Undian UCL Terbatal Selepas Kesilapan Undian Manchester United

Undian bagi perlawanan pusingan 16-pasukan Liga Juara-Juara UEFA telah diisytiharkan terbatal dan tidak sah selepas berlaku ralat teknikal yang menyaksikan Manchester United terkeluar daripada sebahagian daripada undian tersebut.

Proses pengundian semula akan dijalankan pada pukul 3 petang waktu UK, atau pukul 10 malam waktu Sabak Bernam.

UEFA berkata dalam satu kenyataan rasminya;

“Berikutan daripada masalah teknikal dengan perisian daripada pembekal luar yang memberikan arahan kepada para pegawai tentang pasukan manakah yang layak untuk bermain sesama mereka, membawa kepada ralat material dalam undian Liga Juara-Juara UEFA pusingan 16-pasukan.

“Oleh sebab itu, undian terdahulu dikira sebagai terbatal  dan akan dilakukan semula pada pukul 1500 CET.”

Bagi yang tidak biasa, CET adalah Waktu Eropah Tengah atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut Central European Time.

Dalam undian yang diadakan terlebih dahulu di Nyon, terdapat satu kejadian aneh dan misteri berlaku di mana Villareal pada awalnya telah diundi bertemu Manchester United. Tetapi kedua-dua pasukan telah pun bertemu dalam peringkat kumpulan F, jadi bekas penyerang Arsenal Andrey Arshavin telah diminta untuk mencabut undian sekali lagi.

Tetapi bola United tidak dimasukkan ke dalam undian ketika Arshavin mencabut undian Atletico Madrid – walaupun pasukan gergasi bakal juara Liga Perdana Inggeris tersebut berpotensi untuk bertemu wakil dari Sepanyol itu.

Akan tetapi, petugas majlis telah meletakkan bola yang mengandungi nama pasukan Liverpool di dalam balang untuk menentukan pasukan yang berpotensi untuk bertemu Atletico Madrid, walaupun pasukan yang dibimbing oleh Jurgen Klopp itu sudahpun bertemu pasukan ibu kota Sepanyol itu dalam peringkat kumpulan.

Atletico Madrid kemudian telah diundi bertemu wakil Jerman, Bayern Munich dan difahamkan pasukan dari Sepanyol tersebut sangat kecewa dengan kesilapan yang berlaku kerana mereka terpaksa berdepan dengan pasukan yang paling kuat dalam ranking coefficient UEFA.

Manchester United pula ‘dihadiahkan’ satu mimpi ngeri juga apabila diundi bertemu jaguh dari Perancis, Paris Saint Germain, yang bakal menyaksikan pertemuan semula perseteruan yang sudah lama tidak dilihat – Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku di Nyon?

Undian di Nyon berlangsung dengan beberapa balang yang mengandungi bola di atas pentas.

Setiap balang mempunyai nama pasukan yang bertanding dalam pusingan 16-pasukan nanti yang diletakkan di dalam bola. Bola tersebut kemudiannya dibuang dari balang dan ditambah ke balang utama di tengah, untuk memastikan hanya pertembungan yang sah akan diundi.

Ini adalah kerana pasukan pilihan (seeded teams) hanya boleh bertemu dengan pasukan bukan pilihan, atau dengan kata lain, juara kumpulan hanya akan bertemu naib juara kumpulan.

Pada masa yang sama, tiada pasukan yang bernaung di bawah persatuan bola sepak yang sama, bermain di liga yang sama, dibenarkan untuk bertembung sesama sendiri.

Lagi pula, jika pasukan tersebut sudah bertemu pada peringkat kumpulan, mereka juga tidak akan bertemu lagi pada peringkat pusingan 16-pasukan ini.

Kekeliruan bermula apabila nama United dipetik dan diundi untuk bertemu Villareal – pasukan yang mereka sudah tewaskan dua kali dalam kumpulan F. Jika fikir logik, takkan United nak kalahkan Villareal lagi dua kali, kan?

Kemudiannya undian dijalankan semula dengan Manchester City dipilih untuk menentang Villareal. Tetapi di atas sebab-sebab yang tidak jelas, bola United tidak diletakkan di dalam balang untuk menentukan lawan Atletico Madrid, yang sebaliknya mendapat Bayern Munich.

Yang peliknya, bola Liverpool pula diletakkan di dalam balang tersebut, meskipun kedua-dua pasukan sudah bertemu dalam peringkat kumpulan.

Penting sangat ke salah masuk bola ni?

Jawapannya – ya, penting.

Pertama, adalah tidak adil untuk Manchester United bertemu lawan sekuat Paris Saint-Germain kerana ini boleh menjejaskan peluang mereka untuk memenangi Liga Juara-Juara UEFA menerusi permainan menarik Geggenpressing acuan Ralf Rangnick pada musim ini.

Okay, itu tipu. Gurau je. Jangan marah k.

Sebenarnya, akibat kesilapan tersalah memasukkan bola ke dalam balang undian akan membawa kepada impak kewangan kepada pasukan yang terkesan.

Pasukan yang layak ke suku akhir diberikan hadiah wang tunai sebanyak £9.1 juta (RM51 juta), dan £10.8 juta (RM 60.5 juta) dihadiahkan kepada pasukan yang mara ke perlawanan separuh akhir.

Pasukan yang layak ke perlawanan akhir, kedua-duanya akan menerima sebanyak £13.4 juta (RM 75 juta) sebagai tanda tahniah berjaya marah sejauh itu.

Pemenang perlawanan akhir kemudiannya akan menerima tambahan £3.8 (RM 21.3 juta) tambah £3 juta (RM 17 juta) untuk bertanding dalam perlawanan UEFA Super Cup bertemu juara Liga Europa.

BACA:  Griezmann Bantai Pengadil Kerana Terlalu Manjakan Liverpool