“Saya Punca MU Kalah” – Onana Bermuhasabah Secara Terbuka Selepas Dibolosi 10 Kali

Andre Onana berkata dirinya telah mengecewakan pasukannya setelah kekalahan Manchester United kepada Bayern Munich di saingan UEFA Champions League pada awal pagi tadi.

Onana menyertai United dari Inter Milan dengan nilai £47.2 juta pada jendela perpindahan musim panas lalu melakukan kesilapan besar dalam kekalahan 4-3 kepada juara Bundesliga itu di Allianz Arena.

Malangnya dalam perlawanan tersebut Onana gagal menghalang percubaan Leroy Sane yang sepatutnya mudah dinafikan penjaga gol itu untuk membenarkan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-29 perlawanan.

Penjaga gol antarabangsa Cameroon itu kemudiannya dibolosi tiga lagi gol untuk United mengakhhiri perlawanan tersebut dengan kekalahan.

Walaupun demikian Onana tetap gagah berdiri untuk menghadiri temubual dengan media dan bermuhasabah secara terbuka dalam siaran secara langsung selepas perlawanan.

Bercakap kepada media, Onana mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut dan bercakap secara jujur mengenai kekalahan yang melebarkan kemaluan Setan Merah di Allianz Arena.

“Selepas kesilapan yang dilakukan saya, kami hilang kawalan dalam perlawanan ini. Saya mengecewakan pasukan pada hari ini,” kata Onana.

“Pasukan ini bermain dengan hebat. Kami kalah perlawanan ini kerana saya.”

Onana kemudian mengaku permulaan kariernya bersama United adalah sukar setakat ini.

“Permulaan saya di Manchester [United] tidak baik. Hari ini adalah perlawanan paling teruk saya. Ia sepatutnya adalah peluang terbaik untuk memadam tekanan yang kami lalui, tetapi ia amat sukar. Kami harus kekal bersatu bersama.”

Bekas pemain dan legenda United, Rio Ferdinand pula memuji karakter dimiliki pemain itu walaupun selepas melakukan kesilapan besar.

“Saya hormati [karakter] itu. Saya pernah tewas dan melakukan kesilapan dan kemudiannya enggan bercakap kepada media. Dia menampilkan karakter yang hebat dan membuktikan bagaimana dirinya dibentuk.”

Pundit CBS Sports yang juga merupakan bekas penjaga gol Setan Merah Peter Schmeichel pula mendedahkan: “Sebenarnya Andre Onana tampil menawarkan diri untuk ditemubual oleh kami. Dia mahu menjelaskan perkara yang berlaku.”

Onana kini telah dibolosi 10 kali daripada 3 perlawanan terakhir untuk United dalam semua perlawanan. (3 gol menentang Arsenal, 3 gol menentang Brighton dan 4 menentang Bayern Munich).

Setan Merah kini akan kembali memberikan tumpuan untuk perlawanan Premier League menentang Burnley pada Sabtu ini.

BACA:  "Sibuk Kejayaan Kelab Lain"- Man Utd Padam Tweet Lepas Kena Hentam Dengan Penyokong Sendiri