Verratti, Barella, Jorginho vs Busquets, Pedri, Koke: Analisis Mendalam Siapa Yang Bakal Kelaut

Kalau dulu, bila mana kita menonton perlawanan pasukan Sepanyol, pasti kita akan kagum dan terkesima dengan aksi yang ditonjolkan oleh Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan juga Sergio Busquets. Paduan tenaga ketiga-tiga pemain ini berjaya membawa Sepanyol ke puncak dunia dengan memenangi Euro pada tahun 2008 dan 2012, serta Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Itulah Sepanyol, pasukan yang mempunyai adunan pemain tengah yang cukup istimewa suatu ketika dahulu.

Itali pula sedikit berbeza. Kali terakhir mereka memenangi Piala Dunia pada tahun 2006, mereka juga mempunyai paduan pemain tengah yang boleh mengancam jantung pemain pasukan lawan. Andrea Pirlo, Daniel De Rossi dan juga Francesco Totti begitu kebal melindungi barisan pertahanan mereka daripada dibolosi pemain lawan dan pada masa yang sama merencana arah tuju perlawanan.

Tapi itu cerita dulu.

Kesemua pemain Itali yang menjulang Piala Dunia 2006 sudah pun bersara, dan hanya De Rossi yang masih ada di dalam pasukan Azzuri kali ini sebagai pembantu jurulatih, membimbing tonggak tengah mereka seperti Marco Verratti, Jorginho dan Nicolo Varella.

Dalam barisan skuad Sepanyol pula, hanya Sergio Busquets yang tinggal daripada pasukan yang menewaskan Itali dalam perlawanan akhir sembilan tahun lalu. Meskipun semakin dimamah usia, kehebatannya di atas padang tidak boleh diragui dan ini diakui sendiri oleh Barella.

“Diorang ada pemain yang mantap seperti Xavi dan Iniesta – juara yang memberi inspirasi kepada kita semua,” ujar Barella sebelum terbang ke London untuk perlawanan separuh akhir.

“Busquets telah menjadi pemain terbaik dunia di posisi dia main tu selama bertahun-tahun, untuk Barcelona dan Sepanyol.

“Apa yang kamu boleh buat adalah puji sahaja dia tu. Lepas tu sekarang ni diorang ada Pedri dan Koke. Perlawanan mesti menarik dan kami akan cuba tewaskan barisan tengah diorang, dan seterusnya kalahkan Sepanyol.”

Jadi, apa yang boleh kita harapkan pada pertembungan enam pemain tengah terbaik di eropah ni?

Itali : Verratti, Barella, Jorginho

Jorginho boleh dikatakan sebagai otak kiri kepada pasukan Itali di mana dia menyumbangkan sudut logik dan ketepatan masa, lantas membuatkan seluruh pemain Itali bermain mengikut rentaknya.

Dia muncul sebagai pemain Itali yang bermain paling banyak minitnya di Euro kali ini, selain penjaga gol. Dia juga telah melakukan hantaran di bawah tekanan lebih banyak daripada pemain-pemain Itali yang lain –  68. Ketika pemain lain pergi menekan pihak lawan, Jorginho tidak akan turut serta dan sebaliknya dia meletakkan dirinya dalam keadaan bersedia sambil memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan.

Jorginho juga bagaikan mempunyai kuasa magis di mana dia sering mendapat bola hantaran jauh pihak lawan menerusi kedudukan yang tepat pada masa yang tepat, sebelum memulakan semula enjin di bahagian serangan.

Kalau kita lihat dalam grafik di bawah, kebanyakan masanya Jorginho menyentuh bola betul-betul di bahagian tengah padang.

Peta sentuhan bola oleh Jorginho

Statistik menunjukkan bahawa pemain tengah Chelsea ini juga telah melakukan pintasan bola setiap 90 minit yang paling banyak berbanding rakan sepasukannya, ataupun di kalangan pemain yang telah bermain lebih 300 minit dalam kejohanan ini. Ketika bertemu Belgium, Jorginho telah mencatatkan rekod cemerlang dengan 99 peratus daripada hantarannya adalah tepat.

Jika Jorginho merupakan otak kiri, Verratti pula merupakan otak kanan – di mana dia adalah sumber kreatif dan imaginasi untuk memukau dan menjerat pemain lawan.

Disebabkan kreativitinyalah menyebabkan dia muncul sebagai pemain Itali yang paling banyak dikasari dalam tempoh 90 minit. Sepakan percumanya kepada Matteo Pessina ketika menentang Wales juga menjadi bukti bahawa pemain ini mempunyai idea bagaimana untuk merobohkan pertahanan pihak lawan.

Dari segi mencipta peluang, Verratti muncul pemain Itali paling banyak melakukannya – 12 kali, seperti yang ditunjukkan di gambar di bawah.

Peluang yang dicipta Verratti setakat ini

Ketika bertemu Belgium, Verratti menujukkan bagaimana caranya untuk memberikan tekanan awal kepada pemain lawan di mana kerap kali dia memberikan tekanan kepada Jan Vertonghen.

Dia mampu membaca hala tuju permainan lawan, berlari ke atas untuk menyekat sebarang hantaran dan menghantar bola kepada Barella yang menjerit memanggil namanya.

Barella pernah dikritik hebat sebelum ini kerana gagal memberikan impak yang berkesan ketika diturunkan, lantas menyebabkannya menjadi back up kepada Matteo Pessina. Walaubagaimanapun, sejak kembalinya Verratti ke barisan Itali, Barella menjadi antara pemain pertama yang ditulis namanya di atas borang nama pemain sebelum perlawanan bermula.

Sepanyol : Pedri, Busquets, Koke

Jika Euro 2020 tidak ditangguh gara-gara pandemik Covid-19, jentera tengah pasukan Sepanyol pasti bukan dibarisi pemain yang seperti kita lihat pada hari ini.

Perlawanan terakhir kelayakan Euro menentang Romania pada November 2019, Busquets seperti biasa bermain di posisi anchor pasukan, ditemani pemain Napoli Fabian Ruiz dan Saul Niguez dari Atletico Madrid – satu gabungan pemain yang tidak stabil.

Kemudian muncul pula seperti Thiago ALcantra, Dani Ceballos, mikel merino, Dani Parejo, Sergio Canales dan  Jose Campana diuji demi mencari ramuan yang terbaik.

Pada waktu itu, Pedri baru sahaja bermain untuk pasukan bawah-17 tahun pasukannya di Piala Dunia Belia, namun kini dia menjadi seorang watak penting pasukan Sepanyol.

Setakat ini dia muncul sebagai pemain Sepanyol yang berlari paling jauh dalam kempen Euro ini – 61.5km, 4km mengatasi Tomas Soucek di tangga kedua.

Pedri muncul pemain yang berlari paling jauh dalam Euro setakat ini

Biasanya, Pedri akan membantu membawa bola ke depan, terutamanya dalam dua perlawanan pertama ketika menentang Sweden dan Polang. Walaubagaimanapun, satu perubahan kecil telah diambil oleh Enrique di mana Pedri diletakkan lebih ke dalam dan hasilnya telah mempengaruhi pasukannya dalam mendapatkan keputusan yang diinginkan.

Hantaran tepatnya telah membantu mencipta tiga daripada lima gol Sepanyol ketika membelasah Slovakia, dan tiga lagi gol ketika menewaskan Croatia 5-3 di pusinga 16-pasukan. Pedri boleh dikatakan pemain yang cukup pintar dalam mencari ruang.

Kapten Busquets, walaupun terlepas saingan awal Euro kerana dijangkiti Covid, kembali menguatkan pasukan Sepanyol dengan gaya permainannya yang biasa – menjadi pelindung kepada barisan pertahanan, dan menghubungkan mereka dengan pemain di barisan serangan.

Kalau Pedri mempunyai kelebihan dengan kelincahan, kelebihan Busquets pula adalah pengalamannya yang luas. Dia cukup tenang membaca hala tuju permainan dan gerakan pemain lawan.

Busquets juga sering memoton bola yang dihantar ke ruang, dengan menutup laluan yang boleh dilalui bola.

Pergerakan Sergio Busquets di atas padang

Kedua-dua pemain tengah ini dilengkapkan dengan kehadiran Koke, pemain yang sering berada betul-betul di tengah padang, seperti fungsi Jorginho di Itali, dan dia jarang berada jauh daripada bulatan tengah tersebut.

Kekuatan fizikal digunakan sepenuhnya sebagai kelebihan, dan kadangkala dia diarahkan untuk membuat larian ke depan, sama ada ketika memiliki bola atau tidak.

Sepanjang kejohanan ini, Koke telah merekodkan sebanyak tujuh kali cubaan ke arah gol, dan caranya membuat tekanan awal kepada pihak lawan, telah membantu pasukannya mendapatkan penalti ketika bertemu Slovakia.

Ciri-ciri yang ada pada pemain ini menjadi adunan sempurna kepada Busquets dan juga Pedri dalam menjadikan Sepanyol sebagai satu pasukan yang kembali digeruni, selepas acap kali terkulai dalam kejohanan bersar.

Pertemuan Itali dan Sepanyol nanti pasti menghadirkan pertarungan di bahagian tengah yang menarik, sama ada dari segi taktikal atau pun fizikal.

Sumber : The Athletic

BACA:  Skuad Sepanyol Diberi Suntikan Vaksin Tiga Hari Sebelum Aksi Bertemu Croatia