Ronaldo Dilaporkan Bengang Dan Tidak Mempunyai Keserasian Bersama Rakan Sepasukannya

Gandingan Cristiano Ronaldo dan Mason Greenwood dilaporkan saling tidak menghantar bola antara satu sama lain kerana mereka tidak memiliki kesefahaman.

Terdapat laporan yang menyatakan kedua-dua mereka tidak mempunyai kesefahaman dan keserasian yang cukup untuk bermain bersama.

Manchester United menderita kekalahan 5-0 di tangan Liverpool pada malam kemarin dan kini sedang tular berita yang mengatakan bahawa masa depan Solskjaer bersama kelab semakin pudar.

Ronaldo kembali semula ke Old Trafford pada musim panas baru-baru ini, namun beliau sepertinya masih belum mampu membina keserasian yang mantap bersama bintang berusia 20 tahun, Greenwood.

Menurut ESPN, sumber laporan dalam United percaya yang Solskjaer berdepan dengan kesukaran yang teramat sangat dalam menggandingkan Ronaldo dan Greenwood bersama.

Beliau sukar untuk memastikan kedua-dua pemain itu mendapat keserasian dan boleh bermain bersama dengan baik.

Rakan sepasukan yang lain turut sedar yang kedua-dua mereka tidak saling menghantar bola antara satu sama lain ketika beraksi di atas padang.

Dengan laporan sama turut menyatakan yang Cristiano Ronaldo pada ketika ini semakin bengang dengan keputusan dan persembahan yang dipamerkan oleh Mason Greenwood.

Pemain muda itu mempunyai kemampuan penyudah yang sungguh menakjubkan, dan kebiasaannya percubaan beliau tepat menemui sasaran.

Sementara Cristiano Ronaldo pula lebih gemar untuk menunggu bola di dalam kotak penalti, agar beliau boleh menjaringkan gol.

Dan hal ini bukanlah satu-satunya isu yang dihadapi oleh Solskjaer tentang anak-anak buahnya.

Ahli senior dalam skuad percaya yang Solskjaer bersama barisan kejurulatihannya perlu mempunyai perancangan yang lebih mendalam berkait taktikal.

Pada hujung minggu ini, kekalahan di tangan Liverpool memperlihatkan bagaimana United terlepas empat gol tanpa balas hanya dari 45 minit pertama sahaja.

Laporan sama turut menjelaskan yang Solskjaer sebenarnya terlalu bergantung kepada pemain kegemarannya sahaja, dengan Jesse Lingard, Donny Van De Beek dan Nemanja Matic sering diketepikan.

Dek kerana persembahan buruk United, pihak pimpinan kelab kini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memecat pengurus dari Norway itu.

Nama Antonio Conte dikaitkan dengan bakal menjadi calon pengganti Ole Gunnar Solskjaer, dengan beliau sendiri pada ketika ini sedang menganggur selepas meninggalkan Inter Milan pada musim panas baru-baru ini.

Walaupun Conte sendiri turut menyatakan minat, legenda United, Gary Neville percaya yang bekas pengurus Inter itu tidak sesuai untuk dibawa masuk pada ketika ini.

“Mereka tidak akan membawa hitman masuk sekarang. Mereka akan kekal dengan Ole dan dia perlu menang sesuatu pada musim ini. Bersama mana-mana kelab lain, dia sudah tentu dalam masalah sekarang.”

Jelas Neville kepada Sky Sports.

“Jose Mourinho merupakan pengurus terhebat dalam dunia bola sepak, dan dia sendiri gagal untuk melakukan tugasnya. Saya tidak akan membawa Conte ke United. Dia tak sesuai untuk United.”

“Saya mungkin salah, tapi saya tak rasa yang dia sesuai. Saya rasa United telah melakukan kesilapan andai mereka memecat Ole Gunnar Solskjaer hari ini.”

“Saya memecat pengurus selepas enam perlawanan musim lalu, ia merupakan hal yang salah untuk dilakukan, saya patut biar dia betulkan keadaan.”

Masa depan Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini bagai telur di hujung tanduk dengan pimpinan kelab dan para pemain sudah hilang kepercayaan terhadapnya.

Pihak kelab juga dilaporkan sedang berunding dengan Antonio Conte berkait tawaran untuk mengendalikan United, namun belum ada jawapan rasmi berkait rundingan tersebut.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sporting Lisbon Tawar Ronaldo Jalan Keluar