Salah Disuruh Jadi Pengadil Kerana Terlalu Kerap Membantah

Mo Salah kena nganjing dengan Victor Gomes pengadil yang mengadili aksi perlawanan akhir saingan AFCON awal pagi tadi.

Rimas dan bengang melihat bintang Liverpool itu tak henti-henti bantah keputusan pengadil, Victor Gomes kemudiannya menawarkan Mohamed Salah untuk jadi pengadil dalam perlawanan tersebut.

Salah bersama skuad kebangsaan Egypt terpaksa akur dengan kekalahan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Senegal awal pagi tadi.

Rakan sepasukannya di peringkat kelab, Sadio Mane menjadi wira Senegal selepas membantu negaranya untuk menjulang kejuaraan AFCON pertama dalam sejarah mereka.

Mane pada awal aksi babak pertama permainan telah gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti selepas rembatan beliau berjaya diselamatkan oleh Gabaski.

Beliau walau bagaimanapun berjaya membalas dendam atas kegagalan itu ketika menjaringkan gol kemenangan untuk Senegal ketika aksi penentuan sepakan penalti.

Ia jelas sekali malam yang mengecewakan untuk Mo Salah dan hanya air mata sahaja yang dapat dilihat mengalir di pipinya sebaik pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat.

Sadio Mane berhenti meraikan kejayaan Senegal menjuarai saingan AFCON dengan beliau pergi ke arah Mo Salah untuk menenangkan sahabat karibnya itu.

Ia merupakan detik yang sangat beremosi untuk ditonton oleh para penyokong Liverpool apabila melihat dua wira mereka berkongsi detik seperti itu.

Pada aksi babak pertama dalam perlawanan tersebut, Salah kena nganjing dengan pengadil perlawanan selepas beliau tak henti-henti membantah keputusan pengadil.

Salah membantah kad kuning yang dilayangkan kepada rakan sepasukannya, namun Gomes rasa meluat dengan bantahan tersebut.

Pengadil dari Afrika Selatan itu kemudiannya menyerahkan kad kuning dan wisel kepada Mo Salah dan menyuruh bintang handalan Liverpool itu untuk mengadili perlawanan tersebut.

Gomes menunjukkan tahap ketegasan beliau dengan beliau langsung tak peduli siapa yang membantah, pemain terbaik dunia atau siapa pun individu tersebut.

Melihat ketegasan Gomes, Salah sendiri takut untuk terus membantah dengan beliau kemudiannya meneruskan permainan seperti biasa.

Ketika aksi peringkat separuh akhir, Salah mencetuskan sensasi di internet selepas beliau dilihat memaki hamun pengadil perlawanan yang dikatakan terlalu berat ke Cameroon.

Para peminat seluruh dunia terkejut melihat Salah buat pertama kalinya mengamuk dan memaki hamun pengadil seperti apa yang beliau lakukan ketika itu.

Pengadil-pengadil yang mengadili perlawanan di kejohanan AFCON sememangnya agak bermasalah dengan rata-rata dari mereka memiliki rekod buruk sepanjang karier mereka menjadi pengadil.

Ada yang memiliki rekod pernah mengambil rasuah dan pelbagai lagi namun mereka masih diharapkan untuk mengadili perlawanan di kejohanan yang kononnya setaraf dengan Euro itu.

Salah mungkin kecewa dan berduka dengan kekalahan pada hari ini, sementara Sadio Mane pula sememangnya berhak untuk menjulang kejuaraan AFCON terutama kerana beliau berada di tahap persembahan terbaiknya sepanjang kejohanan ini.

Kedua-dua Salah dan Mane akan kembali sertai skuad Liverpool selepas mereka menghabiskan masa satu bulan di Cameroon.

“Dua pemain ini memang pahlawan sejati.”

Jelas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dalam satu sidang media.

“Mereka memang sentiasa bersedia. Mereka tak peduli tentang percutian atau berehat. Saya tak pernah dengar mereka minta itu. Ia sangat mudah, saya tahu mereka mahu segera bermain tapi kita kena lihat dulu apa yang boleh dilakukan.”

“Kamu boleh bayangkan kedua-dua mereka mahu bermain bertemu Leicester, kedua-dua mahu terlibat, mahu jaringkan gol dan mahu bantu Liverpool memenangi perlawanan.”

Liverpool akan turun beraksi bertemu Leicester City dalam aksi saingan Premier League pada minggu ini di Anfield, dan kedua-dua Salah dan Mane berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan tersebut.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Al-Ittihad Teruskan Perbincangan, Yakin Salah Mahu Tinggalkan Liverpool