Messi Marah Selepas Dipakuk Sergio Ramos Dalam Latihan

Sergio Ramos dan Lionel Messi mungkin merupakan rakan sepasukan sekarang ini namun sejarah menunjukkan kedua-dua mereka merupakan seteru utama ketika masing-masing menyarung jersi Real Madrid dan Barcelona.

Kini bermain untuk Paris Saint Germain, Messi dan Ramos dilihat bagaikan sudah bersahabat baik.

PSG telah memenangi gelaran juara Ligue 1 pada musim lalu tetapi rekod menunjukkan kedua-dua pemain ini tidak mengharungi musim yang memuaskan. Messi menjaringkan gol yang membolehkan pasukannya menjulang trofi liga tetapi sepanjang musim dia hanya menjaringkan 11 gol dalam kesemua pertandingan.

Ramos pula bergelut dengan kecederaan dan hanya tampil dalam 13 perlawanan buat pasukan Les Parisiens.

Kedua-dua pemain ini kini menyertai rakan sepasukan dalam jelajah pra-musim di Jepun dan berlatih di bawah jurulatih yang baru, Christope Galtier dan dalam perlawanan persahabatan, pasukan tersebut telah memenangi kesemua tiga perlawanan, termasuk kemenangan besar 6-2 ke atas Gamba Osaka.

Galtier juga telah membuka peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan latihan terbuka pasukannya dan telah berlaku satu insiden yang menarik minat peminat bola sepak lantas menggamit kenangan lama.

Pada suatu ketika, tatkala Messi sedang menggelecek bola, Ramos dilihat telah menghulurkan kakinya secara melulu dan berbahaya. Messi berjaya melepasi cabaran tersebut, walaupun hampir tergolek, lalu menjaringkan gol menerusi rembatan leret.

Ketika para penyokong bertepuk tangan meraikan kehebatan Messi, pemain Argentina ini telah merenung tajam ke arah Ramos, seakan tidak berpuas hati dengan tindakan pemain Sepanyol itu menghulurkan kaki secara membabi buta dan boleh mendatangkan kecederaan.

Pada hari Isnin, PSG telah mempamerkan aksi luar biasa padu pada separuh masa pertama ketika menentang Gamba Osaka apabila mereka berjaya menjaringkan empat gol sebelum masa rehat.

Gol kedua PSG terhasil menerusi penalti kontroversi selepas Neymar jelas melakukan diving.

Saat Neymar membawa bola di dalam kotak penalti dan menghampiri garisan gol, dia telah melakukan pusingan semula sambil dicabar pertahanan Gamba Osaka, Genta Miura.

Meskipun Miura melakukan terjahan, dia berjaya menarik kakinya daripada memakan kaki penyerang Brazil tersebut dan jika ada sentuhan sekalipun, ia amatlah minima dan tidak berupaya menjatuhkan walau sekecil manapun seseorang pemain itu, apatah lagi pemain bersaiz seperti Neymar.

Akan tetapi, mungkin ada aura keramat yang dilepaskan oleh Miura, Neymar bergolek jatuh dan hampir melakukan sommersault sambil menjerit,”Adoooooooooiiiii!” dalam bahasa Brazil.

Pengadil yang bagaikan terpukau dengan aksi mustahil Neymar tersebut, terus memberikan PSG sepakan penalti meskipun dibantah oleh Miura dan rakan sepasukannya.

Neymar yang mengambil sepakan tersebut, tidak mempunyai masalah untuk menggandakan jaringan pasukannya selepas Sarabia menjaringkan gol pertama pada minit ke-27.

Gol Sarabia terhasil selepas rembatan tepat Messi berjaya ditampan penjaga gol Gamba Osaka, akan tetapi bola muntah ke hadapan pemain Sepanyol ini yang kemudiannya melakukan rembatan sekuat hati ke arah gol yang tidak dijaga.

Pada minit ke-33 Gamba Osaka merapatkan kedudukan menerusi Keisuke Kurokawa. Kosuke Onose berjaya menewaskan pertahanan PSG dan masuk ke dalam kotak penalti, sebelum melepaskan rembatan ke arah gol namun terkena badan Gigi Donnarumma. Bola kemudiannya melantun ke badan Musashi Suzuki dan bola melantun ke dalam gol PSG.

Mujur Donnarumma ni bukan calang-calang punya penjaga gol di mana dia berjaya menepis bola hampir di atas garisan gol. Walaubagaimanapun, bola muntah ke depan Kurokawa yang merembat padu ke dalam gol PSG.

Selepas bolos, nafsu PSG semakin berganda-ganda dan gol ketiga terhasil menerusi Nuno Mendes yang melakukan rembatan padu dari sebelah kiri padang.

Pada minit ke-39, Neymar menunjukkan aksi yang masteclass dan luar biasa dahsyat sebelum melakukan lorongan kepada Messi di dalam kotak penalti. Messi kemudiannya menolak bola ke dalam gawang dengan satu sentuhan meskipun dicabar tiga pemain pertahanan Gamba Osaka.

Pada minit ke-60, Neymar menjaringkan gol kedua peribadinya apabila dia melakukan larian pantas dan menggelecek penjaga gol Gamba Osaka – gerakan yang persis Ronaldo Fenomeno suatu ketika dahulu.

Melengkapkan gol keenam PSG adalah sporting director merangkap pemain, Kylian Mbappe yang membawa dirinya masuk menggantikan Pablo Sarabia pada minit ke-61, menerusi sepakan penalti.

PSG bakal memulakan musim baru mereka menentang Nantes pada 1 Ogos nanti, dalam perlawanan Trophee des Champions. Pada 7 Ogos pula, mereka bakal memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Ligue 1 menentang Clermont Foot.

Sumber :  Mirror

BACA:  Souness: Mbappe Tidak Setaraf Messi dan Tidak Akan Pernah....