TERKINI: Keluarga Glazer Batal Jual Man Utd Dan Hanya Mahu Terima Bidaan £10 Billion

Keluarga Glazers dilaporkan akan menarik kembali Manchester United daripada senarai kelab untuk dijual selepas gagal mendapatkan harga yang mereka mahukan, lapor Daily Mail.

Perkembangan terbaru ini sudah pasti akan mencetuskan kemarahan di kalangan penyokong Setan Merah, yang tidak pernah mengalu-alukan pelaburan keluarga Glazer di kelab itu sejak mulanya.

Keluarga Glazer selama ini turut didakwa sebagai punca kelab itu ketandusan kejuaraan sejak 10 tahun yang lalu.

Walaupun demikian keluarga Glazer dijangka tidak akan menghiraukan desakan penyokong dan sememangnya dikenali dengan muka tebal mereka.

Sumber kepada Daily Mail mendedahkan rancangan asal keluarga Glazer sememangnya untuk menarik perhatian pembida-pembida yang serius untuk memiliki kelab itu. Namun niat menjual kelab itu kini tidak akan menjadi kenyataan.

Sebelum ini Man Utd disenaraikan untuk dijual pada November lalu secara 100% pemilikan atau sebahagian daripadanya.

Hanya dua pembida yang serius untuk mendapatkan kelab itu sehingga akhirnya iaitu Sheikh Jassim dari Qatar yang mahu mendapatkan pemilikan 100% dan Sir Jim Ratcliffe yang sedia untuk menawarkan keluarga Glazer menjadi pemegang saham minoriti.

Kedua-dua pembida akhirnya kecewa dengan pendirian keluarga Glazer yang mulai berubah. Walaupun terdapat khabar angin Glazer akan menerima bidaan Sheikh Jassim, namun rundingan kedua-dua pihak sehingga kini gagal menunjukkan kemajuan.

Secara logik, pihak Glazer mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menjual kelab itu dalam masa terdekat dan hanya akan berbuat demikian pada 2025.

Ini kerana pada ketika itu pihal Glazer berharap situasi kewangan dan ekonomi menjadi lebih baik sekali gus mampu menarik lebih banyak pembida.

Nilai kelab itu turut dipercayai akan terus meningkat dalam tempoh dua sehingga tiga tahun lagi.

Ini kerana nilah hak siaran televisyen akjan meningkat, selain daripada peningkatan jumlah pasukan di pertandingan Piala Dunia Kelab FIFA yang bakal menampilkan 32 pasukan pada 2025.

Kejohanan elit kelab dunia itu bakal menjadi sebuah pertandingan yang berprestij dan lumayan, dan potensi United beraksi di pertandingan tersebut akan membantu melonjakkan lagi nilai kelab.

Piala Dunia 2026 yang turut akan diadakan di Amerika Syarikat turut dipercayai akan menggariskan usaha jutawan dan usahawan negara itu di dalam pelaburan bola sepak.

Pihak Glazer percaya semua itu akan meningkatkan nilai United di antara £7 billion sehingga £10 billion hanya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

BACA:  Pra-Musim : Atletico Madrid Ajar Manchester United Bola Sepak Elit yang Sebenar