Thibaut Courtois Dedah Bagaimana Beliau Boleh Baca Sepakan Penalti Messi

Thibaut Courtois sudah sangat tahu ke mana sebenarnya arah bola yang akan Messi tendang ketika bintang Argentina itu tampil mengambil sepakan penalti dalam aksi saingan Champions League awal pagi tadi.

Penjaga gol kebangsaan Belgium itu berjaya menyelamatkan sepakan penalti Lionel Messi ketika aksi pertemuan antara Paris Saint Germain bertemu Real Madrid di Parc des Princes.

Pemenang tujuh kali anugerah Ballon D’or itu hanya mampu menjaringkan tujuh gol sahaja untuk PSG sejak dari awal beliau ditandatangani dari Barcelona pada musim panas lalu.

Beliau memiliki kesempatan untuk meletakkan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu di hadapan ketika aksi leg pertama pusingan 16 terbaik bertemu Los Blancos selepas PSG di hadiahkan sepakan penalti.

Pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas Kylian Mbappe dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Daniel Carvajal.

Lionel Messi tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, namun sayangnya percubaan lemah beliau mudah digagalkan oleh Thibaut Courtois.

Messi sebenarnya masih belum pernah menjaringkan gol melepasi Courtois sejak bekas bintang Chelsea itu menjadi penjaga gol utama Real Madrid.

Penjaga gol kebangsaan Belgium itu sendiri sebenarnya sudah mengkaji tentang cara Messi mengambil sepakan penalti dan kajian beliau lakukan membuahkan hasil.

“Jelas sekali dia dah banyak ambil sepakan penalti, jadi agak sukar untuk agak dengan tepat.”

Jelas Courtois kepada BT Sport.

“Dia ada gagal beberapa sepakan di sudut ini, jadi saya fikir agak jelas yang dia akan pergi ke sudut sebelah kiri. Mungkin ke tengah, dia ada jaringkan satu gol bertemu Leipzig. Saya cuma kata, ‘okay, saya akan ke kiri,’ dan saya berjaya selamatkan.”

Messi sukar untuk memberikan impak seperti yang diharapkan di Paris dan beliau bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya seperti ketika kariernya di Nou Camp.

Aksi hambar beliau bertemu Real Madrid juga sebenarnya sudah agak lama dengan beliau tidak pernah menjaringkan gol atau mencatatkan assists bertemu gergasi Sepanyol itu sejak 2018 yang lalu.

Mujur saja Kylian Mbappe berjaya menyerlah dalam perlawanan ini ketika Lionel Messi beraksi hambar dan serba tak menjadi.

Pemain kebangsaan Perancis itu layak dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini dengan beliau dari awal sepak mula hingga akhir permainan tidak henti-henti memberi masalah kepada barisan pertahanan Real.

Beliau juga turut berjaya menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan ini pada masa kecederaan permainan, seterusnya mengesahkan kemenangan 1-0 untuk PSG tewaskan Real Madrid.

Neymar berjaya melakukan backheel mencari Mbappe yang sedang berlari masuk ke kotak penalti dengan bintang Perancis itu kemudiannya menewaskan Lucas Vazquez serta Eder Militao sebelum melepaskan rembatan ke gawang Real Madrid.

Mbappe melepaskan rembatan padu dan bola rembatan beliau terbias terkena Federico Valverde sebelum menerjah jaring gawang gol Real Madrid.

Madrid sememangnya beraksi sangat hambar dalam perlawanan ini, dengan mereka langsung tak mampu mencipta on target sepanjang perlawanan.

Mereka cuma bernasib baik gawang gol mereka hanya dibolosi sekali sahaja dalam perlawanan ini, dan skuad kendalian Carlo Ancelotti itu sempat mengharap agar perlawanan ini seri sebelum Mbappe meledak gol kemenangan.

Courtois kemudiannya menambah lagi kenyataan beliau dengan menyatakan:

“Kami bermula dengan cukup baik, tapi kami tak cukup tenang mengawal bola dan kami menderita kerana itu, tak cukup peka.”

“Kami terlepas bola bodoh, Kylian Mbappe lepas dua pemain dan berjaya melepaskan bola dari saya. Ia sukar untuk diterima tapi kami memang tak bermain dengan cemerlang.”

“Perancangan kami langsung tak berubah kerana ketinggalan satu gol. Kami perlu menang untuk mara. Semoga saja dengan penyokong di belakang kami, kami akan mampu lakukan.”

“Dalam perlawanan seperti ini, kamu tahu, sebagai penjaga gol, kamu perlu lakukan sesuatu. Saya belajar cara Lionel Messi ambil sepakan penalti dan saya cuba bermain dengan dia ketika saya ada di atas garisan. Kamu juga perlu ada nasib yang baik.”

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu selepas ini akan turun tanpa khidmat Ferland Mendy dan Casemiro yang terpaksa menjalani hukuman penggantungan.

Casemiro sebelum ini pernah meminta izin kepada Carlo Ancelotti supaya sengaja mendapatkan kad kuning dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Beliau mahu lakukan hal itu kerana mahu memastikan beliau tidak membawa bekalan kad kuning ke peringkat kalah mati.

Carlo Ancelotti walau bagaimanapun menolak permintaan dari pemain berusia 29 tahun itu dek kerana tidak mahu disiasat oleh UEFA kerana sengaja mendapatkan kad kuning.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Messi Perli Sinis Ronaldo, Anggap Saudi Pro League Liga BBNU