Sergio Ramos Teruk Kena Boo Dengan Penyokong Sendiri Ketika Aksi Bertemu Lorient

Selepas Neymar dan Lionel Messi menjadi mangsa cacian para penyokong Paris Saint Germain, kini giliran Sergio Ramos pula yang terpaksa berdepan situasi sama.

Ketika beliau tampil dalam aksi bertemu Lorient awal pagi tadi, Sergio Ramos teruk kena boo dengan penyokong sendiri setiap kali beliau menyentuh bola.

Kehidupan Sergio Ramos di Parc des Princes sejak awal beliau ditandatangani tidak begitu baik dengan beliau kerap diketepikan dek kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Beliau jarang membuat penampilan dan Ramos juga terpaksa diketepikan selama beberapa bulan selepas beliau melengkapkan perpindahan sensasi dari Real Madrid ke PSG pada musim panas lalu.

Beliau setakat ini hanya membuat tiga penampilan sahaja di halaman sendiri dengan aksi kemenangan 5-1 bertemu Lorient awal pagi tadi merupakan penampilan ketiga beliau.

Walau bagaimanapun, sambutan yang beliau dapat dari para peminat jelas sekali sangat mendukacitakan dengan Ramos teruk kena boo dengan penyokong sendiri di Parc des Princes.

Bekas bintang Real Madrid itu dimasukkan ke padang sebagai pemain gantian pada minit ke-72 permainan dengan beliau ketika itu masuk menggantikan Marquinhos.

Ketika nama beliau diumumkan, para penyokong PSG mengiringi pengumuman tersebut dengan memboo dan mencaci bekas ketua pasukan Real Madrid itu.

Lebih teruk lagi, setiap kali Ramos menyentuh bola, para peminat tidak henti-henti memboo dan mencaci beliau.

Mauricio Pochettino kemudiannya tampil menegaskan kepada para penyokong Paris Saint Germain supaya lebih menghormati pemain pertahanan veteran itu.

Bercakap selepas tamat perlawanan tersebut, Ramos menyatakan bahawa:

“Wisel untuk Sergio Ramos? Kita semua terkesan, saya rasa para penyokong kecewa dengan keputusan dalam saingan Champions League, saya tak rasa ia memang ditujukan kepada mereka.”

“Dia seorang Juara yang hebat, dia berhak dihormati sama seperti semua pemain PSG yang lain.”

Sergio Ramos baru beraksi sebanyak enam perlawanan sahaja dari semua pertandingan bersama Paris Saint Germain sepanjang musim ini.

PSG juga dilaporkan turut pernah terfikir untuk membatalkan kontrak Ramos pada awal musim baru-baru ini kerana melihatkan bintang Sepanyol itu kurang minit permainan.

Pemain pertahanan berusia 36 tahun itu menjadi pemain ketiga selepas Neymar dan Lionel Messi yang menjadi mangsa kecaman para penyokong.

Kedua-dua Neymar dan Lionel Messi sebelum ini teruk kena boo oleh penyokong PSG sendiri selepas mereka tersingkir dari saingan Champions League.

Selepas kekalahan bertemu Real Madrid, PSG turun beraksi bertemu Bordeaux dalam saingan Ligue 1 dan ketika itulah kedua-dua mereka menjadi mangsa hinaan para penyokong sendiri.

Para penyokong PSG sehingga kini masih tak terima yang mereka sudah tersingkir dari saingan Champions League.

Piala terbesar Eropah itu merupakan antara kejuaraan paling diimpikan oleh para peminat dan kerana itulah mereka tak terima kenyataan yang PSG sekali lagi gagal untuk memenangi kejuaraan terbesar Eropah itu.

Pada musim panas lalu, Paris Saint Germain menggegarkan dunia bola sepak selepas mereka mengumumkan beberapa pemain berprofil tinggi sebagai penandatanganan terbaru kelab.

Sergio Ramos, Gini Wijnaldum, Lionel Messi, Gianluigi Donnarumma dan Achraf Hakimi merupakan antara pemain yang PSG tandatangani pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Walau bagaimanapun, kesemua mereka gagal untuk membantu PSG memenangi gelaran Eropah, walaupun gergasi Perancis itu dilihat sebagai calon kegemaran untuk membawa pulang Piala telinga capang itu pada musim ini.

Dan atas alasan itu jugalah yang membuatkan para penyokong hilang sabar dan melepaskan geram kepada para pemain selepas mereka tersingkir dari saingan Champions League musim ini.

Wal au bagaimanapun juga, ramai pihak yang menghentam para penyokong PSG kerana merasakan mereka terlalu kejam terhadap pemain sendiri.

Sumber: SPORTbible

BACA:  6 Impian Sergio Ramos 'Kempunan' Selepas Sah Tinggalkan Real Madrid