Ronaldo Sudah Turun Berlatih, Amaran Kepada Semua Pasukan

Masa depan Cristiano Ronaldo mungkin masih samar-samar, tetapi pemain terhebat sepanjang zaman ini sudah mula turun berlatih dan telah dikongsi untuk tatapan pencinta bola sepak di seluruh dunia.

Bintang Portugal itu sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk keluar dari kelab selepas tak sampai setahun kembali ke pasukan yang memperkenalkan namanya ke seluruh dunia bola sepak suatu ketika dahulu.

Malah wakilnya dikhabarkan telah mengadakan pertemuan empat mata dengan wakil kelab pada minggu ini untuk membincangkan masa depan dan hala tujunya selepas pemain ini tidak menyertai pasukan dalam jelajah pra-musim di Thailand dan Australia dengan menggunakan alasan peribadi.

Seminggu sebelum bermulanya musim baru, masih belum terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa penyerang ini akan kekal di Old Trafford untuk semusim lagi. Walaubagaimanapun, ini tidak dapat menghentikannya daripada memberi secebis sinar kepada para pendukungnya di mana dia telah bekongsi satu gambarnya di padang latihan bersama-sama pemain muda termasuk Charlie Savage, Amad Traore dan Hannibal Mjebri.

Ronaldo memuatnaik gambar tersebut dan disertakan dengan kapsyen ‘Working in progress…’ yang mungkin membawa maksud ‘kerja-kerja sedang dijalankan.’

Kalau nak ikutkan, tatabahasa yang sebenar dan betul adalah ‘work in progress’, bukan ‘working in progress’ kerana dalam konteks ini, perkataan ‘work’ sudah menjadi kata sifat (adjective) dan bukan lagi kata kerja. Jika ingin menggunaka ‘working’ maka Ronaldo perlu meletakkan ayat seperti – ‘working hard’, atau ‘working with the lads’.

Walaubagaimanapun, hal ini boleh dimaafkan kerana Ronaldo bukanlah seorang peguam atau cikgu yang perlu menggunakan tatabahasa yang betul, tambahan pula bahasa ibundanya adalah bahasa Portugis, dan bukanlah bahasa penjajah Inggeris, meskipun kedua-dua empayar tersebut pernah menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Gambar ini dibuat naik beberapa hari selepas dia meletakkan satu komen di Instagram yang mengatakan bahawa pihak media seringkali menjual cerita tentang dirinya untuk buat duit, berbanding menyampaikan cerita sebenar.

“Mustahil tak bercakap pasal aku dalam satu hari. Kalau tak, mana mahu nya media buat duit. Kau tahu yang kalau kau tak menipu kau tak akan dapat perhatian orang. Buat lagi apa yang korang buat ni satu hari nanti kebenaran terserlah juga,” katanya si Ronaldo.

Untuk musim baru nanti, Ronaldo terpaksa beraksi dalam kancah Liga Europa jika dia kekal berada di Manchester dan ini adalah isu terbesar baginya. Mana tidaknya, nama Ronaldo adalah sinonim dengan Liga Juara-Juara UEFA dan pemain berusia 37 tahun ini dikatakan khuatir segala rekod yang dipegangnya dalam pertandingan tersebut akan dirampas oleh Lionel Messi.

Pengurus United, Erik Ten Hag, dengan jelas mengatakan bahawa dia mahukan Ronaldo berada dalam perancangan pasukannya dan kelab juga dengan tegas menyatakan bahawa pemain ini bukan untuk dijual dan berkemungkinan besar akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Rayo Vallecano pada hari Ahad.

Mereka mahukan Ronaldo menghabiskan sisa-sisa kontraknya bersama kelab yang berbaki lagi setahun dan jika dia meninggalkan pasukan, United bakal tempang yang amat di bahagian serangan.

Hal ini terbukti dalam perlawanan persahabatan menentang Atletico Madrid di Norway di mana meskipun United menguasai perlawanan, mereka gagal menterjemahkannya dengan ciptaan gol.

Sepanjang 70 minit perlawanan, tidak nampak langsung tanda-tanda United mampu menjaringkan gol menerusi gandingan Marcus Rashford, Anthony Martial atau Anthony Elanga.

Setiap kali bola memasuki kotak penalti lawan, pasti bola akan hilang ataupun sebarang cubaan akan sampai tepat kepada penjaga gol atau meliar keluar.

Contohnya pada hujung separuh masa pertama, gerakan build up yang cantik daripada United, diakhiri dengan satu sepakan yang lemah daripada Elanga di dalam kotak penalti dan dengan mudah ditangkap oleh Oblak.

Manchester United, hanya mula melakukan pertukaran pada minit ke-69 di mana pemain baru, Christien Eriksen masuk menggantikan Anthony Martial manakala pemain yang tidak pernah mendapat tempat di hati pengurus sebelum ini, Donny Van De Beek dimasukkan menggantikan Scott McTominay.

Selepas kedua-dua pemain ini dimasukkan, baru lah United dilihat mendapat rentak dan mula melakukan ancaman serius kepada pasukan lawan.

Pada suatu ketika, hantaran lintang Eriksen ke dalam kotak penalti Atleti sepatutnya sudah mampu untuk memberikan gol pertama perlawanan namun Rashford yang berada di dalam kotak penalti gagal membaca hantaran tersebut.

Bosan dengan Elanga yang tak pandai main bola, Erik Ten Hag bertindak memasukkan pemain muda, Facundo Pellistri.

Pada sepuluh minit terakhir, rentak serangan United semakin baik dan Pellistri dapat melakukan satu hantaran leret tepat ke arah Rashford yang berlari ke arah kotak penalti Atletico Madrid.

Sebaik mendapat bola, Rashford mengawal dengan begitu baik sebelum melepaskan rembatan ke arah gol, namun rembatan tersebut terkena kaki Witsel dan bola kemudiannya melantun kepada Peliistri yang melakukan larian susulan.

Sebaik bola sampai, Pellistri tanpa fikir panjang cuba melepaskan satu rembatan deras ke arah gol dalam kotak penalti, namun mungkin nervousnya tebal, rembatan tersebut sekadar kelepek terkena badan Wass.

Bruno yang berada di sebelah kirinya pula mula membuat muka kecewa kerana bola tidak dilorongkan kepadanya meskipun dia tidak dikawal.

Pada mint ke-85, menerusi satu serangan balas yang biasa, Atletico Madrid berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Morata yang mendapat bola di attacking third, telah melorongkan bola kepada Felix di sebelah kirinya. Felix kemudiannya buat acah-acah nak berlai sikit, lantas melepaskan rembatan leret menipu Dalot yang sudah membuat terjahan di depannya.

Bola bergolek laju ke sebelah kanan dan masuk ke dalam gol sambil hanya dapat dilihat oleh David De Gea.

Bayangkan jika Ronaldo ada dalam perlawanan ini, pasti hantaran-hantara berbahaya daripada Eriksen dapat disambut baik dan menghasilkan gol buat pasukan tersebut.

BACA:  Senarai 100 Pemain Bola Sepak Terbaik Sepanjang Zaman Oleh FourFourTwo