Real Madrid Tewas Sekali Lagi, Zidane Mungkin Dipecat

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berdepan risiko kehilangan jawatannya di Santiago Bernabeau selepas Real Madrid tewas mengejut kepada Villareal di gelanggang sendiri semalam.

Jika Barcelona berjaya menewaskan Real Sociedad malam ini, mereka bakal ditinggalkan 19 mata di belakang pendahulu liga tersebut.

Kalah lagi

Zidane sedar pasukannya sedang mengalami masalah keyakinan apabila sekali lagi tewas dalam perlawanan La Liga, dan lebih teruk kali ini mereka tewas di depan penonton sendiri.

Dalam perlawanan tersebut, Los Blancos kecundang di tangan Villareal dengan jaringan 1-0. Satu serangan balas pada minit ke-87 perlawanan cukup untuk menghadiahkan 3 mata kepada pelawat yang mana disempurnakan oleh Pablo Fornals.

Madrid kini berada di kedudukan ke-4 liga, dan hanya berjaya memenangi 1 daripada 5 perlawanan terdahulu. Walaupun berjaya membimbing Madrid memenangi UEFA Super Cup, Supercopa de Espana dan Club World Cup awal musim ini, Zidane sedar beliau berdepan risiko kehilangan jawatan jika Real Madrid gagal memperbaiki prestasi semasa.

Santiago Bernabeau terkedu dengan jaringan saat akhir Villareal

“Kami sedang mengalami kesukaran kerana pemain kurang yakin. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi pada penghujung perlawanan, kami gagal mengekang serangan balas pihak lawan. Saya simpati dengan pemain-pemain saya.”

“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah terus berusaha keras. Kami harus bersedia apabila ada peluang untuk mendaki tangga liga.”

“Banyak perkara negatif telah berlaku kepada kami kebelakangan ini, tetapi kami akan terus berusaha untuk mencari perkara positif selepas ini.”

Liga Juara-Juara masih ada. Apa hal

Zidane sedar impian Real Madrid untuk mengekalkan kejuaraan La Liga yang dimenangi mereka musim lalu sudah berakhir. Mereka kini berdepan cabaran untuk mengekalkan kedudukan 4 teratas liga, dan hanya dipisahkan 1 mata dengan Villareal yang berada di tangga ke-5.

“Kami perlu segera mencari kemenangan. Kami sedar situasi dari hari ke hari semakin sukar. Jadi sekarang, kami tidak terlalu memikirkan sangat mengenai liga, hanya menumpukan perlawanan kami seterusnya.”

Madrid akan menyambung kembali aksi pertengahan minggu ini apabila mereka turun menentang Leganes dalam saingan Copa Del Rey, diikuti dengan pertemuan penting menentang Deportivo de La Coruna hujung minggu depan.

BACA:  Real Madrid Catat Kehadiran Penonton Paling Rendah Dalam Aksi Pembukaan La Liga