Selepas 9 Tahun, Jay Spearing Akhirnya Bakal Kembali Ke Anfield

Liverpool bakal terus aktif dalam pasaran pemain dengan mereka pada ketika ini sepertinya bakal membawa Jay Spearing kembali ke Anfield pada jendela perpindahan musim panas ini.

Naib Juara saingan Champions League dan Premier League itu sepertinya bersungguh-sungguh mahu memantapkan skuad mereka pada musim hadapan.

Mereka berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini dengan Liverpool baru sahaja melengkapkan penandatanganan mega Darwin Nunez dari Benfica minggu lalu.

Pemain penyerang kebangsaan Uruguay itu bakal menjadi pemain termahal dalam sejarah kelab, andai termasuk nilai bonus yang ada dalam kontraknya.

Darwin Nunez ditandatangani dengan nilai yang lebih tinggi dari nilai Virgil Van Dijk dan tentunya Liverpool mengharapkan beliau bakal mampu memberikan impak seperti yang diharapkan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu turut sedang dalam usaha mereka untuk melengkapkan penandatanganan Calvin Ramsey dari Aberdeen dalam masa terdekat ini.

Ramai yang percaya Ramsey bakal menjadi pemain terakhir yang akan Liverpool tandatangani pada jendela perpindahan musim panas ini.

Walau bagaimanapun, mereka sepertinya masih belum berpuas hati dengan Liverpool dilaporkan akan turut melengkapkan satu lagi penandatanganan yang mengejutkan.

Menurut sumber laporan dari The Telegraph Liverpool pada ketika ini berkemungkinan akan melengkapkan penandatanganan Jay Spearing pada jendela perpindahan musim panas ini.

Spearing meninggalkan Liverpool sembilan tahun lalu dan kelab terakhir yang beliau wakili adalah Tranmere Rovers dalam saingan League Two.

Kini pemain berusia 33 tahun itu bakal melakukan perubahan besar dalam kariernya dengan menyertai semula bekas kelabnya yang kini dianggap sebagai pasukan gergasi dalam dunia bola sepak.

Sudah tentu, bekas pemain Bolton Wanderers itu mungkin tidak akan berada sebaris dengan Darwin Nunez, Mohamed Salah, Fabinho dan lain-lain dalam kesebelasan utama Liverpool.

Sebaliknya Jay Spearing akan beraksi bersama skuad bawah 23 tahun dan mungkin akan diperlukan di dalam bilik persalinan untuk memotivasikan para pemain dari skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Beliau juga bakal menjadi antara tenaga pelatih untuk melatih skuad muda Liverpool dan peranan beliau akan dibantu oleh youth director kelab, Alex Inglethorpe.

Perpindahan itu sama seperti apa yang dilakukan oleh Manchester United pada musim lalu, dengan mereka pada ketika itu menandatangani Paul McShane dari Rochdale.

McShane bahkan langsung tidak didaftarkan dalam skuad utama Man Utd namun beliau sempat membuat enam penampilan bersama skuad bawah 23 tahun mereka.

Pemain kebangsaan Northern Ireland itu sudah bersara dari dunia bola sepak pada musim ini, namun beliau kini terlibat dengan barisan kejurulatihan di Old Trafford.

Jay Spearing menyertai Liverpool ketika berusia 10 tahun dan beliau turut menghabiskan karier awalnya bersama skuad akademi kelab.

Beliau melakukan debutnya bersama skuad utama Liverpool pada tahun 2008 dan menjadi antara pemain terpenting kelab pada ketika itu.

Beliau sempat membuat 55 penampilan bersama Liverpool dalam tempoh lima tahun dan membantu kelab memenangi gelaran League Cup sebelum dijual kepada Bolton pada tahun 2013 yang lalu.

Satu hal yang pasti, skuad Liverpool yang akan beliau sertai pada ketika ini jauh berbeza dengan skuad ketika kali terakhir beliau di Anfield.

Liverpool pada ketika ini bukan lagi pasukan pertengahan liga dengan mereka kini merupakan antara pasukan terhebat dalam dunia bola sepak.

Sepertinya sangat jelas yang pihak kelab menandatangani beliau semula pada musim ini sebagai sebahagian dari perancangan mereka untuk melantik Jay Spearing sebagai salah seorang jurulatih di masa hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  23 Percubaan Dari Pasukan Lawan, Liverpool Masih Mempunyai Masalah Pertahanan Yang Serius