Son Dedikasikan Gol Jaringannya Untuk Christian Eriksen

Son Heung Min memberikan tribute kepada bekas rakan sepasukannya, Christian Eriksen selepas beliau menjaringkan gol untuk Korea Selatan dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Ia merupakan detik yang cukup beremosi untuk melihat Son meraikan gol jaringannya sambil memberi tribute kepada Christian Eriksen.

Eriksen tumbang di atas padang ketika aksi pertemuan antara Denmark bertemu Finland dalam saingan Euro awal pagi tadi.

Beliau dengan segera telah mendapat rawatan dari para petugas kesihatan dan insiden tersebut telah mencetuskan kebimbangan di kalangan peminat seluruh dunia.

Selepas menerima rawatan di atas padang, Eriksen dengan segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Persatuan bola sepak Denmark telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa Eriksen ketika ini berada dalam keadaan stabil dan sudah boleh berkomunikasi dengan rakan sepasukannya.

Son Heung Min dan Christian Eriksen sebelum ini pernah menghabiskan masa selama lima tahun bersama Tottenham Hotspur.

Pemain Korea Selatan itu telah mendedikasikan gol jaringannya ketika bertemu Lebanon pagi tadi untuk bekas rakan sepasukannya itu.

Beliau meraikan gol jaringannya dengan menunjukkan isyarat nombor 23 yang mana ia simbolik dengan nombor jersi Eriksen ketika bersama Tottenham Hotspur.

Son juga berlari ke arah kamera dan menjerit:

“Christian Eriksen, I Love you.”

Selain Son, Lukaku dan Achraf Hakimi turut mendedikasikan gol jaringan mereka untuk Christian Eriksen.

Lukaku sendiri antara pemain yang paling terkesan dengan insiden tersebut dengan beliau secara terbuka mendedahkan yang dirinya lebih banyak menghabiskan masa bersama Eriksen berbanding keluarganya sendiri.

Selepas menjaringkan gol untuk Belgium dalam aksi bertemu Rusia awal pagi tadi, Lukaku turut menjerit, ‘I love you Chris!’ di hadapan kamera.

Dunia bola sepak berduka dengan insiden tersebut, dengan ramai yang seram melihat Eriksen tiba-tiba sahaja tumbang ketika penghujung aksi babak pertama bertemu Finland.

Eriksen telah diberikan CPR di atas padang dan diberikan rawatan segera dengan pengadil perlawanan terus menghentikan aksi permainan.

Sebaik berita berkait keadaan Eriksen sudah kembali stabil, pengadil perlawanan kembali menyambung aksi perlawanan yang telah dihentikan itu.

Usaha para pemain Denmark yang tetap meneruskan permainan walau fikiran mereka sentiasa memikirkan keadaan Eriksen wajar diberi pujian.

Tidak dilupakan sahabat Eriksen seperti Lukaku, Son dan Hakimi yang mendedikasikan gol jaringan mereka untuk midfield Denmark itu juga wajar dipuji.

Jaringan Son menerusi sepakan penalti pada aksi babak kedua permainan memberi kelebihan kepada Korea Selatan untuk mendahului permainan 2-1.

Sementara Lukaku pula berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu Belgium menewaskan Russia 3-0 awal pagi tadi.

Apa yang pasti, kedua-dua mereka bermain sambil mengharap agar Christian Eriksen berada dalam keadaan stabil dan segera sembuh.

Ketua pasukan England, Harry Kane yang juga merupakan bekas rakan sepasukan Eriksen turut memberikan ucapan tribute kepada bintang Inter Milan itu di media sosial miliknya.

“Chris, saya kirimkan kasih dan sayang saya untuk kamu dan keluarga kamu.”

Tulis Kane di laman twitter miliknya.

BACA:  Son Heung-min Bidas Spurs Skuad Lembik Selepas Kalah Lagi