Ten Hag Intai Khidmat Anwar Ganti Antony Di Man Utd

Manchester United kini sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Belanda, Anwar El Ghazi tatkala masa depan Antony dan Jadon Sancho bersama kelab itu kini tidak ketentuan.

El Ghazi adalah ejen bebas selepas meninggalkan PSV Eindhoven secara persetujuan pertama pada minggu lalu.

Peraturan di Eropah masih membenarkan kelab mendaftarkan pemain baharu yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas tamat tempoh jendela perpindahan.

El Ghazi atau lebih dikenali sebagai Anwar di Belanda sebelum ini pernah menyarung jersi Ajax, Aston Villa dan Everton dan turut hadir di Stadium Emirates menyaksikan perlawanan di antara Arsenal dan Manchester United sebelum liga berehat bagi memberi laluan untuk perlawanan antarabangsa baru-baru ini.

Difahamkan El Ghazi turut mendapat tawaran beraksi di Arab Saudi, namun kini United membuka peluang untuk pemain berusia 28 tahun itu kembali beraksi di Premier League.

Erik ten Hag kini berhadapan masalah di posisi sayap kanan selepas Antony terpaksa dicutikan berikutan dakwaan menyerang tiga wanita.

Masa depan Sancho di Old Trafford pula mulai goyah setelah pemain itu mempersoalkan kenyataan Ten Hag dan mendakwa dirinya telah menjadi kambing hitam di kelab itu sejak sekian lama.

Antony dan Sancho bernilai £158 juta, dan usaha United untuk mendapatkan khidmat Anwar secara percuma adalah indikasi jelas betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh United di posisi itu.

Ten Hag menemui Sancho pada Isnin lalu dan ia adalah pertemuan kedua-duanya sejak pemain itu melabel pengurusnya itu seorang penipu di media sosial.

Sancho secara terbuka menyelar kenyataan Ten Hag yang mendakwa dirinya tidak cukup bersedia kerana tidak berlatih dengan baik sehingga digugurkan daripada skuad menentang Arsenal.

BACA:  Maguire Dan Rashford Rayu Sancho Lupakan Ego Dan Minta Maaf Kepada Ten Hag