Ronaldo Akui Jadi Manusia Lebih Baik Selepas Tinggalkan Setan Merah

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo memberitahu dunia bahawa dia kini menjadi insan yang lebih baik selepas meninggalkan Manchester United beberapa bulan lalu.

Ronaldo pernah membuat kepulangan semula yang sensasi ke Manchester United dari Juventus pada 2021.,

Dan segera memberikan impak luar biasa di bawah pengurus legenda, Ole Gunnar Solskjaer.

Ronaldo dengan cemerlang menjaringkan 24 gol dalam 38 penampilannya untuk Manchester United bagi kempen musim 2021/22.

Tetapi di bawah Erik Ten Hag, segalanya mulai berubah. Di mana dia hanya menjadi pemanas bangku simpanan.

Itu yang membuatkan dia tidak gembira. Dan akhirnya terlibat dalam wawancara kontroversi dengan Piers Morgan.

Ketika itu, Ronaldo mengutuk kelabnya sendiri dan juga pengurus Erik Ten Hag yang dianggap tidak menghormatinya.

“Saya tidak menghormati dia kerana dia tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya.”

“Jika anda tidak menghormati saya, saya tidak akan menghormati anda.”

Mengenai Rangnick, yang tidak menguruskan pasukan bola sepak selama lebih sedekad, dia berkata:

“Jika anda bukan seorang jurulatih, bagaimana anda akan menjadi bos Manchester United? Saya tidak pernah mendengar tentang dia.”

Ronaldo menyatakan Ten Hag seorang yang kejam, mengarahkannya kembali berlatih walaupun ketika itu dia baru kehilangan anaknya di dalam kandungan teman wanitanya.

Ronaldo kemudian terlibat kontroversi tidak mahu dimasukkan sebagai pemain simpanan dan terus beredar pulang.

Dalam wawancara dengan Piers Morgan, Ronaldo menganggap dia seringkali dijadikan kambing hitam. Dan ramai orang di Man United tidak sukakannya sejak hari pertama dia pulang semula ke kelab itu.

“Man United cuba memaksa saya keluar. Bukan sahaja pengurus, tetapi juga individu lain yang berada di sekeliling kelab. Saya rasa dikhianati”.

“Saya rasa ada orang tidak mahu saya di Manchester United, bukan sahaja tahun ini malah musim lalu juga”

Manchester United akhirnya menamatkan kontrak Ronaldo sebelum Piala Dunia 2022. Dia kemudian menyertai kelab Liga Pro Saudi iaitu Al Nassr.

Kini dia dipanggil oleh pengurus Roberto Martinez untuk menguatkan Portugal. Dan pertama kalinya dia bercakap tentang kontroversi yang menyelubungi kariernya ketika di Man United.

Bercakap dalam sidang media, pemain berusia 38 tahun itu berkata: “Kadangkala kamu harus melalui sesuatu fasa untuk melihat siapa yang berada di pihak kamu.”

“Saya tiada masalah untuk menyatakan, saya menikmati perjalanaj karier yang teruk ketika itu, namun saya tidak ada masa untuk menyesalinya.”

“Hidup harus diteruskan sama ada kamu menjalaninya dengan baik atau tak. Ianya sebahagian daripada proses pembelajaran dalam hidup saya.”

“Ketika kita berada di puncak gunung, kita selalu tidak nampak apa yang ada di bawah.”

“Sekarang ini saya lebih bersedia dan belajar perkara yang penting. Kerana saya tidak pernah melalui perkara perkara seperti ini, seperti yang berlaku dalam beberapa bulan terakhir ini.”

“Dan sekarang ini, saya menjadi manusia yang lebih baik.”

Masa depan Ronaldo dengan Portugal pada awalnya menjadi tanda tanya selepas pasukan itu disingkirkan dari Piala Dunia 2022 oleh Maghribi di peringkat suku akhir.

Namun pengurus baharu, Roberto Martinez yang menggantikan Fernando Santos, menyatakan bahawa dia menagih khidmat dan kepakaran Ronaldo menjelang aksi Euro 2024, malah yakin pemain itu akan beraksi untuk Portugal pada Piala Dunia 2026 yang akan datang.

Adakah Cristiano Ronaldo akan berjaya menjulang Piala Dunia sebelum kariernya berakhir kelak? Terutama sekali selepas Lionel Messi berjaya melakukannya dengan Argentina pada Qatar 2022?

BACA:  7 Pemain Ternama Yang Kembali ke Kelab Pada Hujung Karier