Rudiger Tolak Tawaran Kontrak Lumayan Dari Chelsea

Rudiger tolak tawaran kontrak lumayan dari Chelsea dan beliau berkemungkinan bakal meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari nanti.

Menurut laporan sensasi dari UK, pemain centre-back itu sudah menolak tawaran baru dari The Blues dan turut mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab.

Sejak ketibaan Thomas Tuchel di Stamford Bridge, Rudiger telah melalui fasa kehidupan yang baru dan turut dianggap menjadi salah seorang pemain pertahanan terhebat dalam dunia bola sepak masa kini.

Melihat kepada perkembangan positif itu, sepertinya tiada alasan untuk pemain kebangsaan Jerman itu meninggalkan kelab pada ketika ini.

Namun dengan kontraknya yang bakal tamat pada musim panas akan datang, pemain berusia 28 tahun itu berhak untuk mempertimbangkan masa depannya sendiri.

Menariknya lagi, menurut laporan dari Todo Fichajes, Rudiger telah memutuskan sesuatu yang sungguh mengejutkan dengan beliau memilih untuk mencari cabaran baru dalam kariernya.

Laporan sama turut mendakwa yang Chelsea telah menawarkan kontrak baru pada Rudiger untuk mempertimbangkan semula keputusan beliau, namun bintang Jerman itu menolak tawaran lumayan tersebut.

Beliau menegaskan yang dirinya mahu meninggalkan Chelsea dan mahu mencari cabaran baru dalam kariernya bersama pasukan berbeza.

Awal minggu ini, pemain pertahanan itu bergurau memarahi EA Sport kerana meletakkan penilaian terlalu rendah pada pace beliau dalam permainan FIFA 22.

Bintang Chelsea itu secara keseluruhannya dinilai dengan nilai 83, 84 untuk fizikal dan statistik pertahanan, namun EA meletakkan pace beliau dengan nilai 75 sahaja.

Ia agak mengejutkan memandangkan Rudiger telah mempamerkan kelajuan beliau yang sungguh menakjubkan sepanjang musim ini.

Rudiger kini sedang berada di tahun terakhirnya di Stamford Bridge, dan beliau sudah boleh menandatangani pra kontrak dengan mana-mana pasukan luar dari England pada Januari nanti, sebelum melengkapkan perpindahan percuma pada musim panas akan datang.

Dengan kontraknya yang bakal tamat dan beliau juga mahu meninggalkan kelab, Chelsea sepertinya semakin gigih berusaha untuk mendapatkan pemain pertahanan Sevilla, Jules Kounde.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh The Guardian pada hujung bulan lalu, Chelsea berusaha untuk menandatangani pemain Perancis itu pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Namun usaha mereka menemui kegagalan dengan Jules Kounde sendiri turut sedih kerana hasratnya untuk beraksi bersama The Blues tidak kesampaian.

Penyokong Chelsea masih berharap agar Rudiger mengubah keputusannya dan memilih untuk menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Sumber: SPORTbible

BACA:  'The Next Drogba' Tinggalkan Chelsea Untuk Sertai Crystal Palace Secara Pinjaman