Serie A: Fiorentina 0-2 Juventus

Juventus berjaya melonjak ke kedudukan teratas Serie A selepas berjaya mengenepikan cabaran Fiorentina malam tadi dengan jaringan 2-0.

Gol Juventus dijaringkan oleh Federico Bernardeschi dan Gonzalo Higuain pada separuh masa kedua. Walaubagaimanapun, Juventus seharusnya berterima kasih kepada video bantuan pengadil (VAR) yang telah membatalkan sepakan penalti yang hampir diberikan kepada Fiorentina pada separuh masa pertama kerana offside.

Insiden penalti tersebut berlaku pada minit ke-18 selepas pengadil perlawanan, Marco Guida mendakwa bola terkena tangan Giorgio Chiellini. Akan tetapi 3 minit kemudian, pengadil menarik kembali keputusan tersebut selepas merujuk bantuan video.

Juventus akhirnya memperoleh gol pembukaan melalui jaringan bekas pemain Fiorentina, Federico Bernardeschi pada minit ke-56 hasil sepakan percuma yang cantik.

Ketika perlawanan berbaki beberapa minit sahaja lagi, Higuain berjaya melenyapkan api perjuangan pemain Fiorentina dengan menjaringkan gol kedua Juventus bagi menjadikan kedudukan akhir perlawanan 2-0.

Selain insiden kontroversi penalti yang ditarik balik, perlawanan ini turut diingati kerana penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon melakukan penampilan ke-500 liga bersama Juventus. Buffon juga telah mengumumkan musim ini bakal menjadi musim terakhirnya sebagai pemain profesional dan bakal bersara pada penghujung musim nanti.

Dengan kemenangan ini, Juventus merampas kedudukan Napoli di persada liga dengan kelebihan 2 mata, tetapi Napoli mempunyai kelebihan satu perlawanan dan bakal bertemu Lazio hari ini.

BACA:  Serie A 2020/21: Udinese 1-2 Juventus