Trent Alexander-Arnold Berpotensi Dikenakan Tindakan Kerana Kontroversi Dilakukannya

Bintang Liverpool Trent Alexander-Arnold berpotensi dihukum oleh jawatankuasa disiplin FA kerana kelakuannya selepas menjaringkan gol dan komen yang dilakukannya selepas perlawanan menentang Manchester City.

Pemain pertahanan The Reds itu menjaringkan gol penyamaan untuk Liverpool pada babak kedua perlawanan dengan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol pasukan tuan rumah, Ederson.

Kecemerlangan Alexander-Arnold di dalam perlawanan itu sememangnya amat menyerlah terutama ketika membantu bahagian tengah Liverpool menjana kreativiti di fasa serangan dan diakui dengan anugerah Pemain Terbaik Perlawanan selepas itu.

Keputusan tersebut meletakkan Liverpool di kedudukan ketiga dan walaupun gagal memenangi perlawanan, skuad kendalian Klopp dianggap berjaya membawa satu mata penting menentang lawan yang sukar seperti City.

Alexander-Arnold kemudiannya meraikan jaringan penyamaannya dengan berlari ke arah tempat duduk penyokong tuan rumah dengan jari telunjuk di bibir dengan mesej ‘diam’.

Ditanya wartawan selepas perlawanan mengapa dia berbuat demikian, Alexander-Arnold menganggap ia sebagai melucukan.

“Ia sentiasa rasa hebat meraikan jaringan di hadapan penyokong lawan sebagai pemain pasukan pelawat,” ujar Alexander-Arnold.

“Ia sentiasa melucukan, tetapi perkara terpenting ialah untuk memastikan tugasan diberikan berjaya diselesaikan dan memperolehi mata.”

Laporan The Sun bagaimanapun berkata pengakuan dan perbuataan pemain pertahanan itu berkemungkinan akan menyebabkan dirinya dihukum oleh pihak FA.

Ini kerana peraturan oleh badan induk itu mengatakan pemain harus dilayangkan kad kuning sekiranya bertindak melakukan apa-apa bentuk kelakuan yang boleh mengundang provokasi, ejekan, atau mencetuskan kemarahan penyokong.

Pengadil perlawanan Chris Kavanagh bagaimanapun tidak melayangkan sebarang kad amaran kepada Alexander-Arnold dan tidak dapat dipastikan sama ada pengadil melihat perbuatan itu.

The Sun bagaimanapun berkata Alexander-Arnold berkemungkinan sekadar akan diberikan amaran oleh pihak FA untuk kelakuannya itu.

Sebarang hukuman untuk perbuatan sedemikian juga tidak boleh dirayu kerana ia jelas dilakukan ketika siaran langsung – sebagai bukti terakam.

Mengulas keseluruhan perlawanan, pemain berusia 25 tahun itu turut berkata: “Ada banyak perlawanan lain dimana kami beraksi lebih baik ketika menentang City, tetapi tewas perlawanan tersebut.

“Jadi jujurnya, memperolehi satu mata untuk perlawanan ini adalah keputusan yang sangat baik untuk kami.

“Ia adalah perkara yang kami perlukan sebagai sebuah pasukan. Ia akan memberikan kami keyakinan, kerana kami beraksi kurang baik menentang juara bertahan – mereka memenangi treble pada musim lalu dan berada di tahap terbaik.

“Jika anda beraksi kurang memberangsangkan dan masih memperolehi satu mata, itu bermakna kami melakukan perkara yang betul.”

BACA:  Klopp Bangga Aksi Seperti Raksasa Bintang Baharu Liverpool