Sarri Akui Chelsea Masih Lagi Bukan Pencabar Utama Liga Perdana Inggeris Walaupun Berjaya Jinakkan Arsenal

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berkata beliau masih lagi gagal untuk melihat Chelsea sebagai pasukan yang mampu menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun berjaya menjinakkan Arsenal malam tadi.

Sarri turut berkata Chelsea terdedah untuk berada dalam bahaya apabila mereka tidak menekan pasukan lawan.

Sarri bersorak kegembiraan meraikan jaringan Marcos Alonso

Dalam perlawanan malam tadi, Chelsea berjaya mengekalkan rekod seratus peratus kemenangan selepas melalui dua perlawanan apabila menewaskan Arsenal 3-2 di hadapan penyokong sendiri di Stamford Bridge.

Pedro berjaya meletakkan Chelsea di hadapan seawal minit ke-9 sebelum Alvaro Morata menamatkan kemarau gol beliau dengan menjaringkan gol kedua Chelsea pada minit ke-20.

Dalam masa yang sama, Arsenal terlepas 2 peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila Pierre Emerick Aubameyang dan Henrik Mkhitaryan masing-masing bersalah mempersiakan peluang di hadapan pintu gol Chelsea yang terbuka luas.

Wira The Blues

Arsenal kembali mendapat rentak pada penghujung babak pertama dan hasilnya Mkhitaryan berjaya menebus kesilapan awalnya dengan menjaringkan gol pertama Arsenal pada minit ke-37. 4 minit berselang, Arsenal berjaya menyamakan kedudukan menerusia Alex Iwobi yang bijak menampan masuk hantaran daripada Mkhitaryan.

Ketika perlawanan seakan-akan bakal berakhir dengan keputusan seri, Marcos Alonso muncul wira The Blues apabila menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada minit ke-81 hasil lorongan cantik daripada Eden Hazard.

Walaupun berjaya mengutip 3 mata, bekas pengendali Napoli itu tidak berapa gembira dengan persembahan anak buahnya, terutamanya ketika babak pertama dimana Arsenal mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Dalam sidang media selepas perlawanan berakhir, Sarri telah ditanya sama ada beliau melihat Chelsea sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini.

“Buat masa sekarang tidak. Kami bermain sangat baik pada 25 minit terakhir perlawanan, tetapi saya rasa kami perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki beberapa aspek ketika bertahan. Dan saya tidak bercakap mengenai pemain pertahanan sahaja.”

“Semua pemain harus memperbaiki aspek ketika bertahan. Kerana apabila kami melakukan high pressing, kami mampu bermain dengan baik. Tetapi apabila kami tidak melakukan high pressing, kami berada dalam bahaya. Jadi saya rasa kami perlu bekerja lebih kuat untuk memperbaiki aspek tersebut.”

“Saya rasa kami bermain dengan amat baik selama 75 minit perlawanan. Tetapi selama 15 minit, kami bermain sangat teruk. Kami tidak berlari seperti yang dikehendaki, dan tidak dapat melakukan pressing sebagai satu pasukan.”

Arsenal lembik dan longlai berterusan

Antara faktor utama kemenangan Chelsea adalah kemasukan Eden Hazard pada babak kedua. Hazard diletakkan di bangku simpanan untuk kali kedua berturut-turut tetapi kemasukannya berjaya mengubah keputusan perlawanan.

“Sudah terang. Hazard adalah pemain yang hebat tetapi buat masa sekarang, beliau tidak mampu bermain selama 90 minit. Jadi saya memasukkan beliau pada 25, 30 minit terakhir ketika tempo perlawanan menjadi sedikit perlahan.”

“Tetapi saya berharap dalam masa seminggu atau dua minggu, beliau akan mampu bermain selama 90 minit.”

BACA:  Insiden Pelanggaran Ngeri Antara Maurizio Sarri Dengan Bintang Udinese