Unai Emery: Ada Pemain Perlu Meninggalkan Arsenal

Pengurus Arsenal, Unai Emery memberi gambaran beberapa pemain akan meninggalkan pasukan tersebut pada jendela perpindahan musim panas nanti berikutan kekalahan memalukan kepada Chelsea dalam aksi final Europa League awal pagi tadi.

Dalam perlawanan akhir Europa League yang menemukan Arsenal menentang Chelsea malam tadi, anak buah Emery gagal memberi tentangan yang sepatutnya dan mudah dibelasah Chelsea 4-1, sekaligus menafikan hasrat Arsenal untuk bertanding dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Emery berkata ada pemain yang perlu meninggalkan Arsenal selepas tumpas di pentas final

Kekalahan memilukan ini bermakna Arsenal akan terus beraksi dalam saingan Europa League bagi 3 musim berturut-turut. Sebelum ini, Arsenal terlepas peluang keemasan untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara Eropah menerusi empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris apabila sekadar menamatkan kempen liga pada kedudukan ke-5, di belakang Manchester City, Liverpool, Chelsea dan seteru setempat, Tottenham Hotspurs.

Kegagalan Arsenal untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan juga bermakna mereka perlu menjual beberapa pemain utama bagi mencari dana untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi cabaran musim hadapan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Unai Emery dalam sidang media sebaik sahaja tumpas kepada Chelsea semalam.

“Idea kami adalah untuk meneruskan usaha sekarang dan menjadi lebih kuat dengan ketibaan pemain-pemain muda. Mungkin beberapa pemain perlu meninggalkan Arsenal tetapi sekarang bukannya masa yang tepat untuk bercakap mengenai perkara tersebut.”

Kekecewaan pemain Arsenal terserlah selepas gagal memanfaatkan peluang untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk menjadi lebih baik. Kami mempunyai beberapa pemain muda yang dapat merasai pengalaman beraksi di pentas final dan saya kekal positif dengan masa depan kami berdasarkan pemain-pemain muda yang kami miliki.”

“Saya sangat bangga dengan usaha yang ditunjukkan seluruh pasukan, tetapi tidak begitu bangga kerana gagal mencapai sasaran. Saya bangga dengan usaha yang dipamerkan para pemain kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran dan kami sangat hampir untuk mencapainya berbanding pasukan-pasukan lain.”

“Tahun hadapan, kami akan menyambung perjuangan ini dengan pemain yang sama sambil dibantu dengan beberapa pemain yang akan tiba untuk memperkuatkan pasukan ini.”

Apabila ditanya adakah kegagalan Arsenal untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah bakal memberi impak kepada rancangan musim panas nanti, ini jawapan Emery.

“Mungkin. Tetapi Arsenal adalah pasukan besar dan nama besar dalam bola sepak dan banyak pemain yang mahu datang beraksi di sini.”

Sekali lagi Ozil gagal bermain dengan baik dalam perlawanan besar

“Kami perlu kekal kuat dengan idea dan cara kami bermain. Idea kami sekarang adalah untuk menjadi lebih kompetitif sebagai sebuah pasukan dan merapatkan jurang dengan pasukan lain.”

“Saya masih tidak tahu rancangan perpindahan kelab ini tetapi kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi lebih bagus.”

BACA:  Europa League 2020/21: Olympiacos 1-3 Arsenal