[VIDEO] Ronaldo Jaringkan Gol Tandukan Ke-100 Beliau Ketika Seri Menentang Torino

Percaya atau tidak, Cristiano Ronaldo baru sahaja menjaringkan gol tandukan ke-100 sepanjang kariernya ketika Juventus seri menentang Torino semalam dalam aksi Serie A.

Ketika Juventus seakan-akan bakal mengalami kekalahan mengejut di tempat sendiri, muncul Ronaldo melompat tinggi untuk menyelamatkan pasukannya dari dimalukan di hadapan penyokong sendiri.

Lompatan super-human Ronaldo sekali lagi menyelamatkan Juventus dari kekalahan

Juventus yang sudah dinobatkan sebagai juara Serie A musim ini memerlukan jaringan Ronaldo pada minit ke-83 bagi mengelak dari mengalami kekalahan ke-3 mereka musim ini.

Ronaldo dan gol tandukan bukan lah perkara baru. Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United ini mempunyai kebolehan untuk melakukan lompatan yang cukup tinggi, menyebabkan pemain pertahanan berdepan cabaran sukar setiap kali berebut bola di udara dengan Ronaldo.

Antara ucapan terkenal mengenai keupayaan Ronaldo dalam menanduk bola tinggi datang dari mulut pengurus Wales, Chris Coleman ketika separuh akhir Euro 2016.

“Anda tidak mampu bertahan menentang lompatan setinggi itu !” Ujar Coleman selepas pasukannya tumpas kepada Portugal.

Ronaldo menanduk masuk hantaran Raphael Guerrero untuk gol pertama Portugal sebelum Nani menambah satu lagi tidak lama selepas itu.

Statistik menunjukkan Ronaldo melompat setinggi 80 cm untuk menanduk hantaran Guerrero dan berada di udara selama 0.7 saat ! Itu bukan perkara normal.

Dan malam tadi Ronaldo membuktikan beliau masih berupaya untuk melakukan lompatan tidak masuk akal walaupun pada usia mencecah 34 tahun.

Beliau menidakkan hajat Torino untuk meraih kemenangan derby di tempat lawan menentang Juventus buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun.

BACA:  Serie A 2020/21: Udinese 1-2 Juventus