Sepakan Percuma Henry di Latihan Belgium Membuatkan Romelu Lukaku dan Kevin de Bruyne Terkedu dan Tersipu-Sipu

Thierry Henry bukanlah satu nama asing dalam bola sepak, lagi-lagi di kalangan penyokong Arsenal. Penyerang lagenda ini sering membuatkan pertahanan dan penjaga gol lawan menjadi terpinga-pinga dan terkedu dengan kemampuannya menggelecek bola dan ketajamannya di depan gol.

Henry juga merupakan sebahagian daripada pasukan Arsenal yang telah mencipta sejarah dengan memenangi liga tanpa merekodkan sebarang kekalahan suatu ketika dahulu lantas mereka digelar The Invincible.

Secara keselurhannya, Henry telah menjaringkan 175 gol buat Arsenal dalam 258 perlawanan liga. Disebabkan kemandulan dan ketidakmampuan Arsenal mencabar kejuaraan liga, Henry memilih untuk berhijrah ke Barcelona dan bermain di bawah kendalian Pep Guardiola, sebelum berangkat meninggalkan bumi Eropah menyertai kelab Amerika Syarikat di Major League Soccer, New York Red Bulls.

Selain itu, Henry juga memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan kebangsaan Perancis di mana dia telah menjaringkan 51 gol dalam 123 perlawanan. Sehingga kini, hanya Olivier Giroud yang hampir menyamakan rekod ini di mana dia telah menjaringkan 46 gol dalam 108 perlawanan.

Tahun 2014 menyaksikan pemain ini telah pencen daripada bola sepak bola sepak secara sepenuhnya.

Kini berusia 43 tahun, selain muncul di televisyen sebagai pundit, Henry juga masih lagi terlibat secara aktif dalam bola sepak dengan menjadi pembantu jurulatih kepada pasukan kebangsaan Belgium, sementara menunggu usianya 50 tahun supaya dia dapat mengeluarkan duit KWSP.

Dalam latihan skuad Belgium menjelang pertemuan terakhir kumpulan B menentang Finland, Henry memperagakan aksi yang mengesahkan bahawa Henry adalah ‘otai yang masih berbisa’ atau dalam bahasa Perancis disebut j’aime manger du pain.

Akaun Twitter rasmi bola sepak Belgium telah menciap satu video yang menunjukkan bagaimana Henry dengan mudah menolak bola tepat ke bucu gol daripada sepakan percuma, dengan menggunakan kaki kirinya – kaki yang lemah Henry.

Video bermula dengan Henry berdiri bersedia untuk mengambil tendangan. Kalau ikutkan Henry boleh sahaja menendang bola tersebut dengan kaki dominannya, namun demi menaikkan semangat para penyerang Belgium, Henry dengan selamba menggunakan kaki kiri.

Bola disepak dengan tenang, lalu melencong elok ke penjuru kiri penjaga gol yang hanya mampu melihat.

Tendangannya tersebut membuatkan para pemain Belgium kebingungan seketika, termasuk Romelu Lukaku yang merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia.

“Adoiiiii. Penjaring gol terbanyak tak perlu pun benda ni (menunjuk-nunjuk). Kemon laaaaaa. Masuk! Masuk!” ujar Lukaku sambil memimpin tangan Henry, menyuruhnya masuk ke dalam bangunan dan tinggalkan padang.

Pemain tengah terbaik Liga Perdana Inggeris, Kevin De Bruyne juga tidak ketinggalan meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan Henry.

“Masalahnya kitorang dah berlatih setengah jam dan jaringkan gol pun sikit.

“Dia sepak dengan kaki kiri lepas bunuh kita. Kita dah la ada game esok!” kata si Bruyne dengan suara penuh sopan santun, lantas dijawab oleh Lukaku;

“Orang ni dah pencen 10 tahu. Dia dah bunuh seluruh negara aku oi!”

Itulah yang orang putih kata class is permanent – kelas ialah kekal.

Selepas dua perlawanan, Belgium telah mengesahkan kelayakan ke pusingan  16-pasukan hasil dua kemenangan – 3-o, dengan dua gol dihasilkan Lukaku dan satu gol disumbangkan Thomas Meunier.

Dalam perlawanan kedua, walaupun dikejutkan dengan gol awal Denmark menerusi Yusuf Poulsen pada minit ke-2, Belgium bangkit dan menjaringkan dua gol menerusi Thorgan Hazard dan Kevin De Bruyne.

Dengan keputusan tersebut, Belgium dilihat selesa mendahului kumpulan dengan enam mata, dan untuk perlawanan ketiga menentang Finland nanti, mereka hanya memerlukan keputusan seri bagi mengesahkan status mereka sebagai juara kumpulan B.

Sekiranya Belgium muncul juara kumpulan, mereka akan berdepan pasukan di tangga ketiga sama ada dari kumpulan A, D, E atau F, pada 27 Jun nanti.

Berita : GMS

BACA:  Thibaut Courtois Merajuk Dan Hilangkan Diri Selepas Lilitan Kapten Belgium Diberikan Kepada Lukaku