Sokratis Tolak Tawaran Manchester United Untuk Sertai Arsenal

Pemain pertahanan Borussia Dortmund, Sokratis Papastathopoulos semakin hampir untuk menyertai Arsenal menurut bapa kepada pemain terbabit.

Bapa Sokratis turut mendakwa anaknya ada menerima tawaran daripada Manchester United tetapi memilih untuk menyertai Arsenal. Sokratis mengikut jejak langkah beberapa bekas pemain Dortmund seperti Henrikh Mkhitaryan dan Pierre Emerick-Aubameyang dengan berhijrah ke Emirates Stadium.

Tolak nafsu untuk menyertai Red Devils kerana mahu menaikkan kembali The Gunners yang agak lembik kebelakangan ini

Sebelum ini, beberapa sumber dari Jerman dan England melaporkan Arseanal telah mengenalpasti Sokratis sebagai pemain yang akan dibawa masuk untuk memperkuatkan bahagian pertahanan mereka yang amat rapuh musim lepas.

Selain Sokratis, pemain veteran Juventus Stephan Lichtsteiner juga akan dibawa masuk secara percuma bagi memberi saingan kepada posisi bek kanan yang kini diisi oleh Hector Bellerin.

Walaupun sudah berusia 34 tahun, kemasukan Lichtsteiner dianggap penting bagi menambah pengalaman kepada barisan pertahanan Arsenal yang akan memulakan musim hadapan tanpa khidmat Laurent Koscielny yang masih lagi cedera.

Sokratis kini sudah berada di kota London bagi melakukan ujian perubatan

Arsenal dilaporkan perlu membayar £16 juta kepada Dortmund bagi mendapatkan Sokratis yang hanya mempunyai baki 1 tahun dalam kontraknya. Arsenal telah lama menyimpan minat terhadap Sokratis dengan Arsene Wenger cuba mendapatkan beliau 2 tahun yang lalu tetapi tidak berjaya.

Ayah Sokratis, Charalambos Papastathopoulos ketika bercakap kepada radio berpengakalan di Greece mengesahkan anaknya akan bermain di London musim hadapan.

“Terdapat minat dari Manchester United terhadap Sokratis tetapi kami perlu menunggu sehingga bulan Julai jika mahu menyertai United.”

“Manchester United mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Borussia Dortmund dan kedua-dua pasukan ada berbincang mengenai Sokratis, tetapi Sokratis memilih untuk menyertai Arsenal.”

“Sokratis akan berhijrah ke liga yang lebih tinggi, liga yang paling kompetitif di dunia dan saya percaya beliau akan bermain dengan baik di sana.”

“Selain itu, Sokratis juga berada dalam tahun terakhir dalam kontrak beliau. Ia merupakan sebab utama mengapa Dortmund mahu perjanjian ini diselesaikan segera.”

Selain Sokratis,Stephan Lichtsteiner juga akan dibawa masuk bagi menambah lagi pengalaman ke dalam barisan pertahanan Arsenal

“Sokratis gembira dengan perpindahan ini, beliau kini berada di England dan beliau akan melakukan perkara biasa bagi melengkapkan perpindahan ke Arsenal. Segalanya berlangsung dengan baik dan  Sokratis juga cukup gembira kerana dapat bertukar kelab.”

Selepas 22 tahun, Arsenal akan memulakan Liga Perdana Inggeris musim hadapan tanpa kehadiran Arsene Wenger di bangku simpanan. Tempat beliau kini diambil alih oleh bekas pengurus Paris Saint-Germain, Unai Emery.

Antara tugas utama Emery adalah untuk membawa Arsenal kembali ke Liga Juara-Juara Eropah selepas dua musim tidak beraksi dalam kejohanan tersebut. Banyak pihak menggesa Emery supaya memperbaiki bahagian pertahanan terlebih dahulu bagi memastikan misi tersebut tercapai.

Setakat ini, Emery menerima dengan baik gesaan tersebut dengan membawa masuk Sokratis dan Lichtsteiner pula dijangka akan menyusul tidak lama lagi.

BACA:  Arsenal Terus Gayat Dalam Perlawanan Penuh Drama vs Leeds