Tolak Tepi Perseteruan, Penyokong Spurs Buat Saka Terharu

Para penyokong Tottenham Hotspur menunjukkan sikap terpuji dengan mereka mengetepikan perseteruan antara kedua-dua kelab dari London itu, semata-mata untuk memberi penghormatan kepada Bukayo Saka.

Penyokong Spurs dilihat menaikkan banner tanda sokongan kepada bintang muda Arsenal, Bukayo Saka yang sebelum ini menjadi mangsa hinaan berunsur perkauman oleh para penyokong England.

Pemain berusia 19 tahun itu gagal menjaringkan gol ketika mengambil sepakan penalti penentu dalam aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020 yang menemukan England bertemu Itali.

Beliau dianggap punca kepada kekalahan England dengan Marcus Rashford dan Jadon Sancho yang turut gagal menyempurnakan sepakan penalti turut menjadi mangsa hinaan berunsur perkauman.

Laman media sosial ketiga-tiga pemain tersebut teruk diganggu oleh para penyokong tidak berakal yang meninggalkan komen-komen hinaan berunsur perkauman dan ada juga mengirim mesej tidak sepatutnya kepada mereka.

Di sebalik semua kecaman, kritikan dan hinaan yang dilemparkan pada ketiga-tiga pemain tersebut, ada juga mereka-mereka yang tidak henti-henti menghantar mesej positif kepada kesemua pemain tersebut.

Ia menunjukkan yang masih ramai sebenarnya para penyokong yang menentang hal-hal berkait penindasan dan mahu membawa aura positif ke dalam dunia bola sepak ini.

Seperti yang dialami sendiri oleh Bukayo Saka ketika aksi Tottenham bertemu Arsenal malam semalam, beliau sendiri rasa sebak dengan sokongan yang diterima.

Ketika Saka bangun untuk panaskan badan, beliau telah menerima standing ovation dan tepukan yang sangat gemuruh dari para penyokong Tottenham Hotspur.

Ketika Saka dibawa masuk untuk menggantikan Pierre-Emerick Aubameyang, beliau sekali lagi menerima standing ovation dan tepukan yang gemuruh dari para penyokong.

Pemain muda England itu sendiri jelas terharu melihat sokongan yang diberikan oleh para penyokong Spurs terhadapnya.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan berpihak kepada Tottenham Hotspur yang berjaya menewaskan Arsenal 1-0.

Son Heung Min muncul sebagai penjaring tunggal dalam perlawanan ini, seterusnya memberikan kemenangan bermakna untuk Spurs dalam aksi perlawanan pra musim terakhir mereka.

Kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang menarik dalam perlawanan ini, dengan kedua-dua pasukan berpeluang untuk membuka tirai jaringan pada awal minit permainan.

Percubaan dari Dele Alli sekadar singgah di palang gawang gol Arsenal, begitu juga dengan percubaan dari Alexandre Lacazette yang turut sekadar mengenai palang.

Dengan perlawanan sepertinya akan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, Son Heung Min berjaya meledak gol kemenangan untuk Spurs pada minit ke-79 permainan.

Tindakan para penyokong Tottenham Hotspur yang memasang banner tanda sokongan kepada Saka dan memberi tepukan gemuruh pada pemain muda itu wajar dipuji.

Hal itu menambah lagi keindahan dalam dunia bola sepak dengan mereka jelas membuktikan isu penindasan/ perkauman tidak seharusnya ada dalam kamus dunia bola sepak.

Walau semua orang tahu bagaimana dasyatnya perseteruan antara kedua-dua pasukan ini, namun mereka tetap mampu bersatu demi menentang unsur perkauman dan penindasan.

Kedua-dua pasukan dilihat seperti sudah bersedia untuk menghadapi aksi musim baharu ini, dengan mereka tentunya mahu memastikan pasukan masing-masing akan mengakhiri saingan musim baharu di kedudukan yang lebih baik.

Jendela perpindahan masih dibuka dan kedua-dua pasukan juga masih boleh membuat penandatanganan untuk menambah baik kekurangan yang ada.

Banner yang dinaikkan oleh para penyokong Spurs

Apa yang pasti, tindakan penyokong Spurs wajar dipuji dan dijadikan contoh tauladan kepada penyokong pasukan lain. Perkauman dan penindasan sememangnya tak patut ada dalam kamus dunia bola sepak.

Sumber: Tottenham Hotspur

BACA:  Penyokong England Jatuh Cinta Dengan Impak Grealish Dan Saka Ketika Bertemu Czech Republic