Rooney Namakan Empat Pemain Yang Bakal Bantu Pengurus Baru Bangunkan Semula Man Utd

Wayne Rooney sejak akhir-akhir ini kerap tampil memberi pandangan dan pendapat tentang bekas kelabnya, Manchester United.

Terbaru, beliau telah memberikan sedikit nasihat kepada bakal pengurus Manchester United dengan mencadangkan empat pemain yang perlu digunakan dalam usaha untuk membangunkan kelab.

Beliau merasakan empat pemain ini perlu digunakan oleh pengurus yang baharu untuk membina Man Utd semula dan mencapai kejayaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pada ketika ini, Manchester United masih lagi belum memutuskan siapa yang bakal menjadi pengurus kelab yang baharu, bagi menggantikan Ralf Rangnick.

Ralf Rangnick merupakan pengurus interim kelab, yang masuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada Disember lalu dan hanya akan berkhidmat sehingga akhir musim ini sahaja.

Sepanjang bersama pengurus dari Jerman itu, skuad setan merah sepertinya masih gagal untuk mencatatkan keputusan yang baik, dengan mereka musim ini telah tersungkur dari semua pertandingan yang disertai.

United juga sepertinya sangat bergelut untuk mengakhiri saingan liga di kelompok empat teratas dalam carta saingan Premier League.

Tidak banyak maklumat yang didedahkan tentang siapa sebenarnya yang bakal menjadi pengurus tetap Manchester United selepas ini.

Seperti semua sedia maklum, pada ketika ini, hanya nama Mauricio Pochettino dan Erik Ten Hag sahaja yang hangat dikaitkan dengan bakal mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Tidak kira siapa yang dipilih antara kedua-dua mereka, jelas sekali mereka bakal berdepan cabaran besar untuk membina skuad baru pada musim hadapan.

Bahkan ada segelintir pemain yang berada dalam skuad setan merah pada ketika ini, dianggap tak cukup bagus untuk terus bersama kelab.

Rooney baru-baru ini tampil menamakan empat pemain yang beliau rasakan patut digunakan oleh pengurus baru nanti untuk membina skuad baru.

“Saya rasa Jadon Sancho akan bertambah bagus tahun hadapan, Marcus Rashford juga akan semakin bagus tahun hadapan.”

Jelas penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab di Monday Night Football.

“Mereka ada barisan pemain muda yang bagus. Saya fikir Jesse Lingard sepatutnya bermain bersama mereka kerana dia akan bawa tenaga tambahan, bawa kualiti tambahan. Scott McTominay juga sudah melakukan yang terbaik.”

“Jadi mereka sebenarnya ada pemain muda yang bagus, kamu cuma perlu dapatkan keyakinan dan beri mereka kepercayaan yang mereka sebenarnya pemain yang bagus dan boleh beraksi di tahap terbaik.”

“Dan kemudian jelas sekali, siapa sahaja pengurus baru nanti, saya yakin dia akan bawa pemain dia sendiri untuk mula membina skuad di sini.”

Sancho masih lagi dianggap sebagai penandatanganan terbaru kelab kerana beliau baru sahaja sertai United dari Borussia Dortmund pada musim panas lalu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau sepertinya sudah menunjukkan peningkatan pada aksinya dan persembahan beliau juga semakin mantap.

Rashford sementara itu terlalu banyak masalah yang beliau hadapi dengan beliau masih keliru dirinya ahli politik atau pemain bola sepak.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Rashford lebih banyak makan maki berbanding makan nasi kerana aksi hambar yang beliau persembahkan.

Kerana hal itulah Rashford kini lebih kerap mengambil alih tugas Van de Beek untuk menjaga kerusi pemain simpanan dengan tempatnya di atas padang kini diambil alih oleh Anthony Elanga.

Bercakap tentang pemain muda, para peminat sepertinya sedikit terkejut ketika mendengar Rooney meletakkan Jesse Lingard sebagai antara barisan pemain muda skuad.

Lingard mungkin masih remaja di mata Rooney, namun hakikatnya beliau kini sebenarnya sudah berusia 29 tahun dan mungkin sudah melepasi kemuncak prestasinya.

Kontrak Lingard bersama Man United juga akan tamat pada musim panas ini dan beliau dijangka tidak akan diturunkan beraksi dalam mana-mana perlawanan di bawah kendalian Ralf Rangnick selepas ini.

Kerana itu jugalah beliau dikatakan berpotensi untuk tidak akan menandatangani kontrak baru dan akan meninggalkan kelab pada penghujung musim nanti.

Bercakap tentang siapa yang beliau rasakan paling layak menggantikan Ralf Rangnick, Rooney mendedahkan yang beliau lebih berharap Mauricio Pochettino yang dilantik sebagai pengurus baharu kelab berbanding Ten Hag.

Beliau percaya Mauricio Pochettino mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengetahuan tentang Premier League berbanding pengurus Ajax itu.

Manchester United pada ketika ini sedang dalam usaha mereka mahu memastikan mereka akan mampu mengakhiri saingan liga di kedudukan empat teratas.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemain Senior Birmingham Lega Rooney Akhirnya Dipecat