Siapa Ryan Gravenberch Dan Kenapa Liverpool Beriya Membelinya

Ketika Ryan Gravenberch tiba di kompleks latihan Liverpool bersama teman wanita (Cindy Peroti) pada hari-hari terakhir jendela perpindahan lepas, beberapa wajah yang terkenal sedang menunggu untuk menyambut kehadiran mereka.

“Akhirnya, pemain Belanda yang bagus!” kata Andy Robertson ketika Gravenberch diperkenalkan kepada kepada para pemain Liverpool.

Klopp juga menyambutnya dengan penuh gembira dan mengalu-alukannya masuk ke pejabat dan berkata,

“Mari kita mulakan dengan perkara paling buruk. Cuaca (disini) tidak secantik di Munich tetapi benda lain adalah yang terbaik. Ini adalah kelab besar. Kami akan membantu anda semampu mungkin.”

Dalam perbincangan tertutup itu Gravenberch bercakap tentang keazamannya untuk membina permulaan baru. Gravenberch melalui musim yang mengecewakan di Bayern Munich. Dia hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak 3 kali di Bundesliga.

“Akhirnya, saya di sini,” kata Gravenberch dengan muka berseri-seri.

Liverpool telah lama berusaha untuk mendapatkan pemain berusia 21 tahun itu, namun akhirnya kesabaran menjadi kunci kepada penyatuan mereka. Liverpool berjaya membeli Gravenberch dengan yuran perpindahan £34 juta dan mengikatnya selama 5 musim.

Ketibaan Gravenberch melengkapkan rombakan besar-besaran yang dilakukan Liverpool di bahagian tengah. Sebelum ini Liverpool sudah membawa masuk Alexis Mac Allister, Dominic Szobozslai dan Wataru Endo.

Liverpool telah mengenepikan polisinya ketika membeli Endo. Liverpool tidak mahu pemain tua dan Endo agak berusia namun pembelian Gravenberch telah mengembalikan halatuju Liverpool iaitu mendapatkan pemain muda yang mempunyai pengalaman luas di peringkat elit.

Bagaimana proses pembelian Gravenberch berlaku

Sejak musim lalu Liverpool dan ejen Gravenberch telah mengadakan satu dialog positif. Gravenberch berada di bawah super ejen mendiang Mino Raniola yang kemudiannya diambil alih oleh Rafaela Pimenta selepas kematiannya.

Pada April lepas ketua peninjau Liverpool Barry Hunter (ketua scout Liverpool) pergi ke Belanda untuk bertemu dengan Ryan senior (bapa Gravenberch). Gravenberch sudah mula bosan di Bayern Munich. Dia gagal mendapat tempat disana dan mahu berpindah ke Liverpool.

Walaupun Bayern sudah bertukar ketua jurulatih, dari Julian Nagelmann kepada Thomas Tuchel namun nasib Gravenberch tetap sama, gagal menjadi pemain utama kelab itu tetapi dalam masa sama Bayern enggan melepaskanya.

Bercakap mengenai Gravenberch gagal mendapat tempat di Bayern, Tuchel berkata,

“Masalah utama untuknya adalah kami tidak menggunakan pemain NO8 dalam sistem 4-2-3-1 kami,” jelas Tuchel

“Dia pemain box-to-box, pemain menyerang. Gravenberch merupakan pemain yang cukup baik, bekerja keras, komited. Dia tidak berpuas hati dengan situasinya. Dia melihat peluangnya ada di Liverpool, untuk mendapat tempat dalam peranan NO8 dengan sistem 4-3-3. Dia mahu pergi.”

72 jam sebelum jendela perpindahan ditutup, pendirian Bayern masih sama tidak mahu menjual Gravenberch. Bayern tidak dapat membuat keputusan sama ada mahukan duit atau mengekalkan pemain yang tidak berpuas hati.

Manchester United juga berminat untuk mendapatkan Gravenberch tetapi tumpuan kelab itu telah beralih kepada Sofyan Amrabat. Lagipun hati Gravenberch tetap di Anfield dan Liverpool bergerak pantas untuk mendapatkan pemain itu.

Liverpool tidak terdesak untuk mendapatkan seorang lagi pemain-tengah defensif selepas membeli Endo pada bulan sebelumnya. Klopp juga sudah mempunyai Mac Allister, Thiago dan Stefan Bajcetic untuk bersaing di posisi NO6.

Klopp mahukan pemain-tengah pelbagai-fungsi dan dia melihat Gravenberch sebagai pemain yang ideal. Gravenberch boleh bermain dibahagian bawah jika diperlukan dan juga sebagai pilihan berkesan jika beroperasi dibahagian atas.

“Apa yang dikatakan oleh Thomas Tuchel, posisi terbaik yang Gravenberch miliki tidak ada dalam sistem Bayern. Kami ada (posisi) itu — itu bagus,” kata Klopp.

“Dia sangat berbakat. (Mempunyai) mata yang baik untuk (melakukan) hantaran. Dia boleh menjadi ancaman box to box sejati. Ia sesuai dengan skuad kami.”

Bagaimana karier Gravenberch berkembang

Nama Gravenberch sudah lama berada dalam radar Liverpool, sejak pemain itu berada di Ajax. Liverpool terpikat dengan tenaga dan keazamannya yang cukup menyerlah.

Gravenberch muncul pemain paling muda dalam sejarah Ajax yang menjulang kejuaraan Eredivisie. Pada tahun 2018, Erik Ten Hag memberi penampilan sulung kepadanya. Ketika itu dia berusia 16 tahun 130 hari. Penampilan itu telah memadam rekod Clarence Seedorf.

Dengan ketinggian 6 kaki 3 inci (190cm), secara fizikal Gravenberch cukup mengagumkan dan kepantasan juga dianggap sebagai salah satu kekuatan utamanya. Liverpool percaya Gravenberch mempunyai persamaan dengan Georginio Wijnaldum.

Pada usia 20 tahun Gravenberch telah muncul lebih 100 kali bersama Ajax. Posisi terbaiknya adalah pemain-tengah sebelah-kiri dalam sistem 3 midfielder.

Pada usia 8 tahun Gravenberch menyertai akademi Ajax. Dennis de Haan merupakan salah seorang jurulatih remajanya.

Gravenberch meningkat dengan begitu cepat dan kadang-kadang perkara itu membuatkannya leka. De Haan bercerita tentang satu taklimat pasukan di bilik persalinan sebelum perlawanan peringkat remaja. Selepas membentangkan rancangan taktikal, de Haan bertanya ada sesiapa mempunyai soalan.

“Pukul berapa kantin buka sebab saya nak makan sandwich keju panggang nanti?” tanya Gravenberch.

Gravenberch meningkat dibawah bimbingan Ten Hag, dalam skuad utama Ajax. Pada tahun lalu Ten Hag menyertai Manchester United dan Gravenberch menyertai Bayern Munich.

“Dia mempunyai keupayaan tingg terutamanya dalam menyerang, dia memahami kerja keras,” kata Ten Hag.

Pada musim terakhirnya di Amsterdam, Gravenberch melakukan 3.9 percubaan untuk setiap 90 minit. Angka itu meletakkannya antara pemain-tengah terbaik di Belanda.

Dia juga merekodkan 11 hantaran ‘pra-bantuan’. 16% hantarannya adalah hantaran progresif.

Pada tahun 2022 Liverpool mahu mendapatkan Gravenberch namun ia ditolak oleh Bayern yang membayar £20 juta untuk mendapatkannya dari Ajax. Namun Gravenberch tidak cemerlang di Bayern dan Liverpool percaya pemain ini akan berada di pasaran.

Pergolakan di Bayern menyukarkan seorang pemain muda untuk mencipta nama dan kini Gravenberch bukan sahaja menyertai pasukan yang mempunyai gaya dan sistem yang sesuai dengan kualitinya tetapi dia mempunyai pengurus yang benar-benar menghargainya.

BACA:  Guardiola: Tahniah Liverpool, Anda Berhak Berada Di Kedudukan Teratas