Tiada Lagi Botol Arak di Hadapan Pemain Islam di Sidang Media EURO 2020

Penganjur Kejohanan Eropah (Euro 2020) tidak akan lagi meletakkan botol-botol minuman arak jenama Heineken di hadapan pemain yang beragama Islam selepas tindakan pemain Perancis, Paul Pogba yang mengalihkan botol minuman tersebut tempoh hari.

Pemain tengah kreatif tersebut sememangnya dikenali sebagai seorang Muslim yang taat dan bertindak mengalihkan dua botol Heineken ketika satu sidang media selepas perlawanan menentang Jerman, minggu lalu.

Menurut The Telegraph, pengurus dan pemain selepas ini akan diberikan pilihan untuk membantah perletakan botol minuma arak di depan mereka di atas sebab larangan agama masing-masing.

Sebelum bermula sidang media, pengurus atau pemain akan ditanya terlebih dahulu sama ada mereka membantah atau tidak perletakan botol minuman keras tersebut di atas meja, di hadapan mereka.

Seperti yang diketahui ramai, arak diharamkan di sisi agama Islam dan barangsiapa yang meminum minuman ini akan mendapat dosa besar dan perlu bertaubat.

Malah dalam Quran turut menyatakan bahawa arak lebih banyak meberikan keburukan berbanding kebaikan kepada umat manusia.

Tindakan Pogba tersebut hadir beberapa hari selepas bintang Portugal bertindak mengalihkan botol minuman Coca Cola sebelum perlawanan antara Portugal menentang Hungary.

Ronaldo sebaliknya menyuruh para hadirin meminum air masak dan memandang hina minuman bikarbonat tersebut.

Dalam kes Heineken. UEFA menyatakan bahawa terdapat perbezaan antara mengalihkan minuman beralkohol mengikut kehidupan beragama dan mengalihkan produk mengikut gaya hidup dan kesihatan, dengan pemain berdepan kemungkinan didenda jika tindakan ini diteruskan.

Pogba sebelum ini dipuji selepas bermain dengan cemerlang dalam perlawanan Liga Europa di mana dia membantu pasukannya Manchester United menewaskan AS Roma 6-2 secara aggregat, walaupun bermain dalam keadaan berpuasa.

Pemain berusia 28 tahun tersebut pernah menceritakan tentang kepercayaannya dan bagaimana agamanya membantu dirinya menjadi insan yang lebih baik.

Ketika ditanya tentang menjadi seorang Islam pada tahun 2019, Pogba memberitahu The Times: “Ia adalah segala-galanya.

“Ini yang membuatkan aku berterima kasih di atas segalanya.”

“Ia membuat aku berubah, menyedari perkara-perkara dalam kehidupan.

“Aku rasa, mungkin, buatkan aku rasa lebih tenang di dalam jiwa.

“Ia memberikan kesan yang baik dalam hidup sebab aku tidak dilahirkan sebagai orang Islam, walaupun mak aku yang lahir dalam Islam.

“Aku membesar macam tu je, hormat kepada semua orang.

“Islam bukan seperti yang seperti orang ramai tengok – pengganas. Apa yang kita dalam media adalah benda sebaliknya yang jadi. (Islam adalah) indah.

“Kita akan nampak nanti. Sesiapa yang temuinya akan rasa hubugan dengan Islam.

“Agama datang kepada aku sebab aku ada ramai kawan-kawan beragama Islam. Kami selalu sembang.

“Aku pernah mempersoalkan kehidupan aku dalam banyak benda, lepas tu aku buat kajian.

“Ada sekali tu aku sembahyang bersama kawan-kawan dan aku rasa sesuatu yang berbeza. Aku rasa seronok sangat.”

Selain Pogba, Karim Benzema juga merupakan seorang pemain beragama Islam di dalam pasukan Perancis, selain N’Golo Kante.

Dalam sidang media selepas perlawanan antara Perancis dan Portugal yang berkesudahan seri 2-2 di mana Benzema telah menyumbangkan dua gol, tiada botol Heineken dilihat di hadapan pemain ini.

Tindakan Pogba tempoh hari dilihat membuka ruang kepada pihak mengenali Islam dengan lebih dekat, dan dengan kecemerlangannya di atas padang, ini boleh dikatakan sebagai satu bentuk dakwah daripada pemain yang boleh dikatakan antara yang terbaik di dunia tersebut.

Berita : spotBIBLE

BACA:  Paul Pogba Ajar De Gea Menjadi Penjaga Gol Sebenar