Terlepas Mahkota Eropah, Liverpool Tetap Teruskan Parade Arak Piala FA & Piala Carabao Hari Ini

Liverpool sudah pun gagal mengulangi kejuaraaan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi pada musim 2019/20. Kegagalan tersebut sudah cukup pedih kerana ia memadam harapan quadruple.

Belum pernah ada kelab di England mampu meraih kejuaraan quadruple sebelum ini. Kejayaan melakukan rekod tersebut bermakna Liverpool secara tidak langsung akan dinobatkan kelab terhebat Liga Inggeris.

Ini kerana ia selaigus melangkaui pencapaian Manchester United yang mencatat kejuaraan treble pada 1998/99.

Dalam perlawnanan akhir Champions League pada malam tadi, Liverpool dikecewakan Real Madrid dengan jaringan 0-1.

Walaupun menguasai perlawanan dengan serangan bertubi-tubi, Liverpool tetap longlai selepas 90 minit perlawanan berakhir apabila gol tunggal perlawanan oleh Vinicius jr. memastikan Real Madrid meraih gelaran ke-14 mahkota eropah.

MPL terima permohonan

Sebelum ini Majlis Perbandaran Liverpool (MPL) mengesahkan telah menerima permohonan untuk perarakan besar-besaran secara spektakular diadakan di bandar itu sekiranya Liverpool FC mengakhiri musim ini dengan pencapaian luar biasa.

Sejak beberapa minggu lalu The Reds dicanang berada di laluan tepat untuk mencipta sejarah tersendiri di dalam bola sepak Inggeris – mengejar kejuaraan quadruple.

Selepas memenangi Piala Carabao pada Februari lalu, skuad kendalian Klopp turut sekali lagi mengecewakan Chelsea di perlawanan akhir Piala FA untuk kejuaraan berganda.

Persiapan awal

Datuk Bandar Liverpool, Joanne Anderson secara rasmi telah menjemput pihak Liverpool FC untuk turut serta dalam persiapan perarakan trofi itu.

Majlis Perbandaran Liverpool bagaimana pun mengesahkan perarakan tersebut hanya akan diteruskan sekiranya kelab itu menjuarai sekurang-kurangnya Premier League atau Champions League.

Hal berkaitan logistik adalah cabaran terbesar untuk perarakan diadakan di Merseyside. Disebabkan skala perarakan yang dianggap akan menjadi antara yang terbesar di dalam sejarah bola sepak Inggeris, persiapan dan pengumuman awal telah dilakukan.

Tarikh perarakan ditetapkan pada 29 Mei bermula 4pm. Selepas perarakan majoriti pemain akan menyertai pasukan kebangsaan masing-masing untuk tugasan antarabangsa.

Tetap diteruskan

Kekalahan kepada Real Madrid pada malam tadi bermakna perarakan di Liverpool sepatutnya dibatalkan.

Ini kerana ia tidak mencukupi syarat yang dipersetujui bersama MPL sebelum ini.

Bagaimanapun menurut Evening Standard, perarakan tersebut tetap akan diteruskan walaupun tanpa trofi EPL dan UCL.

Persetujuan telah diberikan oleh Liverpool untuk diarak di sekitar Liverpool bersama trofi Piala FA dan Piala Carabao.

Kekecewaan pemain dan penyokong Liverpool boleh difahami kerana mereka hampir-hampir juara untuk dua lagi pertandingan utama untuk mencipta sejarah luar biasa.

Namun itu tidak menghalang mereka terus melakukan parade. Puluhan ribu penyokong Liverpool dijangka membanjiri segenap jalanan bandar itu bagi menyambut wira mereka.

BACA:  Tiket Perlawanan Liga Terakhir Liverpool Sudah Mula Dijual Pada Harga Tidak Masuk Akal