percuma dan turut tidak mahu menerima cadangan pemotongan gaji.

Hasilnya, beliau telah ‘diboo’ teruk oleh para penyokong ketika turun beraksi bertemu Juventus sebelum ini, dan berdepan dengan situasi sama setiap kali beliau menyentuh bola.

Wartawan dari La Sexta, Josep Gomez mendakwa yang pemain kebangsaan Perancis itu tidak meraikan kejayaan Barca menewaskan Juventus, sebaliknya beliau segera kembali ke bilik persalinan.

Selepas tamat perlawanan, beliau memuat naik status di laman instagram miliknya dengan menyatakan:

“Kadang kala lebih baik mendiamkan diri dan biarkan kesunyian menyelesaikan segala masalah.”

Pada ketika ini, Barca masih tidak mampu mendaftarkan penandatanganan terbaru mereka seperti Memphis Depay, Sergio Aguero, Eric Garcia dan Emerson Royal.

Ia kerana mereka masih tak mampu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh La Liga berkait pengurusan gaji para pemain.

Aguero yang telah mengakhiri karier 10 tahunnya bersama Manchester City ketika ini terpaksa direhatkan kerana mengalami masalah kecederaan.

Beliau dilaporkan terkesan dengan pemergian Messi dan mendedahkan yang dirinya sangat sunyi di Nou Camp pada ketika ini.

mereka turut mendakwa yang Aguero tidak mahu terus berada di Nou Camp selepas pemergian Messi kerana tujuan utama beliau sertai Barcelona adalah kerana mahu beraksi bersama sahabatnya itu.

Selain kehilangan Messi di atas padang, Barca turut akan kehilangan €137 juta duit tajaan selepas mereka kehilangan pemain terhebat sepanjang zaman kelab itu.

Brand Finance menganggarkan Barca akan kehilangan €17 juta dari dana matchday, €43 juta berkait merchandise dan €77 juta dari business revenue.

Aguero mahu meninggalkan Nou Camp kerana beliau tidak dapat bermain bersama Messi

Satu tamparan yang hebat menimpa Barca hanya kerana mereka kehilangan ketua pasukan, penjaring terbanyak sepanjang zaman dan pemain terhebat sepanjang zaman, Lionel Messi.

Sumber: SB

BACA:  Lionel Messi vs Kylian Mbappe Dari Segenap Sudut