Selepas Kena Reject Dengan Semua Kelab, Ronaldo Beri Hint Akan Kekal di Man United?

Pemain yang masih berada dalam senarai penerima gaji Manchester United, Cristiano Ronaldo, telah kembali daripada keheningannya di media sosial apabila dia telah memuat naik gambar yang memaparkan dia sedang dalam usaha mempersiapkan diri untuk musim baru.

Penyerang Portugal berusia 37 tahun itu kini sedang berlatih seorang diri selepas tidak menyertai pasukannya dalam jelajah pra-musim ke Thailand dan Australia.

Alasan yang dikemukakan kelab adalah urusan keluarga, tetapi ramai yang sudah tahu bahawa dia sedang cuba untuk mencari kelab lain selepas kecewa dengan Manchester United.

Ronaldo dikatakan kecewa dengan kelembapan pengurusan United dalam jendela perpindahan musim panas tahun ini, selain kegagalan kelab untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara UEFA.

Ejen pemain ini, Jorge Mendes, dikhabarkan telah menawarkan pemain ini ke beberapa kelab seperti Bayern Munich, Paris Saint Germain dan Chelsea.

Disebabkan faktor usia, Bayern Munich telah mengisytiharkan bahawa mereka tidak berminat untuk mendapatkan pemain tua, manakala Paris Saint Germain pula mengatakan yang mereka tidak mempunyai ruang buat Ronaldo, memandangkan barisan serangan pasukan tersebut sudah mempunyai pemain seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

Chelsea pula sebelum ini dilaporkan bersedia untuk mempertimbangkan pembelian Ronaldo dan pemilik baharu, Todd Boehly, dikatakan bersedia untuk membawa seorang lagi pemain yang mempunyai nama besar selepas berjaya membeli Encik Raheem Sterling daripada Manchester City.

Walaubagaimanapun, selepas bincang punya bincang dengan pengurus pasukan Thomas Tuchel, taikun Amerika Syarikat tersebut tidak mahu membawa pemain ini ke Stamford Bridge pada musim panas ini.

Terbaru, timbul cerita bahawa sebuah kelab dari Arab Saudi sudi membawa pemain ini beraksi di liga negara tersebut dan ingin membayarnya sebanyak GBP 211 juta untuknya bermain selama dua tahun di negara Arab itu.

Tiada laporan yang menyatakan komen Ronaldo atau ejennya tentang tawaran ini.

Sepanjang cerita tentang perpindahannya menghiasi media-media sukan, Ronaldo langsung tidak memuat naik sebarang gambar di laman Instagramnya, dan ini adalah satu perkara yang aneh kerana pemain ini dikenali sebagai seorang yang cukup aktif di laman sosial, apatah lagi dengan berbondong-bondong para penaja yang ingin tampil di laman sosialnya.

Kali terakhir dia memuat naik media kandungan media adalah pada 1 Julai, sebelum memuat naik sekeping gambar terbaharu yang memaparkannya sedang berlatih di gimnasium beserta kapsyen – HARD WOK, atau dalam Bahasa Melayunya disebut KERJA KERAS.

Dalam gambar tersebut, jelas terlihat otot deltoidnya yang begitu besar, selain bicep dan tricep yang begitu kekar dan berurat. Otot pectoralis major dan minor juga turut kelihatan menimbul manakala sternocleidomastoid tidak dapat dilihat, mungkin kerana Ronaldo bukan sedang meneran.

Menariknya, latihan tersebut mempamerkan Ronaldo sedang memakai seluar pendek jersi ketiga Manchester United pada musim lalu. Mungkin ini salah satu cara untuknya memberitahu dunia bahawa dia akan kekal di Old Trafford, ataupun mahu mengambil hati para penyokong kelab tersebut.

Lagi pula, kenapa Ronaldo tiba-tiba memaparkan gambar dia memakai seluar Adidas, sedangkan penaja rasminya adalah Nike, kan?

Sepanjang berada di Thailand tempoh hari, pengurus United, Erik ten Hag telah dihujani dengan soalan tentang Ronaldo daripada para wartawan dan dia mengulangi jawapan yang mengatakan bahawa dia penjaring terbanyak kelab pada musim lalu tidak akan meninggalkan United.

“Dia tidak bersama kita pada kali ini dan itu adalah kerana ada masalah peribadi,” ujar ten Hag awal minggu ini.

“Tapi kita ada rancangan dengan Cristiano untuk musim ini, jadi itulah ceritanya dan aku memang tunggu je nak bekerja dengan dia.

“Aku ada sembang dengan dia sebelum semua cerita [perpindahan] ini keluar.

“Aku memang sembang baik punya la, tapi itu aku dan dia je yang tahu. Apapun, Cristiano bukan untuk dijual.”

United membuka tirai pra musim 2022 dengan begitu bergaya apabila dengan bersahaja membelasah seteru kuat mereka, Liverpool, empat gol tanpa balas dalam perlawanan di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Selepas perlawanan, United terbang ke Australia dan bakal bertemu Melbourne Victory pada 15 Julai di Padang Kriket Melbourne, serta bertemu Crystal Palace di gelanggang yang sama pada 19 Julai nanti.

Syaitan Merah akan melengkapkan jelajah Asia-Pasifik mereka dengan menentang Aston Villa pada 23 Julai di Stadium Optus, Perth.

Seminggu kemudian, United akan bertemu Atletico Madrid di stadium Ullevaal, Oslo, Norway sebelum melengkapkan perlawanan pra musim mereka dengan perlawanan menentang Rayo Vallecano di Old Trafford pada 31 Julai.

Sumber berita : Goal, Mirror

BACA:  Skuad Dan Pemain Paling Bernilai Di Euro 2016