Rio Ferdinand Bantu United Pujuk Pemain Sasaran Untuk Tandatangani Kontrak Bersama Kelab

Rio Ferdinand mendakwa beliau telah mengirim pesanan kepada pemain sasaran Manchester United, Raphael Varane dalam usahanya untuk memujuk pertahanan Perancis itu supaya menyertai Manchester United.

United pada jendela perpindahan musim panas ini mereka tidak membuang masa untuk mendapatkan pemain yang diperlukan oleh kelab.

Mereka ketika ini sudah berjaya menamatkan rundingan untuk menandatangani Jadon Sancho dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £72.9 juta.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer juga ketika ini telah dikaitkan dengan beberapa pemain lain termasuklah Eduardo Camavinga, Declan Rice dan Danny Ings.

Pemain centre-back Real Madrid, Raphael Varane merupakan seorang lagi pemain yang hangat dikaitkan bakal ke Old Trafford pada musim panas ini, dalam usaha setan merah untuk memperkuat barisan pertahanan mereka.

Bahkan, menurut satu laporan dari media Sepanyol, Sport, pemain kebangsaan Perancis itu telah menyatakan persetujuannya kepada kelab dengan mengatakan yang beliau mahu ke Old Trafford.

Los Blancos meletakkan tanda harga untuk pemain yang kontraknya hanya tinggal satu tahun sahaja lagi di Santiago Bernaneu itu dengan nilai €60 juta.

Pemain berusia 28 tahun itu tentunya akan membawa pengalaman beliau ke Old Trafford, selepas beliau mengharungi karier 10 tahun yang luar biasa gemilang bersama Real Madrid.

Apa yang pasti, legenda Manchester United, Rio Ferdinand merupakan individu yang sangat berminat untuk melihat Varane menyertai bekas kelabnya itu.

Dalam satu sesi soal jawab bersama peminatnya, Rio Ferdinand telah menjawab soalan dari salah seorang peminat yang bertanya:

“Boleh kamu mesej Varane memandangkan kamu adalah idola dia.”

Rio Ferdinand kemudian menjawab soalan itu dengan mengatakan yang beliau sudah melakukan hal itu.

“Saya sudah lakukannya. Ejen Ferdy.”

Ferdinand ketika Q&A Bersama Peminat

Menurut sumber laporan dari Marca, United sudah bersedia untuk menghantar bidaan rasmi bernilai £50 juta untuk mendapatkan Varane.

Laporan sama turut mendakwa yang Manchester United juga sudah menyiapkan £25 juta untuk ditawarkan kepada Rennes dalam usaha mereka untuk menandatangani bintang berprofil tinggi, Eduardo Camavinga.

Pemain midfield Rennes itu sepertinya sudah sangat hampir pasti untuk menyertai Manchester United pada musim panas ini nanti.

Mereka turut mendakwa yang kedua-dua Paris Saint Germain dan Real Madrid sudah tidak meletakkan Camavinga sebagai pemain sasaran utama lagi pada ketika ini.

Soal rundingan berkait Raphael Varane, ia sudah sangat jelas yang bintang Perancis itu mahu mencari cabaran lain dengan United terus mencuba untuk membawanya ke Old Trafford.

Jadi Real Madrid mungkin akan terpaksa melepaskan pemain centre-back mereka itu dan mendapatkan dana tambahan berbanding melepaskannya secara percuma tahun hadapan.

Dengan Varane sudah menyatakan hasratnya untuk mencuba sesuatu yang baru, ditambah pula United sememangnya berminat untuk mendapatkan khidmatnya, maka rundingan ini sepertinya tiada masalah untuk ditamatkan dalam masa terdekat.

United sepertinya bersungguh-sungguh pada jendela perpindahan musim panas ini dengan mereka buat kerja jauh lebih cepat dari pasukan lain.

Mereka jelas mahu beri cabaran kepada Manchester City untuk merebut gelaran premier league pada musim hadapan dan tentunya dengan barisan baru yang mantap, Ole mahu berikan United Piala pertama mereka.

Setiap kelab yang berbelanja besar kebiasaannya akan menghasilkan sesuatu, Liverpool selepas berbelanja besar mereka berjaya memenangi gelaran Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup dan premier league.

Chelsea berbelanja besar, mereka berjaya memenangi Champions League pada musim lalu dan turut mara ke perlawanan akhir Piala FA musim lalu.

Jadi tidak mustahil United selepas berbelanja besar, mereka akan peroleh sesuatu, dan menghadiahkan kejayaan kepada penyokong yang sangat merindui Piala.

Sumber: SB

BACA:  Ferdinand Gesa United Berusaha Sehabis Daya Untuk Dapatkan Pemain Ini