Sambutlah Kekalahan Liverpool Dengan Budaya Bola Sepak Matang Dan Sejahtera

Dunia bola sepak telah dikejutkan dengan kekalahan kedua penyandang juara yang hebat, Liverpool musim ini dan meneruskan rentak sumbang mereka di penghujung tahun dan membawa ke tahun baru 2021.

Dalam enam perlawanan terakhir Liverpool hanya mencatatkan dua kemenangan dengan tiga seri dan satu tewas. Untuk tiga perlawanan terakhir Liverpool gagal mencatatkan kemenangan tetapi masih gayat.

Pendekatan bola sepak Liverpool selepas tewas kepada Southampton atau Liverpooil B adalah ke arah Budaya Bola Sepak Matang dan Sejahtera (BBMS) adalah sesuatu yang menarik untuk diteliti dan memberi lanskap baharu terhadap dunia bola sepak.

“Penyokong Liverpool perlu menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan menyelesaikan, gagasan, cadangan atau langkah bertindak mengatasi sesuatu isu dan perkara” Ujar Presiden kelab penyokog bawah tanah Liverpool dari Pasar Borong Selayang dihadapan 3 ahli kelab seumur hidup.

“Laungan kasar, menghina, troll dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan”.

Peminat Liverpool tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebuah kelab bola sepak sentiasa bertunjangkan kepada kemenangan.

Selepas era revolusi Jurgen Klopp, Liverpool mengambil pendekatan sebaliknya iaitu bermain untuk kalah sehingga wujud perpecahan dalam kalangan orang peminat Liverpool.

Sokong Dengan Bijaksana, Matang dan Sejahtera

Bila Liverpool gagal mencatatkan kemenangan, gerakan melabel liverpool oleh pihak lawan berlaku. Liverpool selaku pasukan paling hebat di muka bumi yang bulat ini telah diberikan pelbagai gelaran yang jelik.

Satu gelaran yang tidak patut diberi kepada mana-mana pasukan. Kesannya terhadap akar umbi berdendam dan membenci dari pihak lawan amat luar biasa sekali.

Selepas elemen anti menang Liverpool tidak mudah bagi pengurusan khususnya Jurgen Klopp yang sentiasa penuh alasan ingin mengembalikan semula keyakinan peminat akar umbi dengan pendekatan dan budaya baharu.

“Imej baharu ini mesti dibawa oleh pemimpin kelab penyokong Liverpool di semua peringkat, ceramah, kuliah, sidang akhbar, ucapan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hendaklah berlandaskan ilmu. Jika ada wakil peminat di Parlimen.”

Kenyataan ini amat tepat sekali. Sekadar retorik penyokong dengan emosi ketabsuban terhadap pasukan dan pemain, tidak akan menyumbang apa-apa melainkan perpecahan.

Sekiranya perjuangan penyokong didekati secara ilmu, dakwah dan tarbiah ini menepati apa yang ada dalam bola sepak, satu sukan menyatukan.

“Penyelesaiannya adalah sokongan kepada pasukan yang bersifat bijaksana, matang dan bermatlamatkan kesejahteraan penyokong.”

Kenyataan Presiden kelab penyokog tidak rasmi Liverpool Pasar Borong Selayang ini amat menarik untuk direnung kerana berlakunya anjakan dari sikap reaktif sekian lama ke arah proaktif yang sifatnya membina.

Bukan Retorik

Diharapkan Budaya Bola Sepak Matang dan Sejahtera (BBMS) ini bukan retorik baharu yang lahir hanya kerana mahu menutup kekalahan Liverpool tatkala Manchester United mencatatkan kemenangan.

Ia perlu dilihat dengan amalan dan bukti.

Sebagai sebuah pasukan bola sepak yang ada pengaruh, Liverpool kena bertindak sebagai pasukan yang dipedomankan oleh seamangat Fair Play lantaran cabaran perlawanan yang ada adalah amat besar sama ada yang bersifat ideologikal, ekonomi, pendidikan, pengaruh teknologi yang menuntut sumbangan berkesan secara bersama.

Kalau mengambil semangat Budaya Bola Sepak Matang dan Sejahtera (BBMS), ini tidak mustahil, kepimpinan Liverpool dan Kelab Penyokong serta penyokong bola sepak yang lain harus berjiwa besar untuk memastikan generasi penerusnya mampu menjadi mata rantai perjuangan dengan mengambil kira bola sepak adalah sebagai sebuah sukan untuk semua.

Keterbukaan dan keikhlasan untuk mengaku kesilapan kekalahan lalu,kini dan mendatang adalah semangat Fair Play dan kesediaan untuk melalui fasa baharu dalam menyantuni bola sepak yang penuh kesopanan dan persaudaraan.

Begitulah ucapan penuh berbaur politik dan mahu menyelamatkan diri dari ditroll oleh peminat pasukan lain selepas Liverpool mengalami kekalahan dengan permainan yang memalukan.

BACA:  Virgil Van Dijk Menari Kegembiraan Lepas Nutmeg Kostas Tsimikas