Rooney Anggap Ronaldo Seorang Yang ‘Menjengkelkan’ Dan Ferdinand Pula Seorang Yang ‘Poyo’

Wayne Rooney sambil bergurau telah menggelar bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo sebagai seorang yang sangat menjengkelkan dan Rio Ferdinand pula dianggap seorang yang poyo.

Sudah menjadi fitrah untuk setiap manusia, walau sebaik mana pun sahabat kita tu, sudah tentu akan ada juga sikap dan perangai mereka yang boleh membuat kita marah.

Begitu jugalah apa yang dilalui oleh kebanyakan pemain bola sepak di dunia ini, walau sebaik mana rakan sepasukan mereka, sudah tentu akan ada satu dua sikap yang membuatkan mereka rasa tak berkenan.

Rooney pada minggu lalu telah diperkenalkan sebagai Ahli Dewan Kemasyuran Premier League dan beliau turut mencetus sensasi internet selepas mengeluarkan komen-komen tentang bekas rakan sepasukannya.

Beliau tampil mendedahkan tentang beberapa hal yang beliau tak berkenan dari dua sahabatnya namun hal itu sama sekali tidak menjejaskan persahabatan mereka.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman setan merah itu sambil bergurau telah memberi pandangan jujurnya tentang Ronaldo dan Rio Ferdinand.

Beliau mendedahkan tentang sikap kedua-dua pemain itu ketika mereka semua beraksi sebagai rakan sepasukan di Old Trafford.

“Cristiano sememangnya sangat bagus dan dia juga sungguh menjengkelkan pada masa sama.”

Jelas Rooney kepada The Sun di acara makan malam black tie di Manchester.

“Dia berkemungkinan tidak sebagus sekarang tapi dia memang sangat menjengkelkan.”

Ronaldo pernah dianggap sebagai tokoh paling jahat oleh para pemain skuad England pada satu ketika dahulu, yang mana beliau ketika itu memainkan peranan penting dalam membantu pengadil membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada Wayne Rooney.

Apa yang membuatkan ramai bengang dengannya adalah kerana hal tersebut berlaku ketika aksi dalam saingan Piala Dunia 2006, dan jelas sekali perlawanan itu sangat penting untuk skuad The Three Liones.

Rooney ketika itu memijak Ricardo Carvalho, selepas pemain pertahanan itu mengasari beliau, dan Ronaldo segera mencari pengadil perlawanan dan meminta agar kad merah dilayangkan.

Sebaik kad merah dilayangkan, Ronaldo dilihat memberi isyarat kenyit mata kepada pemain di bangku simpanan Portugal.

Bercakap tentang insiden tersebut, bekas ketua pasukan England itu menjelaskan bahawa:

“Dia suka diving.”

“Saya tak ada masalah dengan Cristiano apa semua. Saya bercakap dengan dia dalam terowong. Saya kata, ‘saya tak ada masalah kamu jadi punca saya kena kad merah,’ kerana saya habiskan aksi babak pertama untuk pastikan dia dapat kad kuning sebab suka diving.”

“Saya orang Inggeris, dia Portuguese. Ketika kami bermain saya langsung tak peduli tentang dia. Dia bukan kawan saya. Tapi lepas semua habis, kami kawan balik.”

Bukan hanya bekas bintang Real Madrid itu sahaja yang menjadi topik perbualan Rooney, dengan pengurus Derby County itu turut bercakap tentang Rio Ferdinand.

“Rio merupakan pemain terbaik, tapi saya rasa dia poyo.”

“Kamu dibayar duit yang banyak di Man Utd untuk tendang bola masuk ke gawang gol, jadi lakukan itu. Saya kata, ‘Buat kerja kamu, dan beri saya bola, beri Ronaldo bola. Berhenti berdiri situ dan mengeluh tak tentu pasal.”

“Rio pemain yang sangat bagus tapi kadang kala dia lupa dia pertahanan.”

Rooney turut bercakap tentang Rashford dan berharap agar pemain penyerang itu boleh kembali bangkit dan memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab.

Wayne Rooney menggesa Marcus Rashford agar segera untuk kembali bangkit selepas melihat kemerosotan prestasi bintang England itu.

Legenda kelab itu memberi nasihat penuh semangat kepada Rashford dan mendesak bintang England itu supaya bangkit dari kejatuhan yang sedang beliau alami pada ketika ini.

Rashford pada musim ini jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya dan beliau sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad.

Masa depan beliau di Old Trafford juga turut menimbulkan keraguan dengan banyak khabar angin yang menyatakan bahawa beliau akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya mampu menjaringkan 5 gol sahaja dari 26 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Beliau jelas sekali tidak menikmati karier bola sepaknya pada ketika ini, dengan Rashford turut menjadi pemain yang paling teruk dihentam oleh para peminat.

Rooney sempat beraksi bersama Rashford ketika penghujung kariernya di Old Trafford dan beliau sendiri menyerahkan jersi nombor 10 miliknya kepada pemain penyerang itu ketika beliau mahu meninggalkan kelab pada tahun 2017 yang lalu.

Ketika beraksi bersama Rooney, Rashford masih lagi seorang pemain muda yang baru datang dari skuad akademi, dan beliau turut menunjukkan potensi yang sungguh membanggakan.

Pengurus Derby County yang juga bekas pemain United dan pernah menjaringkan 253 gol untuk setan merah itu, mahu Rashford untuk kembali bangkit.

Beliau mahu Rashford kembali menjadi pemain yang berpotensi dan mencabar bintang England itu untuk memecahkan rekod jaringan beliau di Old Trafford.

“Untuk dapat rekod itu dan menjadi penjaring terbanyak Manchester United merupakan satu hal yang besar.”

Jelas Rooney dalam satu temu bual bersama The Sun di acara Black tie di Manchester.

“Apa yang saya harapkan adalah Marcus Rashford perlu bangkit dan cuba untuk pecahkan rekod itu. Dia anak Manchester.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ibu Kepada Penyokong Everton Tolak Permohonan Maaf Cristiano Ronaldo