Sejarah: Formula Alex Ferguson Di Zaman Kegemilangan Man Utd

‘Ku yang dulu bukanlah yang sekarang, dulu disayang kini dtendang-tendang, dipijak-pijak.’ Terus terpacul keluar nama Sir Alex Ferguson.

Itulah Manchester United kini sedara-dara sekalian, dulu sangat gah dan gemilang di zaman Sir Alex Ferguson yang diangkat sebagai antara pengurus terbaik sepanjang zaman dalam dunia bola sepak.

Rekod dan kejuaraan yang dicatatkan oleh Sir Alex Ferguson sangat sukar untuk dipecahkan lagi oleh mana-mana pengurus. Ada saja Piala saban tahun diraih Setan Merah.

alex ferguson

Kini Manchester United dilihat sangat bergelut untuk merebut tempat empat terbaik dan tidak lagi menggerunkan malahan pasukan bergelut di zon penyingkiran mampu mencuri mata.

Kepincangan Manchester United yang membawa kepada kejatuhan kini sering disandarkan kepada ‘DNA Manchester United’ yang dibawa oleh Sir Alex Ferguson dan Apakah itu ‘DNA Manchester United’?

Sir Alex Ferguson merupakan jurulatih bola sepak yang paling berjaya dalam sejarah di mana beliau telah membimbing Manchester United memenangi pelbagai kejuaraan, anugerah dan pingat dari tahun 1986 sehingga 2013.

alex ferguson

Ferguson dilahirkan pada 31 Disember 1941 berasal dari Scotland merupakan seorang bekas pemain dan telah menjadi sebagai antara pengurus yang paling berjaya dalam dunia bola sepak bersama pasukan Manchester United.

Tanggal 6 November 1986 menyaksikan Sir Alex Ferguson telah dilantik sebagai pengurus di Old Trafford. Fergie bernasib baik kerana diberi peluang untuk walaupun mengharungi permulaan yang tidak berapa memberansangkan.

Jarang ada pengurus atau jurulatih yang mampu bertahan di sesuatu kelab selama 27 tahun dan memenangi kejuaraan seperti  Ferguson, tambahan pula bola sepak sekarang menjadi satu industri yang memberikan pulangan kewangan yang besar dan membuatkan para pengurus dan jurulatih senang dipecat walau tewas tiga perlawanan berturut-turut.

Pencapaian Alex Ferguson bersama Manchester United
Pencapaian Alex Ferguson bersama Manchester United

Mereka hanya inginkan kejayaan segera, ibarat tanam orang mati, malam esok dapat makan kenduri arwah. Bagi mereka, jurulatih perlu ‘hire and fire’ – ambil dan pecat – untuk memastikan kejayaan segera pasukannya dalam pertadingan liga gred D.

Bagi Ferguson, beliau telah berpegang kepada lapan prinsip utama dan dari situ, beliau berjaya bertahan dan kekal begitu lama dengan satu pasukan.

Berikut adalah 8 formula Ferguson untuk mencapai kejayaan sebagai jurulatih.

1. Bermula Dari Asas

Ketika beliau mula-mula duduk di kerusi pengurus United, kelab itu hanya ada seorang pemain yang berumur bawah 24 tahun dalam skuad utama. Dari situ, Fergie mula memasang hasrat beliau – membina kelab  bola sepak.

Untuk merealisasikan hasratnya, beliau telah bekerjasama dengan kelab untuk membina satu akademi yang fokus untuk jangka masa panjang dan beliau juga telah membuka ‘dua pusat kecemerlangan’, satu untuk mendapatkan pemain muda – semuda 9 tahun, dan mengambil sekumpulan talent scout – satu perkara yang masih belum diamalkan di Malaysia.

Asas sesebuah pasukan bola sepak - akademi yang kukuh dan cemerlang
Asas sesebuah pasukan bola sepak – akademi yang kukuh dan cemerlang

Antara pemain terawal yang dapat dikesan oleh pasukan Fergie ini ialah David Beckham dan Ryan Giggs.

Bagi Fergie, akademi ini penting sebagai teras dan identiti pasukan. Di sini pemain-pemain muda akan membesar bersama-sama dan pada masa yang sama dibentuk mengikut program-program pembangunan yang telah disusun. Secara jangka panjangnya, pemain-pemain yang berkualiti akan dapat dihasilkan dan menjadi nadi utama kelab.

2. Meletakkan Matlamat Yang Tinggi Dan Menyeru Semua Untuk Bersama

Bagi Ferguson, skill dan teknik adalah penting, tetapi tidak sepenting nilai jatidiri seseorang pemain dan Ferguson selalu menanam nilai-nilai positif ke dalam jiwa pemain-pemainnya. Jadi, pemain akan berkembang menjadi seorang yang berjiwa besar dan tidak mudah mengalah.

Bayangkan seorang pemain perlu bersaing dengan ramai pemain yang bertaraf dunia, maka usaha keras perlu dilipatgandakan dan semua ini tidak akan berlaku tanpa semangat yang tinggi.

Sir Alex juga sangat tegas dalam mendisiplinkan pemain dan beliau amat tidak gemar pemain yang tidak bersungguh-sungguh sama ada dalam permainan atau sewaktu latihan. Ferguson mengaggap pemainnya adalah bad loser dan perlu bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap tertinggi.

Cristiano Ronaldo terpaksa 'dihalau' dari padang latihan
Cristiano Ronaldo terpaksa ‘dihalau’ dari padang latihan

Di sebalik ketegasannya kepada para pemain, Ferguson juga memberikan contoh yang positif kepada mereka. Ferguson akan menjadi orang yang pertama sampai di padang latihan setiap pagi dan membuat persediaan rapi dan penting baginya supaya setiap latihan adalah laithan yang berkualiti dan bukan membuang masa.

Dengan ini pemain secara automatik ditanam dengan sikap yang sentiasa ingin menjadi lebih baik dari pemain lain. Ada di antara mereka sehingga terpaksa ‘dihalau’ dari padang latihan seperti Cristiano Ronaldo, David Beckham dan Wayne Rooney.

BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!

3. Berani Untuk Membina Semula Pasukan

Sepanjang 27 tahun, Fergie telah mempunyai lima skuad utama yang memenangi pelbagai kejuaraan. Dari zaman Eric Cantona sehingga ke Wayne Rooney, pemain yang menyarung jersi The Red Devils sentiasa berubah. Jadi untuk berjaya, Fergie harus sentiasa membina pasukan baru.

Ferguson adalah seorang yang bersifat strategik, rasional dan sistematik. Segala perancangan disusun dengan begitu rapi dan  teratur.

Dari kalangan pemainnya, Ferguson mengelaskan mereka kepada tiga kategori :

1. Pemain berusia 30 tahun dan ke atas
2. Pemain berumur 23-30 tahun
3. Pemain berumur bawah 23

Biasanya untuk pemain baru, Ferguson akan membeli pemain muda kecuali beberapa pemain yang bertaraf bintang dan berusia seperti Robin Van Persie yang dibeli ketika usianya 29 tahun.

Rio - tutor kepada pemain muda
Rio – tutor kepada pemain muda

Pemain yang berusia atas 30 tahun biasanya tidak ramai tetapi mereka adalah pemain berkualiti, seperti Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Paul Scholes dan Micahel Carrick. Pemain-pemain veteran ini akan menjadi tutor dan memberi tunjuk kepada pemain-pemain muda bawah 23 tahun.

Pemain bawah 23 tahun pula diperhatikan betul-betul perkembangan mereka dan sekiranya mereka sudah mampu untuk bersaing bersama lawan yang lebih berusia, pemain-pemain ini akan dipinjamkan ke kelab bawahan lain dalam tempoh dari sebulan sehingga semusim.

Melalui pendekatan ini, kaedah pembelajaran berterusan dapat diamalkan di Man United dan menjadi asas kejayaan mereka yang bertahun-tahun.

Bak kata Ryan Giggs, “Ferguson seorang yang tidak melihat waktu sekarang, dia selalu memandang ke masa hadapan.”

4. Bersedia Untuk Menang

Man United kerap memenangi perlawanan pada minit-minit akhir permainan atau sekurang-kurangnya menjaringkan gol dan masa ini dipanggil ‘waktu Fergie’.

Paling diingati ketika perlawanan akhir Piala Eropah pada tahun 1998-99 di mana United menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Teddy Sherringham dan Ole Gunnar Solksjaer sekaligus membawa pulang piala eropah ke Old Trafford.

Bagaimana Man United kerap kali mampu menjaringkan gol di saat-saat akhir?

Fergie sangat-sangat terperinci dalam mempersediakan pasukannya sehinggakan beliau selalu melakukan shadow play bagi situasi minit-minit akhir perlawanan. Baginya, 10-15 minit terakhir perlawanan adalah waktu yang sangat mendebarkan terutamanya jika pasukannya sedang ketinggalan.

Katalah United sedang ketinggalan 2-1 dan perlawanan hanya tinggal 15 minit. Dengan tenang Fergie akan memasukkan seorang pemain bersifat menyerang dan menyerang kubu lawan bertubi-tubi walaupun bahagian pertahanan mereka terdedah kepada bahaya.

Pasukan Fergie berjaya jaringkan gol minit akhir kerana diberikan kelebihan oleh pengadil?
Pasukan Fergie berjaya jaringkan gol minit akhir kerana diberikan kelebihan oleh pengadil?

Kalau mereka tidak menyerang habis-habisan, mereka akan kalah 2-1 juga, jadi dengan menyerang habis-habisan mungkin akan memberikan kejayaan yang lebih manis dengan kemenangan 3-2, tetapi mereka boleh tewas 3-1 pada masa yang sama.

Bagi Fergie, lebih baik tewas 3-1 melawan berbanding tewas 2-1 dan bersahaja.

5. Jangan Berhenti Berevolusi

Sir Alex, jika diteliti rekodnya, adalah seorang yang boleh dikatakan trend-setter dan selalu mengevolusikan pemikiran dan pandangannya tentang bola sepak. Jika tidak, mustahil baginya untuk kekal selama itu di Old Trafford.

Menurut rekod, Fergie adalah jurulatih pertama yang menurunkan pemain muda untuk perlawanan piala yang kurang prestiji – Piala Liga (sekarang Piala Capital One). Awalnya langkah ini dikritik hebat media dan jurulatih lawan tetapi pada hari ini hampir kesemua pasukan Liga Perdana Inggeris mengambil langkah ini.

Pada musim 1998-99, Fergie juga adalah jurulatih yang pertama mengambil empat orang penyerang untuk bersaing merebut dua tempat di kesebelasan utama, dan langkah ini dianggap satu kerja gila juga pada awalnya. Hasilnya, United menjadi juara treble pada musim tersebut dan langkah it uterus diikuti oleh kelab-kelab lain.

Tidak pernah takut untuk evolusi
Tidak pernah takut untuk evolusi

Fergie juga telah mengembangkan hierarki staf pasukan di mana beliau telah menggaji beberapa orang saintis sukan untuk membantu meningkatkan prestasi pemain.

Di samping itu, Fergie telah menngaplikasikan nasihat para saintis supaya diletakkan satu meja vitamin D di dalam bilik persalinan untuk diambil oleh pemain kerana daerah Manchester kurang mendapat cahaya matahari sepanjang tahun.

Antara lain-lain pembaharuan yang dibuat Fergie ialah menggunakan GPS sensor untuk memantau prestasi pemain ketika latihan :

1. Menggunakan khidmat pakar mata untuk memastikan mata para pemainnya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
2. Memanggil pengajar yoga sebanyak dua kali seminggu untuk sesi bersama pemain.
3. Mewujudkan fasiliti perubatan di Old Trafford dan dengan ini para pemain tidak perlu lagi pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecederaan.

6. Jangan Hilang Kawalan

Seorang jurulatih adalah seorang jeneral dan tiada orang lain dalam pasukan yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi. Nampak agak autokrasi tetapi itulah gaya Sir Alex.

Untuk mengendalikan 30 pemain hebat yang mempunyai ego tinggi dan bertaraf jutawan bukan tugas yang mudah. Ramai jurulatih yang gagal mengawal bilik persalinan seperti Andre Villas Boas di Chelsea dan Mark Huges di Manchester City. Akibatnya, pasukan mereka gagal bermain seperti yang plan dan akhirnya mereka dipecat.

Bagi Ferguson, jurulatih boleh ditegur tetapi tidak boleh dilawan. Sepanjang kariernya bersama United ada beberapa pemain yang dilihatnya mula mencetuskan suasana negatif di bilik persalinan dan terus dicantasnya.

Roy Keane pernah mengkritik rakan sepasukan ketika satu interviu dengan media dan tidak lama selepas itu dia terus ditamatkan kontraknya bersama United.

Walaupun prestasinya cemerlang, RVN ditunjuk pintu keluar oleh SAF
Walaupun prestasinya cemerlang, RVN ditunjuk pintu keluar oleh SAF

Ruud Van Nistlerooy, walaupun merupakan penjaring terbanyak United untuk banyak musim, telah dijuall ke Real Madrid dek tindakannya yang meluahkan perasaan tidak puas hati kerap memanaskan bangku simpanan kepada wartawan.

David Beckham diraikan sebagai wira penyokong dan cukup digemari ramai, tetapi Fergie melihat pemain itu mula besar kepala dan terus dijual kepada Real Madrid.

Itu adalah contoh tiga pemain dan ramai lagi pemain yang disingkirkan Ferguson kerana sikap mereka. Jaap Stam, Andrei Kanchelskis, Mark Huges dan Paul Pogba antara nama-nama lain yang turut disingkirkan kerana sikap dan membawa aura negatif di bilik persalinan.

Baginya, jurulatih perlu menjadi pencetus semangat di bilik persalinan, bukan melayan karenah pemain yang berlagak diva.

7. Teknik Menyampaikan Maklumat atau Berita

Melalui media, Sir Alex dikatakan seorang yang bengis dan cukup terkenal dengan hairdryernya. Ramai bekas pemainnya yang menceritakan kegerunan jika mereka bermain teruk dan kalah kerana mereka perlu berhadapan dengan amukan seorang tua yang garang.

Gary Nevillle, Nicky Butt, Ronaldo, Nani, Rafael – semuanya pernah merasai hairdryer.

Jika pemain tidak bermain bersungguh-sungguh, pasti akan menadah telinga untuk hairdryer SAF
Jika pemain tidak bermain bersungguh-sungguh, pasti akan menadah telinga untuk hairdryer SAF

“Jika kami kalah tetapi Ferguson puas hati di atas usaha kami, dia akan memuji dan pada menegur kesalahan kami lakukan, tetapi sekiranya kami kalah dan tidak mempamerkan aksi yang terpuji, maka kami perlu tadah telinga!” kata Andy Cole, pemain yang memenangi treble bersama Fergie.

Bagi Ferguson, menengking dan memberikan arahan secara keras bukanlah satu teknik yang bagus dalam membina pasukan. Tiada orang yang suka dikritik tetapi orang lebih memberikan respon positif di atas pujian dan galakan.

8. Kuasa Memerhati – The Power of Observation

Memulakan karier sebagai jurulatih pada usia 32 tahun bersama East Stirlingshire pada 1974, kariernya terus berkembang ke St. Mirren, Aberdeen dan akhirnya Man United.

Menurut Ferguson, syarat-syarat utama yang perlu ada bagi seorang jurulatih ialah :

  1. Memahami skil dan teknik yang diperlukan oleh seseorang pemain untuk berjaya di peringkat tertinggi
  2. Mampu bermain bola sepak dengan baik
  3. Mampu melatih pemain
  4. Mampu membuat keputusan

Berdasarkan empat ciri-ciri di atas, ketika di awal kemunculannya, Fergie lebih suka mengendalikan latihan secara langsung dan pembantunya tidak mempunyai banyak tugas melainkan membantunya memilih pemain dan apabila diperlukan.

Ferguson - lebih banyak memerhati ketika latihan
Ferguson – lebih banyak memerhati ketika latihan

Namun segalanya berubah apabila pembantunya di Aberdeen, Archie Knox meminta untuk lebih terlibat dalam latihan, dan Ferguson setuju. Dari situ, Ferguson mendapati bahawa lebih mudah baginya untuk memahami kekuatan dan kelemahan pemainnya.

Dari tepi padang juga beliau mampu membaca mood dan kesungguhan pemainnnya, sehinggakan jika ada seorang pemain yang kurang memberi komitmen, maka berputar di fikirannya ‘adakah pemain ini mempunyai masalah keluarga? Adakah pemain ini mempunyai masalah kewangan?’

Ferguson juga mengatakan,

“Kemampuan untuk melihat sesuatu perkara ialah kunci kejayaan, tetapi kemampuan untuk melihat perkara yang kita tidak jangka akan melihatnya adalah kunci istimewa kejayaan.”

BACA:  Gary Neville Dedah Akibat Diterima Selepas Memaki Alex Ferguson