Toni Kroos Dinamakan Pemain Tahunan Jerman Buat Kali Pertama Dalam Kariernya

Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos telah dinamakan sebagai Pemain Tahunan Jerman bagi tahun 2018 buat kali pertama sepanjang kariernya.

Selepas dua kali terlepas anugerah tersebut kepada Philip Lahm bagi tahun 2016 dan 2017, Kroos telah diundi penulis-penulis sukan Jerman sebagai penerima anugerah berkenaan bagi tahun 2018.

Selepas dua tahun kecewa, Kroos akhirnya memenangi anugerah idaman setiap pemain Jerman

Persatuan Journalist Sukan Jerman (VDS) dengan kerjasama majalah sukan Kicker merupakan pihak yang bertanggungjawab menganjurkan anugerah ini. Kroos menerima 185 dari 475 undian keseluruhan bagi mengesahkan dirinya sebagai pemenang.

Pemain tengah berusia 28 tahun ini memainkan peranan penting buat Real Madrid ketika memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lepas dengan menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev. Beliau turut menjulang beberapa trofi musim lalu seperti UEFA Super Cup, Supercopa de Espana dan Club World Cup.

Penyerang Freiburg, Nils Petersan berada di kedudukan ke-2 dengan 39 undian, manakala pemain pertahanan Schalke, Naldo berada di tempat ke-3 selepas menerima 38 undian.

Ketika ditemu ramah majalah Kicker, Kroos meluahkan perasaan gembira dan bangganya selepas menerima anugerah tersebut.

UCL memainkan peranan penting dalam membantu Kroos menggondol anugerah Pemain Tahunan Jerman

“Saya amat berbesar hati dinamakan sebagai Pemain Tahunan Jerman. Anugerah ini bukan senang untuk diperolehi, dan bukan semua pemain mampu memenanginya.”

Bekas pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes menerima dua undian melebihi pengurus Schalke, Domenico Tedesco untuk dinamakan sebagai Jurulatih Tahunan Jerman.

Heynckes yang kini berusia 73 tahun, masuk menggantikan Carlo Ancelotti pada pertengahan musim dan membantu Bayern Munich memenangi Bundesliga buat kali ke-6 berturut-turut. Tedesco pula mengejutkan banyak pihak dengan membimbing Schalke menduduki tempat ke-2 Bundesliga musim lalu.

“Saya ingin memuji mereka yang tidak mengundi saya kerana di luar sana terdapat ramai jurulatih  hebat yang juga berhak memenangi anugerah ini.”

Heynckes turut menumpang perasaan gembira apabila Kroos dinamakan sebagai Pemain Tahunan Jerman kerana beliau juga terlibat dalam membantu karier Kroos suatu ketika dahulu.

“Apabila saya mendapat tahu dari majalah Kicker yang Toni Kross telah diundi sebagai Pemain Tahunan Jerman, saya sangat gembira. Dengan penuh sopan, saya pernah membantu Kroos dalam perjalanan karier bola sepaknya.”

Jurulatih dan Pemain terbaik Jerman

“Sepanjang karier saya yang panjang, saya pernah bekerjasama dengan ramai pemain yang hebat. Tetapi dengan Kroos, saya tahu dengan pantas beliau bersedia untuk mengambil jalan yang profesional.”

“Bukan sahaja beliau dengar apa yang saya cakap, beliau juga menjalankan arahan saya dengan sangat baik. Beliau kekal dengan kelakuan yang sama selama beberapa tahun dan hasilnya, beliau kini mempunyai karier yang luar biasa.”

BACA:  Inkues Jerman: Skuad Berpecah Kerana Sikap Pilih Kasih Hansi Flick Terhadap Pemain Bayern