UFC News: Perlawanan Khabib Dan Ferguson Mungkin Dibatalkan

UFC kini dalam proses untuk membuat beberapa perubahan besar dan juga bersedia untuk langkah keselamatan bagi menghadapi hari pertembungan antara Khabib Nurmagomedov menentang Tony Ferguson.

Khabib akan bertemu Ferguson pada 18 April ini dan mereka berdua akan bertemu di UFC 249 yang akan dilangsungkan di New York Barclays Center.

Hal ini kerana Gabenor New York, Andrew Cuomo secara rasminya telah menyekat dan tidak membenarkan apa-apa perhimpunan atau perjumpaan awam yang melibatkan lebih 500 orang.

Keputusan ini dibuat berikutan New York kini sedang bergelut dengan penularan virus Covid-19 yang semakin melarat.

Isu virus Covid-19 yang makin melarat kini telah memberi kesan buruk dalam landskap sukan di seluruh dunia. Amerika Syarikat juga telah banyak menangguh dan membatalkan kebanyakkan Liga sukan di negara mereka.

Keputusan untuk tidak membenarkan perhimpunan serta perjumpaan melebihi 500 orang itu sedikit sebanyak menggangu persiapan dan persediaan untuk perlawanan kejuaraan lightweight antara Khabib dan Ferguson.

Berikutan insiden ini pihak UFC perlu membuat keputusan sama ada mahu menangguhkan perlawanan itu atau memindahkan venue perlawanan ke tempat lain.

UFC masih belum membuat apa-apa kenyataan rasmi berkaitan perkara ini, tetapi ada laporan yang mengatakan bahawa mereka dalam proses untuk memindahkan acara ini ke UFC Apex private facility di Las Vegas.

Dana White telah mengesahkan bahawa acara UFC di Brazil hujung minggu nanti bakal dilangsungkan secara tertutup.

Keputusan untuk membuat pertukaran Venue menjadi lebih rumit kerana Khabib masih kekal dengan pendirian beliau untuk tidak mahu beraksi di Las Vegas.

Las Vegas adalah antara lokasi ternatif yang mungkin paling selamat. Khabib kekal tidak mahu beraksi di sana rentetan dari insiden yang berlaku ketika perlawanan beliau menentang McGregor.

Perlawanan antara kedua fighter ini sudah empat kali tergendala sebelum ini. Perancangan perlawanan mereka yang pertama tergendala kerana Khabib Nurmagomedov mengalami kecederaan tulang rusuk pada tahun 2015.

Pada tahun 2017 mereka sekali lagi dijadualkan untuk bertemu namun dibatalkan kerana Khabib mengalami komplikasi penurunan berat badan.

Pada tahun 2016 dan 2018 perlawanan yang dijadualkan untuk pertemuan mereka berdua juga telah dibatalkan kerana kecederaan yang menimpa Ferguson.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk acara itu dibatalkan, Presiden UFC Dana White berkata:

“Apabila berkait kepada keselamatan para atlet dan peminat serta segala yang lain, tidak kira di mana kita pergi atau apa yang kita lakukan, kita harus sentiasa prihatin.”

Namun sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan tentang pembatalan atau perubahan venue yang dikeluarkan oleh Dana White atau pihak UFC.

Perlawanan UFC 249 masih akan berjalan seperti apa dirancang dan segala kemungkinan akan dilaporkan kemudian.

BACA:  Pendapatan Conor McGregor, Jon Jones, Khabib dan Nate Diaz Didedahkan Oleh UFC