Ferdinand Beri Amaran Onana Penjaga Gol Yang Akan Buat ‘Blunder’

Legenda Manchester United Rio Ferdinand percaya Andre Onana adalah pilihan tepat untuk menggantikan David de Gea.

Namun bekas pemain pertahanan itu turut memberi amaran kepada penyokong Onana akan melakukan kesilapan dalam permainannya.

De Gea meninggalkan Old Trafford sebagai ejen bebas setelah 12 tahun bersama United apabila kontraknya tidak lagi diperbahrui.

Walaupun memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas Premier League pada musim lalu, ia tidak cukup untuk meyakinkan Erik ten Hag mengekalkannya apabila kemampuannya membina gerakan daripada belakang dipersoalkan.

Ten Hag adalah jurulatih bola sepak moden yang mahukan penjaga gol mampu melibatkan diri secara langsung dengan gerakan dari bahagian pertahanan. Tetapi De Gea bukanlah penjaga gol yang mempunyai keyakinan untuk berbuat demikian.

Onana pula dilihat mempunyai kelebihan tersebut. Penjaga gol Inter Milan itu dianggap memiliki semua ciri-ciri penjaga gol moden dan pernah beraksi di bawah kendalian Ten Hag ketika kedua-duanya bersama Ajax.

Berbanding De Gea, Onana memiliki ketenangan ketika menguasai bola dengan kaki selain visi untuk menggerakan bola dari bahagian pertahanan menjadi serangan – kualiti yang selama ini dicari oleh Ten Hag.

Walaupun demikian Ferdinand bimbang Onana akan melakukan kesilapan yang boleh menghukum United, terutamanya ketika berhadapan pasukan yang cemerlang melakukan tekanan.

“Jika Onana datang maka ia adalah pembelian yang amat baik. Dia adalah penjaga gol moden berbakat besar,” ujar Ferdinand.

“Anda sudah melihat bagaimana pemain lawan memberikan tekanan/pressing kepadanya dan dia tidak panik.

“Dia akan mengawal situasi dan mengajak lawan datang ke arahnya. Dan apabila pemain lawan mulai mendekatinya dia juga tahu ke mana arah bola harus dihantar, dan kebiasaannya hantaran itu berjaya dilakukan.

“Saya juga berpendapat dia akan lakukan kesilapan kerana mengambil risiko sedemikian. Anda harus tahu pemain boleh melakukan kesilapan dan ia boleh terjadi.

“Tetapi ia adalah mengenai kepercayaan, mencari keseimbangan yang diperlukan dan terus yakin sepanjang tempoh.

“Ia amat menarik untuk melihat bagaimana hasilnya nanti. Saa percaya pembelian ini akhirnya akan berlaku dalam masa terdekat.”

Man Utd baru-baru ini dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Inter pada hujung minggu lalu untuk membawa Onana ke Old Trafford.

Laporan daripada Fabrizio Romano berkata kedua-dua kelab telah melakukan pertemuan dan mencapai bersetuju dengan nilai untuk membenarkan perpindahan tersebut direalisasikan.

Onana dijangka akan diumumkan sebagai rekrut terbaru United pada penghujung minggu ini, dan Ten Hag juga berharap Onana dapat bersama mereka sebelum bermulanya jelajah pra musim.

BACA:  "Saya Punca MU Kalah" - Onana Bermuhasabah Secara Terbuka Selepas Dibolosi 10 Kali