Solskjaer Akhirnya Diangkat Menjadi Pengurus Tetap Manchester United

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United akhirnya mengumumkan berita yang ditunggu-tunggu setiap peminat apabila mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer sah menjadi pengurus tetap pasukan tersebut.

Solskjaer juga dilaporkan telah menandatangani kontrak selama 3 tahun di Old Trafford dan akan kekal di kelab tersebut sehingga tahun 2022.

Solskjaer si babyface adalah pengurus United yang baru !!

Berikutan pemecatan Jose Mourinho dari jawatannya pada Disember tahun lepas, pihak atasan membuat keputusan untuk melantik Solskjaer sebagai pengurus sementara.

Sejak mengambil alih pasukan tersebut, Solskjaer melakukan ‘lompatan saujana’ apabila mencatatkan 14 kemenangan dari 19 perlawanan yang mereka harungi bersama.

Antara kemenangan paling diingati adalah kejayaan menewaskan Paris Saint-Germain di tempat lawan sekali gus layak ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dengan kemenangan tersebut, Solskjaer sekali lagi berpeluang untuk mencipta sejarah baru bersama United apabila diundi bertemu Barcelona dalam pusingan suku akhir.

Di peringkat domestik pula, beliau berjaya membawa United ke posisi yang mampu membawa pasukan itu layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Sidang media pertama Solskjaer sebagai pengurus tetap United akan berlangsung pada malam ini. Berikut adalah kenyataan Solskjaer yang dipetik dari laman web rasmi kelab tersebut.

“Sejak hari pertama saya tiba, saya berasa seperti berada di rumah bersama kelab yang istimewa ini.”

“Saya sangat berbangga kerana dapat bergelar pemain Manchester United dan memulakan karier kejurulatihan bersama pasukan ini.”

“Beberapa bulan kebelakangan ini merupakan pengalaman yang menakjubkan buat saya dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, pemain, dan staff atas kerja keras yang mereka tunjukkan setakat ini.”

Nasib baik lah Solskjaer masuk lambat. Kalau tak habis la Liverpool

“Ini merupakan kerja yang saya idamkan selama ini dan saya berasa sangat gembira diberi peluang untuk membimbing kelab ini dalam tempoh jangka panjang. Saya berharap mampu memberi kejayaan berterusan kepada pasukan ini kerana peminat kami berhak merasainya.”

Sebelum ketibaan Solskjaer, Red Devils melalui permulaan musim paling buruk sepanjang 28 tahun dan berada 11 mata di belakang slot terakhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus sementara United, beliau berjaya membimbing pasukan tersebut mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City.

Selepas itu, United berjaya memenangi kesemua 8 perlawanan yang mereka harungi dalam semua pertandingan termasuk kejayaan menyingkirkan Arsenal dari Piala FA di Emirates Stadium.

Sebelum tewas kepada Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris pertengahan bulan ini, United melalui 12 perlawanan tanpa kalah dalam liga.

Mereka kini menduduki tempat ke-5 dalam Liga Perdana Inggeris, hanya dua mata dipisahkan dengan Arsenal yang menduduki slot terakhir untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Solskjaer bakal berdepan cabaran Watford di halaman sendiri pada hujung minggu ini dalam perlawanan pertama beliau sebagai pengurus tetapi Setan Merah.

BACA:  Manchester United Dan Alexis Sanchez Sah Telah Berpisah