Sarri Mengaku Tidak Tahu Menahu Mengenai Perpindahan Pulisic

Aneh tapi benar. Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berkata beliau tidak diberitahu mengenai keputusan untuk menandatangani pemain muda Borussia Dortmund, Christian Pulisic yang sah bergelar pemain Chelsea semalam.

Sarri mengakui perkara berkenaan ketika bercakap kepada pemberita selepas Chelsea seri tanpa jaringan menentang Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Sarri akui tidak diberitahu mengenai keputusan untuk menandatangani Pulisic. Pelik tapi benar

Christian Pulisic sah menyertai Chelsea dari Borussia Dortmund dalam perjanjian yang dianggarkan berjumlah £57.6 juta, sekaligus menjadikan beliau pemain termahal dalam sejarah yang pernah dilahirkan Amerika Syarikat.

Namun begitu, peminat The Blues mungkin perlu menunggu lebih lama untuk melihat Pulisic menyarung jersi biru kelab tersebut kerana beliau akan dipinjamkan ke Dortmund untuk baki saingan musim 2018/2019.

Walaupun tidak diberitahu mengenai perpindahan Pulisic, Sarri berkata pihak yang menguruskan perpindahan di Chelsea ada bertanya mengenai pemain tersebut hampir sebulan yang lalu.

Ketika diminta untuk memberikan pendapat mengenai Pulisic, Sarri berkata beliau memberikan penilaian yang positif terhadap pemain muda tersebut.

Pemain ke-3 termahal sepanjang sejarah kelab Chelsea

“Saya tidak tahu langsung mengenai perpindahan Christian Pulisic. Mereka ada bertanya saya mengenai pemain tersebut sebulan yang lalu.”

“Pendapat saya adalah positif dan hari ini saya diberitahu perjanjian tersebut telah selesai. Saya tidak diberitahu langsung mengenai perpindahan itu.”

Walau bagaimanapun, Sarri mengulangi pendiriannya untuk tidak terlibat dalam sebarang urusan perpindahan Chelsea dan hanya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap urusan di dalam padang sahaja.

“Saya tidak bertanggungjawab mengenai perkara yang berlaku dalam pasaran perpindahan, saya cuma fokus pada perlawanan yang perlu kami tempuhi setiap tiga hari. Saya hanya boleh beritahu pendapat saya kepada pihak kelab.”

Amalan pembahagian tugas di Chelsea ini sebenarnya sudah lama diamalkan. Bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte pernah memberitahu pihak media supaya menggelarnya sebagai ‘ketua jurulatih’ daripada ‘pengurus’.

Conte juga pernah berbalah dengan pihak pengurusan Chelsea selepas mereka gagal mendapatkan pemain yang diminta Conte. Akibatnya, selepas menguruskan Chelsea selama dua tahun, Conte dipecat dengan serta merta sebelum musim ini bermula dan tempatnya diisi oleh Sarri.

Buat masa sekarang, Sarri dilihat lebih selesa untuk tidak masuk campur dalam urusan perpindahan dan hanya fokus pada persembahan pasukan sahaja.

Mandul dan tumpul. Dan juga kayu

Dalam perlawanan di Stamford Bridge semalam, bahagian serangan jelas adalah masalah terbesar Chelsea sekarang. Alvaro Morata dan Olivier Giroud gagal menjalankan peranan mereka dengan baik sehingga memaksa Sarri meletakkan Eden Hazard di bahagian serangan pada suatu ketika.

Keputusan itu juga menyebabkan Chelsea kini berada di kedudukan ke-4 dalam liga, 3 mata di belakang penghuni tangga ke-3, Manchester City yang masih mempunyai baki satu perlawanan di dalam tangan.

BACA:  Belotti Hanya Akan Sertai Kelab Besar Yang Mampu Beri Jaminan Kesebelasan Utama