‘Tiada Kesetiaan’- Ronaldo Boleh Sertai Liverpool Andai Berkesempatan

Cristiano Ronaldo pada ketika ini masih lagi menjadi tumpuan ramai selepas hal berkait masa depan beliau tak henti-henti menjadi topik perbualan hangat ramai.

Menurut bekas bintang England dan Aston Villa, Gabby Agbonlahor, Ronaldo sebenarnya langsung tak ada semangat kesetiaan kepada United atau kepada mana-mana bekas kelabnya.

Bekas penyerang Premier League itu turut percaya yang Ronaldo bahkan akan sanggup sertai Liverpool andai beliau ada kesempatan untuk melakukan hal tersebut.

Bercakap kepada talkSPORT, Agbonlahor mendedahkan bahawa:

“Cristiano Ronaldo berpotensi untuk sertai Liverpool pada musim panas ini andai dia mampu. Mereka merupakan seteru utama Man United tapi ini tentang Ronaldo.”

“Dia akan pergi ke mana sahaja asalkan dia dapat bermain di pentas saingan Champions League, dia nak tambah rekod dan nak menang piala.”

“Saya tak fikir Ronaldo ada rasa setia terhadap United, Real Madrid atau Juventus.”

Pemain berusia 37 tahun itu terlepas aksi pra musim Man United di Thailand dan Australia kerana beliau dilaporkan mempunyai masalah peribadi.

Man United bahkan dengan lapang dada menerima alasan tersebut dan membenarkan Ronaldo untuk mengambil cuti yang lebih panjang.

Minggu ini beliau telah kembali ke UK dan turut dilihat berada di Carrington untuk bertemu CEO kelab dan pengurus kelab, Erik ten Hag.

Pelbagai spekulasi yang dicetuskan ketika melihat Ronaldo kembali ke pusat latihan Man United, dengan ada yang mendakwa beliau sedang dalam usahanya mahu sertai pra musim dan ada yang mendakwa beliau mahu pergi.

Beliau tiba di padang latihan bersama ejennya, jorge Mendes dengan kedua-dua mereka dilihat berunding dengan pengurus kelab, Erik ten Hag.

Ekoran dari perbualan itu, Ronaldo dikatakan tak nampak masa depan beliau di Old Trafford dan meminta pihak kelab supaya membatalkan kontrak beliau dan membenarkan beliau pergi sebagai pemain bebas ejen.

Selepas melihat Man United mengakhiri saingan musim 2021/22 di kedudukan keenam dan bagaimana perlahannya pergerakan United dalam pasaran pemain, Ronaldo telah memberitahu pihak kelab yang beliau mahu meninggalkan kelab.

Beliau dikatakan tidak gembira melihat bagaimana kelab menguruskan perpindahan pemain dan turut mendakwa bahawa Man United sebenarnya tidak bercita-cita tinggi.

Beliau juga sangat kecewa kerana Man United pada musim baharu nanti hanya akan beraksi di pentas saingan Europa League sahaja dan beliau sendiri terdesak mahu beraksi dalam saingan Champions League.

Ronaldo kemudiannya dikaitkan dengan bakal menyertai pelbagai kelab pada musim panas ini dalam usahanya mahu beraksi di pentas saingan Champions League pada musim baharu nanti.

Chelsea, Napoli, Bayern Munich dan Atletico Madrid antara empat pasukan yang paling hangat dikaitkan dengan bakal mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo pada jendela perpindahan musim panas ini.

Walau bagaimanapun, kesemua empat kelab itu telah menolak kesempatan untuk menandatangani Ronaldo dan berkeras mereka tak mungkin akan pernah menandatangani legenda Portugal itu.

Terbaru, Ronaldo dikatakan meminta pihak kelab supaya membatalkan saja kontraknya agar beliau memiliki ruang yang selesa untuk berunding dengan kelab lain sebagai pemain bebas ejen.

Sehingga kini, situasi berkait masa depan Ronaldo masih sangat tidak jelas dan tak pasti sama ada beliau akan terus bersama kelab atau akan pergi meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini.

Satu hal yang pasti, ketika artikel ini ditulis, masih tiada kelab yang menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Ronaldo dan sepertinya beliau mungkin akan terus kekal bersama kelab.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ralf Rangnick Akan Jadi Pengurus Tetap Andai Berjaya Bawa United Menjuarai UCL