Sorakan Penyokong Punca Malaysia Tewas – Menteri Belia Dan Sukan

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengeluarkan satu kenyataan yang diluar kotak apabila menyatakan bahawa sorakan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil antara punca kekalahan Malaysia kepada Bahrain.

Harimau Malaya tunduk kepada Bahrain dalam perlawanan penentuan juara kumpulan E disaingan kelayakan Piala Asia 2023 bagi mencari slot secara automatik ke kejohanan yang bakal berlangsung di China tahun hadapan.

Malaysia bermain baik sepanjang perlawanan dengan aksi menyerang yang kali terakhir dapat dilihat aksi penuh meyakinkan ini pada tahun 2019 sebelum wabak melanda.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon memperoleh gol pendahuluan namun hanya bertahan buat seketika lantaran kealpaan Bahrain memperoleh gol penyamaan yang mudah.

Namun Malaysia tidak menyerah dan terus mengasak namun kemasukan Guilherme De Paula merencatkan pasukan dan diburukkan lagi dengan kebangkitan Bahrain.

Gol kemenangan Bahrain hadir melalui kesilapan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias yang tersalah membuat keputusan sehingga menghadirkan sepakan penalti buat Bahrain.

Kesilapan terjadi dan sudah pasti akan ada yang meletakkan punca kekalahan itu kepada Farizal Marlias dan ada yang menganggap itu adat resam permainan bola sepak.

Namun bagi Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah memilih untuk memberikan pendapat yang tidak popular apabila mengutarakan pandangan bahawa penyokong antara faktor kekalahan yang menyebabkan pemain hilang fokus.

Memetik laporan daripada Utusan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah berkata:

“Selepas kita menjaringkan gol pertama, di luar padang ada kelibat beberapa pemain yang akan dimasukkan, antara Guilherme De Paula yang memanaskan badan untuk dimasukkan dalam permainan.”

“Pada ketika itu seluruh stadium bersorak, sejurus selepas sorakan itu, pemain telah hilang fokus menyebabkan kita terlepas gol.”

Bagi Menteri Belia dan Sukan itu pemain tidak salah seratus peratus kerana penyokong juga menyumbang kepada kekalahan.

“Jadi, kalau nak kata kita kalah disebabkan pemain seratus peratus pun saya rasa tidak juga. Sebagai orang yang berada di stadium, penyokong juga ada menyumbang kepada larinya fokus pemain pada ketika itu.”

“Kalau saya pun di atas padang, pasti akan tertanya-tanya mengapa orang menjerit kepada saya, hilang fokus sikit.”

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu juga menganggap Farizal Marlias tidak salah dan bukan punca kepada kekalahan ini kerana jasa Farizal yang telah ditaburkan selama ini.

Bagi beliau semua ini adat permainan ada menang dan kalah serta dalam permainan berpasukan sudah pasti akan ada yang melakukan kesilapan.

“Dalam apa juga perlawanan atau sukan, tentu ada yang menang, ada yang kalah. Dalam permainan berpasukan, ada satu atau dua (pemain) melakukan kesilapan, ini semua adat permainan.”

“Pada saya, Farizal banyak jasa kepada kita. Dia mendedikasikan hidupnya kepada sukan dan pada perlawanan tempoh hari. Tentunya dia tidak mahu gagal namun ia telah berlaku.”

“Kita harap setiap kesilapan yang berlaku, kita belajar dan bukannya kita tuding jari sehingga merosakkan beliau sebagai atlet, kenang jasa beliau sebagai seorang pemain.”

Untuk rekod Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan bahawa seramai 63,925 orang penyokong hadir menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Bahrain.

Jika penyokong boleh menjadi punca kekalahan kenapa FAM rancak mempromosikan jualan tiket sehingga membuat pakej kombo bernilai RM100 untuk 6 perlawanan?

Kenapa FAM serta Kim Pan Gon berterima kasih kepada puluhan ribu penyokong yang hadir jika mereka boleh menyumbang kepada kekalahan?

Adakah nyanyian penuh bertenaga dan tanpa henti Ultras Malaya sebelum dan sehingga tamat perlawanan hanya mengganggu fokus pemain bukan menaikkan semangat?

Malaysia Tewas Kepada Bahrain

Malaysia turun untuk perlawanan kedua disaingan kelayakan Piala Asia 2023 China menentang Bahrain, perlawanan terpenting bagi menentukan siapa juara kumpulan E dan mendapat slot automatik ke Piala Asia.

Bahrain dan Malaysia mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pertama masing-masing dan tiga mata pasti mahu dicari atau sekurang-kurang satu mata.

Untuk perlawanan kedua Malaysia menghadapi cabaran sengit daripada Bahrain yang dilihat sebagai pasukan terkuat di dalam kumpulan E.

Hujan lebat yang turun sebelum perlawanan menyaksikan padang dipenuhi air yang bertakung yang pasti merencatkan sedikit perlawanan.

Hanya penyodok sampah dan kadbod digunakan untuk menolak air bertakung keluar dengan pantas menjadi bualan di media sosial.

Perubahan drastik dilakukan oleh Kim Pan Gon merehatkan Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Safawi Rasid dan Arif Aiman Mohd Hanapi.

Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Mohamadou Sumareh dan Ahmad Khuzaime Piee diturunkan dikesebelasan utama mungkin kerana Kim Pan Gon mahu bermain lebih bertahan.

Nazmi Faiz Mansor terlebih dahulu menguji penjaga gol Bahrain di awal permainan dengan satu rembatan jarak jauh yang mudah diselamatkan dan Bahrain membalas namun tenang dan yakin Farizal Marlias menafikan.

Malaysia terus garang menekan Bahrain dan mahu mencari gol pendahuluan seawal mungkin hantaran cantik Ahmad Khuzaime Piee mencari Junior Eldstal dengan satu percubaan berjaya diselamatkan penjaga gol Bahrain.

Junior Eldstal sekali lagi memperoleh peluang terbaik namun kali ini rembatannya jauh melewati palang.

Bahrain tidak panik dan membalas sekali lagi dengan satu rembatan jarak jauh memaksa Farizal Marlias melayangkan badan.

Penjaga gol Bahrain terus cemerlang apabila menafikan percubaan bahaya daripada Akhyar Rashid.

Jangkaan permainan lebih bertahan akan diterapkan Kim Pan Gon dalam perlawanan menentang Bahrain nyata meleset dan pertukaran kesebelasan utama langsung tidak menggoyahkan permainan Harimau Malaya.

Malaysia menguasai perlawanan diseparuh masa pertama dengan serangan bertali arus dan beberapa peluang terbaik dinafikan kehebatan penjaga gol Bahrain.

Sokongan tidak berbebah bahagi diberikan lebih 60,000 penonton yang hadir terutamanya dari Ultra Malaya yang menggamatkan suasana permainan dengan nyanyian yang tidak henti.

Babak kedua Bahrain bermula garang dan berjaya lolos perangkap offside mujur hantaran tidak kemas dilakukan pemain Bahrain dan rembatan susulan berjaya dineutralkan.

Akhirnya Malaysia berjaya mendahului pada minit ke-55 hasil jaringan naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Gol berpunca daripada kerja keras Nazmi Faiz Mansor yang berjaya merampas bola dan menghantar kepada Akhyar Rashid untuk serangan balas pantas.

Ahmad Khuzaime Piee naik melakukan larian membolehkan Akhyar melorongkan bola kepadanya yang membuat hantaran ke tengah yang pantas disambar Sumareh.

Gol itu hanya bertahan untuk seketika dalam sekelipan mata Bahrain menyamakan kedudukan melalui Ali Abdulla Hassan Haram lantaran kealpaan barisan pertahanan.

Tiga pertukaran serentak dilakukan Kim Pan Gon pada minit ke-60 dengan mengeluarkan Mohamadou Sumareh, Nazmi Faiz Mansor dan Darren Lok memasukkan Arif Aiman, Safiq Rahim dan pemain kesayangan ramai, Guilherme De Paula.

Syafiq Ahmad masuk menggantikan Akhyar Rashid ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Arif Aiman lincah seperti biasa tetapi Guilherme De Paula yang santai bersahaja gagal untuk menyambar umpanan pemain sayap JDT itu.

Kesilapan Farizal Marlias mengundang padah dengan meluru keluar namun gagal menangkap kemas bola yang jatuh kepada pemain Bahrain dan Farizal melakukan satu terjahan.

Penalti untuk Bahrain dan mudah buat Abdulla Yusuf Helal meletakkan Bahrain di depan dan Farizal masih lagi merungut dengan keputusan pengadil yang sememangnya benar.

Bahrain hanya bermain secara bertahan dan membazirkan masa semampu yang boleh dengan Malaysia terus mengasak dengan hantaran bola jauh.

Kemenangan menjadi milik Bahrain yang berpeluang cerah masa secara automatik melainkan Turkmenistan mencipta kejutan.

De Paula tidak memberikan impak dalam perlawnanan seperti De Paula kita kenali selama ini dan Malaysia wajib menang ke atas Bangladesh.

Kesebelasan Utama Malaysia

Penjaga Gol

Mohd Farizal Marlias

Pertahanan

Corbin-ong La’vere Lawrence
Matthew Davies
Dion-johan Cools
Ahmad Khuzaime Piee

Tengah

Junior Eldstal
Mohamed Syamer Kutty Abba
Muhammad Nazmi Faiz Mansor

Penyerang

Darren Yee Deng Lok
Mohamadou Sumareh
Muhammad Akhyar Abdul Rashid

Simpanan

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed
Mohd Khairulazhan Mohd Khalid
Dominic Tan Jun Jin
Ruventhiran A/l Vengadesan
Safiq Rahim
Guilherme De Paula Lucrecio
Muhammad Syafiq Ahmad
Muhamad Nor Azam Abdul Azih
Mohamad Faisal Abdul Halim
Muhammad Safawi Rasid
Arif Aiman Mohd Hanapi

Kelayakan Piala Asia 2023: Turkmenistan 1-3 Malaysia

Malaysia turun untuk perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di China menentang Turkmenistan dalam saingan kumpulan E bersama Bahrain dan juga Bangladesh.

Sebanyak 24 pasukan yang dibahagikan kepada 6 kumpulan akan bersaing untuk merebut 11 slot yang berbaki ke Piala Asia 2023 dan perlawanan dilangsungkan secara liga satu pusingan.

AFC telah mengumumkan 6 negara yang akan menjadi tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023 ini iaitu India, Kuwait, Kyrgyz Republic, Malaysia, Mongolia dan Uzbekistan.

Juara setiap kumpulan akan terus mendapat slot ke Piala Asia 2023 manakala 5 pasukan dinaib juara kumpulan terbaik akan mengiringi.

Sebelum ini 12 pasukan sudah mengesahkan slot ke Piala Asia 2023 melalui saingan kelayakan Piala Dunia.

Selaku tuan rumah, Malaysia sudah pasti mempunyai kelebihan dengan pemain ke-12 yang sudah dibenarkan untuk memasuki Stadium dan sasaran untuk layak adalah logik.

Kim Pan Gon telah menyenaraikan akhir 23 pemain untuk saingan ini, walaupun kehadiran Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh menjadi tanda tanya sokongan tidak berbelah bahagi tetap diberikan.

Safiq Rahim tidak berada dalam kesebelasan utama menentang Turkmenistan dan Nor Azam Azih bergandingan bersama Syamer Kutty Abba dibahagian tengah, mungkin Kim Pan Gon mahu merehatkan Safiq.

Malaysia mempamerkan aksi yang sangat bertenaga sebaik sahaja wisel permulaan ditiup oleh pengadil di mana barisan serangan yang diketuai oleh Darren Lok, Safawi Rasid, Faisal Halim serta Arif Aiman begitu agresif melakukan tekanan awal di bahagian atas untuk memenangi bola.

Segalanya bermula dengan baik apabila Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pertama Malaysia seawal minit ke-11 menerusi satu rembatan leret di dalam kotak penalti.

Gol berpunca daripada gerakan yang dimulakan oleh Safawi sendiri selepas bola dirampas oleh Arif Aiman di sebelah kanan. Safawi kemudiannya membawa bola sedikit ke hadapan sebelum kembali melorongkan bola kepada Arif Aiman yang membuat larian di sebelah kanannya.

Arif Aiman selepas itu cuba membuat hantaran lintang ke tengah kotak penalti tetapi dapat ditepis oleh penjaga gol Turkmenistan lalu bola muntah ke hadapan Safawi yang sedang membuat larian ke dalam kotak penalti.

Tidak membuang masa, Safawi melakukan rembatan first touch dan bola bergolek masuk ke dalam gol pasukan lawan.

Lima minit kemudian, Stadium Bukit Jalil bergema lagi dan kali ini giliran Faisal Halim pula mencipta nama selaku penjaring. Pemain tengah Turkmenistan melakukan hantaran kepada pertahannya di dalam kotak penalti dan dicabar oleh Darren Lok.

Hasil daripada tekanan tersebut, bola hilang daripada penguasaan pertahanan Turkmenistan, dan disambar oleh Faisal Halim yang menghidu peluang. Sebaik mendapat bola, Faisal Halim mara ke depan gol dan mencipta situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Turkmenistan.

Dengan tenang Faisal Halim melakukan sepakan deras menewaskan penjaga gol lawan, lalu meraikan gol tersebut dengan gaya siuuuuuuuuuuuuuuu.

Pada minit ke-38, akibat terlalu kasual dan selesa, Shahrul Saad melakukan satu kesilapan mudah apabila dia cuba menggelecek pemain serangan Turkmenistan tetapi gagal. Pemain tersebut membawa bola masuk ke kotak penalti dan melakukan satu hantaran lintang ke tengah kotak penalti.

Dion Cools yang keseorangan cuba menanduk keluar bola tersebut, tapi malangnya bola terpeleot melambung ke arah Farizal Marlias dan melemaskan kapten Malaysia tersebut. Ketika bola melambung ke arah Farizal Marlias, Annadurdyyev Altymyrat telah menampan bola ke dalam gol Malaysia.

Ketika separuh masa pertama dilihat bakal berakhir dengan keputusan 2-1, Corbin Ong melakukan satu aksi yang menakjubkan. Bola muntah di depan kotak penalti Malaysia telah disambar oleh bek kiri JDT ini yang memulakan larian dari dalam kotak penalti sendiri.

Tanpa dicabar, Corbin Ong terus membawa bola sampai ke dalam kotak penalti lawan dan pada masa yang sama Arif Aiman serta Faisal Halim masing-masing sudah membuka ruang untuk menerima bola di sebelah kanan dan kiri.

Sewaktu para penyokong Malaysia di rumah sudah memaki kenapa Corbin Ong tidak pass bola ke tepi, dia mengambil keputusan untuk melakukan satu rembatan yang hayna mampu ditepis manja oleh penjaga gol Turkmenistan, sekaligus memberikan Malaysia pendahuluan yang selesa menjelang waktu rehat separuh masa.

Babak kedua menyaksikan Malaysia mengendurkan serangan dan bermain lebih santai dan sudah pasti Kim Pan Gon mahu anak buahnya menjimatkan tenaga dengan dua perlawanan masih berbaki.

Kim Pan Gon seperti mahu mempertahankan kedudukan dan menambah lagi jaringan jika mendapat peluang.

Pada minit ke-74, Faisal Halim telah dikeluarkan untuk Mohamadou Sumareh yang memberikan aksi kurang meyakinkan masuk mengganti dan inilah peluang Sumareh membuktikan sesuatu.

Sentuhan pertama Sumareh dalam perlawanan ini hampir menghasilkan gol keempat namun penjaga gol Turkmenistan dapat membaca percubaan Sumareh.

Berbaki kurang 10 minit permainan, Safiq Rahim masuk menggantikan Nor Azam Abdul Azih dan pemain kesayangan Malaysia Guilherme De Paula Lucercio masuk menggantikan Darren Lok.

Syamer Kutty Abba menghadirkan percubaan paling berbahaya pada separuh masa kedua namun dinafikan oleh penjaga gol Turkmenistan.

Perbalahan tercetus apabila pemain Turkmenistan kelihatan koyak dan cuba menyerang Mohamdou Sumareh namun dengan sepantas kilat situasi berjaya dikawal.

Malaysia bermula langkah kanan dengan kemenangan dan tiga mata berharga. Bahrain menanti Malaysia untuk perlawanan kedua pada 11 Jun nanti.

Kesebelasan Utama Malaysia: Mohd Farizal Marlias, Shahrul Mohd Saad, Corbin-ong La’vere Lawrence, Matthew Davies, Dion-johan Cools, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohamed Syamer Kutty Abba, Mohamad Faisal Abdul Halim, Muhammad Safawi Rasid, Darren Yee Deng Lok.

Simpanan: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, Junior Eldstal, Dominic Tan Jun Jin, Ruventhiran A/l Vengadesan, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim, Mohamadou Sumareh, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Guilherme De Paula Lucrecio, Muhammad Syafiq Ahmad, Guilherme De Paula Lucrecio.

BACA:  Malaysia Bermula Langkah Sumbang, Tewas 4-0 Kepada Jordan