Theo Walcott Lulus Pemeriksaan Kesihatan, Bakal Sertai Everton

Pemain tengah Arsenal, Theo Walcott semakin hampir untuk meninggalkan Arsenal selepas bersetuju dengan segala terma dan syarat kontrak bersama Everton.

Walcott telah dilihat berada di padang latihan Everton, Finch Farm semalam bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diumumkan secara rasmi menjadi pemain Everton. Beliau juga telah melepasi pemeriksaan perubatan tersebut tanpa sebarang masalah.

Kelibat Walcott selepas melakukan ujian perubatan di Everton

Beberapa sumber melaporkan yuran perpindahan yang bakal dibayar Everton kepada Arsenal adalah sekitar £20juta, dengan pengumuman rasmi dari kedua-dua buah kelab akan dilakukan dalam masa terdekat.

Minggu lalu pengurus Everton, Sam Allardyce mengesahkan kelabnya telah mengadakan perbincangan dengan Arsenal untuk membeli Walcott dalam jendela perpindahan Januari ini.

Walcott adalah pemain paling lama berkhidmat dalam skuad Arsenal ketika ini, sejak menyertai kelab tersebut dari Southampton pada tahun 2006. Usia beliau ketika itu adalah 16 tahun dan apa yang lebih mengejutkan adalah Walcott dipilih untuk bermain bersama skuad Piala Dunia England pada tahun tersebut.

Perlawanan terakhir Walcott bersama Arsenal adalah ketika kekalahan kepada Bournemouth hujung minggu lalu. Sedih

Kelab lama Walcott, Southampton turut berminat untuk membawa pemain ini kembali ke St. Mary Stadium tetapi tidak mampu untuk memenuhi gaji dan yuran perpindahan yang diminta Arsenal.

Kuasa beli Everton yang tinggi dan keinginan Walcott untuk bekerjasama dengan Allardyce adalah punca utama Walcott mengambil keputusan untuk berhijrah ke Goodison Park.

Everton sebelum ini telah menandatangani pemain antarabangsa Turki, Cenk Tosun dari Besiktas dengan nilai perpindahan berjumlah £27 juta.

Bekas pengurus England, Allardyce percaya Walcott bakal menambah dimensi baru dalam bahagian serangan Everton yang agak tumpul musim ini selepas kehilangan khidmat pemain berpengaruh, Romelu Lukaku kepada Manchester United.

12 tahun di Arsenal tanpa memenangi Liga Perdana Inggeris

Apabila ditanya dimanakah Walcott akan bermain dalam pasukan Everton, Allardyce berkata beliau masih lagi belum berfikir mengenai perkara tersebut tetapi menegaskan Walcott mampu bermain dalam kesemua 3 posisi serangan.

“Saya tidak tahu dimana saya akan meletakkan Walcott bermains sehingga pemain ini sah menyertai Everton. Apabila Walcott sah menyertai Everton, kita akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini.”

“Saya boleh melihat Walcott beraksi dalam mana-mana 3 posisi hadapan. Tetapi jika Walcott tidak selesa dengan posisi tersebut, beliau akan memberitahu saya. Perkara ini hanya akan berlaku jika Walcott menyertai Everton.”

BACA:  Arsenal Diikat Kelab Bawahan Jerman, Kai Havertz Mengecewakan