Sergio Aguero Bersara Daripada Bola Sepak

Pemain Barcelona dan Argentina, Sergio Aguero, telah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak enam bulan selepas menyertai kelab Catalan tersebut dari Manchester City.

Aguero yang baru berusia 33 tahun hanya melakukan lima penampilan buat pasukan Barcelona dek masalah kecederaan dan kesihatan sejak berpindah ke Sepanyol.

Pada 30 Oktober lalu, dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami ketidakselesaan di bahagian dada ketika pasukannya seri 1-1 dengan Alaves.

Aguero menamatkan karier bola sepaknya selepas mencatatkan rekod 427 gol dalam 786 perlawanan.

Sebaik tamat kontrak bersama City, Aguero telah berpindah ke Barcelona dengan harapan dapat beraksi bersama kawan baiknya, Lionel Messi. Namun, harapannya hancur selepas Messi tidak berjaya dikekalkan oleh Barcelona dan berpindah ke Paris Saint Germain.

Dalam musim terakhirnya bersama City, Aguero telah mengalami banyak masalah kecederaan sekaligus membuatkannya banyak berada di bilik rawatan berbanding di padang.

Perpindahannya ke Barcelona juga tidaklah bermula dengan baik apabila dia pada mulanya tidak dapat didaftarkan kerana kelab tersebut sedang berada dalam masalah kewangan yang meruncing.

Kelab tidak dibenarkan untuk mendaftarkan pemain baharu walaupun percuma, dek sekatan yang dikenakan oleh pengendali La Liga. Namun apabila dia berjaya didaftarkan oleh Barcelona, Aguero pula mengalami kecederaan peha sekaligus terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi sehingga bulan Oktorber.

Pada 24 Oktober, Aguero telah menjaringkan gol saguhati pada minit ke-90 ketika menentang Real Madrid dan tiga hari kemudian dia berada dalam kesebelasan utama buat kelab.

Tetapi selepas dikeluarkan ketika menentang Alaves, Aguero terpaksa melalui ujian kesihatan jantung dan menyerahkan masa depannya di tangan doktor yang terlibat.

Pada mulanya Aguero mengatakan bahawa keadaannya hanya perlu dipantau selama 90 hari, walaubagaimanapun tular berita mengatakan bahawa dia sebenarnya mengalami degupan jantung yang tidak sekata, atau dalam bahasa doktornya disebut cardiac arrythmia.

Sumbangan terakhirnya buat pasukan kebangsaan Argentina adalah dalam kempen Copa America pada musim panas lalu di mana dia masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan suku akhir ketika menentang Ecuador. La Albiceleste berjaya memenangi piala tersebut menamatkan penantian selama 28 tahun.

Statistik Gila Aguero

Penjaring Keempat Terbanyak

Aguero adalah penjaring keempat terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan 184 gol dalam 275 perlawanan, hanya di belakang Alan Shearer yang menjaringkan 260 gol, Wayne Rooney dengan rekod 208 gol dan Andrew Cole yang berjaya menembusi gawang lawan sebanyak 187 kali.

Dia juga merupakan penjaring terbanyak bagi kategori rakyat asing, sembilan gol mengatasi Thierry Henry yang merekodkan 175 jaringan.

Conversion Rate Yang Tinggi

Selain itu, Aguero juga telah menjaringkan satu gol dalam setiap 108 minit perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris dan ini adalah kadar conversion yang paling tinggi dalam liga terbaik di dunia tersebut.

Sebenarnya, Aguero masih boleh bermain selama 2520 minit, bersamaan dengan 28 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris tanpa jaringan dan masih lagi mempunyai nisbah minit per gol terbaik bagi mana-mana pemain yang telah menjaringkan lebih 20 gol.

Hatrik

Penyerang Argentina ini telah mencipta 18 hatrik dalam kariernya, termasuk 12 kali di dalam saingan Liga Perdana Ingggeris – rekod tertinggi bagi mana-mana pemain dalam divisyen tertinggi bola sepak England.

Konsistensi

Di antara musim 2007-08 sehingga musim 2019-20, Aguero telah menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol semusim, dalam 12 daripada 13 musim tersebut. Dia juga telah mencapai lebih 30 gol dalam lima musim berasingan sepanjang bersama Manchester City.

Liga Juara-Juara UEFA

Secara totalnya, Aguero telah menjaringkan 36 gol buat Manchester City dalam saingan tertinggi buat kelab-kelab Eropah, Liga Juara-Juara UEFA – berkongsi rekod bersama Didier Drogba. Jumlah ini merupakan jaringan terbanyak daripada seorang pemain, buat kelab-kelab Inggeris.

Pasukan Lawan

Sebanyak 128 pasukan telah merasai bagaimana perasaannya selepas gol mereka dibolosi Aguero. Antaranya adalah Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich, Chelsea, Liverpool, Manchester United dan juga Queens Park Rangers.

AGUEROOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOO

Meskipun sudah banyak kali menjulang trofi Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City, detik yang paling diingati oleh mana-mana penyokong bola sepak adalah pada perlawanan terakhir musim 2011-12 di mana pasukan Citizens bertemu Queens Park Rangers di laman sendiri.

Pada penghujung perlawanan, City berjaya mengikat kedudukan 2-2 dengan Manchester United telah pun menamatkan perlawanan mereka di Stoke dengan kemenangan 1-0.

Jika City kekal seri, United akan ditabalkan sebagai juara pada musim tersebut.

Maka terjadilah satu detik yang paling tidak akan dilupakan oleh semua peminat bola sepak.

Aguero mendapat bola di luar kotak penalti dan dia menolaknya kepada Mario Balotelli yang dikerumuni oleh pertahanan QPR. Dengan penuh cekal Balotelli mengawal bola dan mengumpannya kembali kepada Aguero yang sudah melakukan larian ke dalam kotak penalti.

Sebaik menerima bola, Aguero melakukan satu feint dan membuatkan seorang pemain QPR terduduk, sebelum dia melepaskan satu rembatan yang membawa kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat Manchester City buat pertama kali.

Bak kata Martin Tyler;

“AGUEOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOOO!”

Sumber : BBC

BACA:  Sergio Aguero Menganjing Muat Naik Garnacho Yang Memuji Ronaldo